MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, November 06, 2025

MTL: Bomba siap siaga hadapi banjir

 

MTL: Bomba siap siaga hadapi banjir

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Zon Dua, Terengganu berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir pada Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula tidak lama lagi.

Pegawai Zon Dua, JBPM Terengganu, Penguasa Bomba, Kasyfi Syahmi Ghazali berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan panas atau tempat sering berlaku banjir di daerah Kemaman dan Dungun bagi tujuan pemantauan.

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti di daerah Kemaman ialah Kampung Teladas, Air Putih, Perumahan Telok Kalong, Padang Kubu, Kemasik dan Kampung Tebak.

Sementara katanya,  kampung yang sering terjejas daerah Dungun ialah Kampung Pasir Raja, Syukur, Jongok Batu dan beberapa kawasan di bandar Dungun.

SEBAHAGIAN daripada peserta kursus Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata demikian kepada media selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar di sini, petang semalam.

Hadir sama Ketua Eksekutif Institut Latihan dan Pendidikan Ranaco (RETI), Mislaiha A. Ghani dan Pegawai Jabatan Pertukaran Perindustrian (IED) selaku Penasihat Persatuan Alumni Ranaco Group, Abdul Malek Abd. Hamid.

MISLAIHA A. Ghani (kiri)  dan Kasyfi Syahmi Ghazali (tengah) bergambar selepas tamat Program Latihan Simulasi Bencana Banjir, Menyelamat dan Pertolongan Cemas Peringkat Ranaco Group 2025 di Kolam Latihan Ranaco Group, Kawasan Perindustrian Jakar, semalam. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Kasyfi Syahmi berkata, penduduk yang tinggal berisiko banjir kawasan disaran supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan yang berlaku dan sentiasa menyimpan apa jenis dokumen yang penting sebagai contoh kad pengenalan, sijil lahir dan sebagainya di tempat selamat.

Menurutnya, seramai 320 pegawai dan anggota diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi banjir dalam tempoh MTL itu.

“Bagi tujuan operasi pemindahan penduduk terjejas, JBPM,  Zon Dua, Terengganu akan menggunakan kekuatan sebanyak 16 buah pacuan empat roda dan lori serta 20 buah bot dan semua aset berkenaan ditempatkan di lima buah balai JBPM di Kemaman dan tiga di Dungun,” katanya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.