MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, September 28, 2025

Kerajaan peruntuk RM504 juta bina 5,450 Rumah Mesra Rakyat di seluruh negara

 

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM504 juta untuk pembinaan 5,450 buah Rumah Mesra Rakyat (RMR) menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di seluruh negara, tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, setakat Ogos, sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina dan 1,310 unit sedang dalam pembinaan manakala 1,374 unit lagi sedang dalam dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.

“Sejak SPNB diletakkan di bawah seliaan KPKT pada 2018, usaha penyelarasan inisiatif perumahan rakyat menjadi lebih bersepadu dan berkesan dan sehingga kini, sebanyak 73,167 unit RMR telah siap dibina di seluruh negara.

“RMR yang dilengkapi tiga bilik ini bernilai RM75,000 yang mana kita memberikan subsidi RM20,000 untuk setiap rumah yang dibina dan pemilik hanya perlu membayar kira-kira RM300 sebulan dalam tempoh 16 tahun,” katanya.

DR. Mohd Azmi Mohd Lila (dua dari kiri) dan 
Aiman Athirah Sabu (tiga dari kiri) bergambar pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat di RTB Kampung Baru di Kemasik, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru di Kemasik, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 11 pemilik Rumah Mesra Rakyat menerima kunci dan sembilan kontraktor dianugerahkan sijil penghargaan.

Aiman Athirah berkata, program RMR merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan perumahan kepada rakyat yang berpendapatan RM5,000, dengan syarat pemilik memiliki tanah.

Katanya, sehingga Julai, SPNB mererima sebanyak 182,208 permohonan untuk program RMR.

“Daripada jumlah itu, 117,000 adalah permohonan yang telah lengkap dan 73,354 telah diluluskan selepas memenuhi syarat ditetapkan.

“Sebanyak 65,000 permohonan lagi dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SPNB, Datuk Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata, antara produk unggul SPNB ialah program RMR yang diwujudkan khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dengan kos berpatutan.

Tambahnya, pada tahun 2025 sahaja, SPNB telah diamanahkan untuk membina sebanyak 5,450 unit RMR di seluruh negara.

“SPNB ialah sebuah syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan), yang ditubuhkan pada tahun 1997 dengan mandat menyediakan kediaman mampu milik, selesa dan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

“Bermula Ogos 2018, SPNB diletakkan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memastikan perancangan, pelaksanaan dan pemantauan program perumahan dapat dilakukan dengan lebih efektif dan bersepadu,” ujarnya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.