Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kira-kira 20 pelajar dan guru sebuah pusat tahfiz di sini, dipindahkan hari ini susulan kejadian kebocoran paip gas di Tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), di Seksyen 5, Kerteh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, meskipun jarak lokasi kejadian dengan pusat tahfiz itu agak jauh lebih dua kilometer, namun tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penghuni tahfiz tersebut.
Menurutnya, lokasi tahfiz itu jauh dari lokasi kejadian, namun pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang arah angin menghala ke pusat tahfiz itu.
Katanya, ianya boleh menyebabkan pencemaran udara sekali gus memberi kesan buruk menyebabkan pelajar berkenaan dipindahkan lebih awal.
“Pemindahan telah dilaksanakan pagi tadi bagi mengelakkan sebarang risiko dan pihaknya telah memaklumkan arahan kepada pusat tahfiz berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit dipindahkan ke sebuah penempatan sementara di bandar paka, Dungun.
Tambahnya, pada masa sama, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Selain itu, jelasnya, orang awam juga diingatkan supaya tidak mendekati kawasan kejadian atau cuba melihat lokasi dari jarak dekat kerana dikhuatiri terdedah kepada risiko pencemaran udara.
“Sebarang pembakaran terbuka juga dilarang di sekitar kawasan berkenaan kerana ianya berisiko mendatangkan bahaya kepada orang awam,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mohd. Razi berkata, orang ramai tidak perlu panik kerana situasi berada dalam keadaan terkawal.
Semalam, media melaporkan insiden kebocoran paip gas butana milik Petronas Gas Berhad (PGB) berlaku kira-kira pukul 9.53 pagi. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.