MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, November 19, 2025

Penduduk kecewa projek rumah penempatan mangsa banjir terbengkalai

 

Penduduk kecewa projek rumah penempatan mangsa banjir terbengkalai

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: “Kami dah tak tahan menunggu terlalu lama, habis dah barang-barangan dalam rumah, lepas satu, satu yang rosak dan akhirnya tiada apa yang tinggal. Sekarang dah tak beli apa-apa, guna mana yang masih tertinggal,” katanya.

Itulah luahan hati seorang warga emas mangsa banjir Kampong Air Putih, Zaharah Omar, 80, yang kecewa apabila projek perumahan untuk penempatan mangsa banjir menerusi Program Pemajuan Kawasan (PPK) Kampung Air Putih masih terbengkalai sejak dibangunkan kira-kira tujuh tahun lalu.

Menurutnya, mangsa banjir Kampong Air Putih dan Kampong Teladas di sini selama ini berharap mereka dapat berpindah ke rumah baharu itu kerana mereka tidak sanggup untuk beepindah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setiap kali banjir yang berlaku hampir setiap tahun.

PROJEK perumahan untuk penempatan mangsa banjir menerusi program PKK Kampung Air Putih, Kemaman, yang dbina tujuh tahun lalu masih terbengkalai.

“Setiap tahun, penduduk terpaksa berpindah ke PPS apabila banjir melanda kediaman mereka dan mereka sedih apabila rumah yang disediakan untuk mereka masih terbengkalai,” katanya.

Zaharah berkata demikian kepada media selepas mengadakan himpunan aman di hadapan projek Program Pemajuan Kawasan Kampong Air Putih (PPK Air Putih) tersebut Khamis lalu.

Perhimpunan aman itu disertai lebih 30 orang mangsa banjir dari Kampong Air Putih dan Kampong Teladas.

ZAHARAH OMAR

Menurut Zaharah, kerja-kerja pembinaan rumah tersebut telah dihentikan sejak setahun lalu dan berada dalam keadaan terbiar.

“Keadaan itu bukan menjejaskan harapan mereka untuk tinggal di rumah yang selamat daripada banjir ,” ujarnya.

Rakan beliau, Rohana Ismail, 54, pula berkata, penduduk terkilan apabila mereka terpaksa berpindah-randah setiap kali banjir.

ROHANA ISMAIL

“Saya berharap pihak berkenaan supaya segera menyiap dan menyerahkan rumah tersebut kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli Sulong, 50, yang mewakili mangsa banjir Kampong Air Putih dan Kampong Teladas berkata, projek pembinaan rumah banjir untuk mangsa banjir ini dibina sejak tahun 2019 tetapi sehingga hari ini masih belum siap

“Tiap-tiap tahun kami penduduk Kampong Air Putih dan Kampong Teladas bimbang apabila tiba musim tengkujuh dan bersiap sedia berpindah ke PPS,” katanya.

MOHD ROSLI SULONG

Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU 14) kerajaan Terengganu telah mengadakan majlis pecah tanah dan meletak batu asas bagi pembinaan rumah banjir tersebut.

“Pada tahun 2019, pembinaan rumah penempatan banjir tersebut telah dimulakan tetapi sehingga kini status rumah tersebut tidak diketahui.

“Saya merayu kepada kerajaan supaya mempercepatkan proses penyerahan rumah tersebut kepada penduduk seperti yang dijanjikan,” katanya.

Pada April 2018, akhbar melaporkan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membina 200 unit rumah teres yang dilengkapi kemudahan infrastruktur untuk mangsa banjir Kampong Air Putih dan sekitarnya dalam masa terdekat.

Selain rumah kediaman, Ketengah juga akan menyediakan kemudahan awam seperti Rumah Kedai Dua Tingkat, Surau, Bangunan Tadika dan Padang Permainan diatas tanah seluas 16.69 ekar berhampiran Dewan Orang Ramai Kampong Air Putih.

Program PPK Kampung Air Putih merupakan satu projek besar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM25 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.