Penduduk bimbang kemunculan seekor gajah liar
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
DUNGUN: Kira-kira 300 keluarga di Kampung Dendang di sini berada dalam kebimbangan setelah kemunculan seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan kediaman mereka sejak tiga hari lalu.
Kehadiran mamalia liar itu bukan sahaja merosakan tanaman penduduk, malah mengancam keselamatan mereka.
Menurut penduduk, kejadian tersebut adalah kali kedua berlaku sejak kemunculan pertama haiwan liar itu pada 30 tahun lalu.
Gajah liar itu dikesan memasuki kawasan kebun dan kediaman penduduk pada waktu malam dan awal pagi.

Seorang penduduk, Abdul Malik Abdul Rani ketika ditemui hari ini berkata, gajah liar itu berkeliaran kira-kira 30 meter dari rumah penduduk dan keadaan tersebut mencetuskan kebimbangan penduduk.
“Saya dan keluarga memang bimbang keselamatan kami kerana gajah liar itu berkeliaran bedekatan rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Marzuki Mohamad berkata, dia juga pernah menjumpai tapak kaki gajah liar tersebut di kampung itu.
“Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi memberitahu, beliau telah melaporkan kejadian gajah berkeliaran di kampung itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, (PERHILITAN), Daerah Dungun untuk tindakan lanjut.
Pada masa yang sama, beliau turut mengingatkan penduduk supaya tidak memasuki kawasan kebun pada waktu petang dan malam bagi mengelakkan sebarang sebarang kejadian tidak diingini. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.