Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Menjelang pelepasan 680 ekor anak tuntung sungai pada minggu hadapan, Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah di sini menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bangkai seekor anak tuntung tersangkut di pukat yang dipasang di sungai kampung itu.
Pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS), Dr Chen Pelf Nyok berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut lewat malam kelmarin sebelum sukarelawan TCS pergi melihatnya pagi semalam.
“Setelah pemeriksaan dibuat, sukarelawan TCS menemukan seekor anak tuntung tersangkut di pukat, sebelum mereka membawa pulang ke Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai di sini untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Suara Timur di sni.
Menurutnya, setelah diperiksa dengan “scan” kaki bangkai tuntung tersebut, pihaknya mendapati tuntung itu mempunyai mikrocip yang dipasang pada 7 September lalu.
“Data menunjukkan anak tuntung tersebut dilepaskan pada 18 September lalu sebelum ditemukan mati tersangkut di pukat yang dipasang oleh nelayan sungai seminggu kemudian,” katanya.
Dr Chen berkata, beliau menasihatkan penduduk kampung supaya selalu memeriksa pukat yang dipasang di sungai bagi mengelak kejadian sama berulang di masa hadapan.
Menurutnya, salah satu ancaman utama dihadapi tuntung sungai ialah peralatan menangkap ikan, sama ada yang masih digunakan atau terbiar.
“Sayanglah kalau anak anak tuntung mati sebaik sahaja dilepaskan akibat pukat yang tidak diperiksa dengan kerap dan segala usaha untuk menyelamatkan tuntung sungai jadi sia-sia.
“Sangat menyedihkan apabila berdepan dengan kes seperti ini, lebih-lebih lagi ketika pasukan kami sedang bertungkus-lumus membuat persiapan untuk program pelepasan tuntung tahunan kami yang ke-13,” ujarnya.
Untuk makluman, Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (TCS) ditubuhkan pada tahun 2011 bagi tujuan menjaga dan memelihara Tuntung yang sangat terancam di Malaysia.
Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai, Kampung Pasir Gajah mula beroperasi pada tahun 2017 dan hingga kini berjaya mengutip sebanyak lebih dari sebelas ribu biji telur bagi pengeramam dan berjaya melepaskan lebih 6,000 anak Tuntung ke Sungai Kemaman bagi tujuan pemeliharaan. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.