Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) bakal menjalin kerjasama dengan Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAASAB) dalam menjalankan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) khas kepada golongan berpendapatan rendah dan asnaf.
Ianya selari dengan dasar kerajaan untuk memberikan peluang pendidikan TVET kepada rakyat khusus dalam bidang maritim dan perkapalan bagi memenuhi peluang pekerjaan di masa hadapan.
Ketua Pegawai Ekskutif YTAASAB, Khairul Anuar Khahfi berkata, kerjasama berkenaan membabitkan penambahbaikan prasarana dan pembiayaan yuran pendidikan kepada pelajar miskin yang layak.
Menurutnya, usaha tersebut diambil untuk membuka lebih banyak peluang kepada pelajar berkenaan yang berpotensi tinggi tetapi berdepan dengan masalah kewangan untuk menceburi industri berkenaan.
“Melalui usahasama tersebut, diharapkan lebih ramai pelajar bumiputera kurang berkemampuan dapat mengikuti kursus kemahiran ditawarkan dan seterusnya menceburi sektor pekerjaan dalam bidang itu yang mempunyai permintaan tinggi di negara ini dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Tapak dan Ramah Mesra YTAASAB bersama warga RETI di Kampus RETI di Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, hari ini.
Hadir sama dalam majlis dalam lawatan itu ialah Pengerusi YTAASAB, Tengku Hassanal Badyr Al-Marhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz.
Pada masa ini, seramai 500 pelajar sedang mengkuti latihan TVET di RETI dalam pelbagai bidang peringkat sijil dan diploma
Khairul Anuar berkata, langkah tersebut akan memudahkan pelajar mendapatkan pinjaman pendidikan yang disediakan YTAASAB.
Tambahnya, kerjasama yang dijalinkan itu akan memperkukuhkan lagi peranan institusi latihan berkenaan sebagai institusi pilihan dalam bidang latihan kemahiran maritim dan perkapalan termasuk sektor minyak dan gas di negara ini.
Sementata itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ranaco, Syafiq Asraf Mohd Yusup berkata, objektif utama kerjasama tersebut membantu pelajar kurang berkemampuan mengikuti latihan di RETI yang menjadi satu wadah dalam industri TVET.
Jelasnya, ia secara tidak langsung dapat mengelakkan pelajar miskin tercicir dan tidak mendapat mengikuti kursus kemahiran.
RETI merupakan satu-satunya institusi pendidikan milik bumiputera yang menawarkan latihan kemahiran dalam bidang maritim dan perkapalan.
Sementara itu, Syafiq Asraf dalam ucapannya pada majlis itu berkata, seramai 50 pelajar (antarabangsa) dari Bangladesh, Pakistan dan Indonesia telah berdaftar untuk memasuki institut ini pada tahun depan.
Dalam masa yang sama, tambahnya, RETI turut berhasrat membangunkan fasiliti bilik kuliah dan pejabat pengurusan yang lebih kondusif dengan menambah baik dan membaik pulih struktur bangunan sedia ada.
“Usaha ini penting bagi memastikan warga kerja dan para pelajar RETI dapat menikmati suasana pembelajaran serta persekitaran kerja yang lebih selesa, selamat dan produktif,” ujarnya. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.