MTL: Persatuan Alumni Ranaco Group adakan latihan simulasi banjir
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Persatuan Alumni Ranaco Group mengadakan Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Pusat Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini bagi persediaan menghadapi banjir dalam Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula tidak lama lagi.
Program latihan simulasi itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Daerah Kemaman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kemaman, semalam
Pegawai Jabatan Pertukaran Perindustrian (IED) selaku Penasihat Persatuan Alumni Ranaco Group, Abdul Malek Abd. Hamid berkata, program tahunan ini bertujuan memastikan sukarelawan, khususnya pelajar Ranaco Group bersedia menghadapi sebarang bencana alam seperti banjir, sejajar dengan usaha institusi dalam membina modal insan yang berkemahiran dan berdaya tahan.

“Sejak penubuhannya pada 2018, program ini telah menjadi platform latihan praktikal kepada sukarelawan Khidmat Sosial Masyarakat (CSR) Ranaco Group untuk mereka diberi peluang memahami proses operasi semasa bencana, pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) serta pemulihan pasca-bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini, petang semalam.
Menurut Abdul Malek, seramai 500 sukarelawan terdiri daripada pelajar diploma dan persijilan Ranaco pada tahun ini.

Jelasnya, peserta itu terdiri daripada pelajar Ranaco Education and Training Institute Sdn. Bhd. (RETI), Ranaco Seafarer Training Centre (RSTC), Ranaco Vocational Training Centre (RVTC) dan Security-Safety, Health, Environmental & Quality (S-SHEQ).
Katanya, program tersebut turut disertai pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu, Agensi Bantuan Malaysia (MRA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Kelab Profesional Muda (YPC) Petronas dan Kelab Radio Amatur dan Rekreasi Terengganu.
“Program latihan satu hari ini menjadi medan bagi peserta daripada pelbagai bidang untuk menguji ketahanan mental apabila berdepan situasi sebenar banjir,” katanya.
Selain itu, Abdul Malek memberitahu, simulasi banjir juga penting dalam mewujudkan koordinasi, komunikasi dan kesefahaman antara semua agensi penyelamat.

“Para peserta turut diajar panduan tatacara pendaftaran mangsa banjir di Pusat Permindahan Sementara (PPS), tatacara agihan barangan banjir, tatacara persiapan khemah mangsa banjir, persiapan bilik mangsa pemindahan banjir, kit makanan banjir dan packing kit barangan bantuan serta psikologi kanak-kanak dan warga emas mangsa banjir oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman,” ujarnya.
Jelas Abdul Malek, peserta juga didedahkan dengan pelbagai teknik supaya mereka bersedia apabila berdepan situasi sebenar.
“Selain itu, antara perkara yang turut dititikberatkan dalam program simulasi banjir ini adalah berkaitan aspek keselamatan supaya masyarakat yakin dengan keupayaan anggota sukarelawan dalam melaksanakan operasi menyelamat.
“Kehadiran agensi-agensi ini membolehkan sukarelawan bertukar pengalaman, mempelajari strategi operasi kecemasan, serta membina keyakinan untuk berkhidmat semasa bencana sebenar. Aktiviti simulasi termasuk latihan pemindahan mangsa, pengurusan logistik di pusat pemindahan sementara, serta koordinasi pasca banjir untuk memastikan mangsa menerima bantuan yang cepat dan sistematik.
“Peserta juga menjalani latihan berenang untuk menambah keyakinan diri peserta supaya mereka tidak ‘segan’ dengan air, malah sekiranya berdepan situasi tidak diingini, sekurang-kurangnya mereka tahu untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata, Ranaco Group berharap program ini akan terus memberi impak positif kepada pelajar dan masyarakat, serta menjadi contoh inisiatif tanggungjawab sosial institusi pendidikan dalam menghadapi cabaran bencana di masa depan. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.