MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Mei 26, 2009

Chin Peng dan ideologi Komunis yang masih subur

Salam Blogger

Sebarang usaha untuk membawa pulang Pengerusi Parti Komunis Malaya ( PKM ), Ching Peng dan rakan rakan komunis ke negara ini bukan sahaja menghiris perasaan seluruh warga dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) dan juga Polis Diraja Malaysia ( PDRM ). Saya masih ingat apabila saorang anggota PKM menyerah diri dan mendapat pengampunan pada tahun 80an dan diberi tanah di Temerloh, serta gencatan senjata pada tahun 1989 telah menjadi kemarahan sebilangan besar rakyat dan pemimpin pembangkang.

Saudara Mohd Sabu ( sekarang Naib Presiden PAS ) dalam ceramah PAS menjelang pilihanraya umum 1990 nada yang bersemangat supaya rakyat menolak Barisan Nasional ( BN ) kerana kerajaan BN menerima gencatan senjata PKM yang mana pada keanggotaan PKM semakin kecil.
" Saudara saudara lihat di TV, Ching Peng Pengerusi Parti Komunis Malaya yang segak memakai kot dan tali leher umpama tokoh koprat sedang menandatangani perjanjian gencatan senjata dengan wakil Kerajaan Malaysia supaya kerajaan tidak menyerang PKM kerana keanggotaan PKM telah kecil, berapa ramai wanita yang menjadi balu? Berapa ramai ibu bapa yang kematian anaknya kerana mempertahankan tanah air? Berapa ramai bekas tentera yang kudung kaki, putus tangan dan sebagainya tidak diberi pampasan. Tup tap tup tap aku yang berceramah atas tiket Parti PAS ditahan 2 tahun di Kem Kemunting ( ISA ). Komunis yang membunuh rakyat dan tentera Malaysia diberi pengampunan"

Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar usaha untuk mambawa pulang Chin Peng tidak diteruskan dan dihramkamkan sama sekali Chin Peng dan rakan rakan memijak bumi Malaysia. Sejak akhir akhir ini telah banyak usaha untuk membawa pulang Chin Peng dengan pelbagai cara termasuk menggunakan undang undang.

Walau pun PKM telak letak senjata, tetapi ideologinya masih lagi kuat, semangat ingin menakluki negara masih lagi diteruskan dengan pelbagai cara termasuk penerbitan buku buku bagi membangkit semangat dikalangan barisan pelapis yang dikenali sebagai Angkatan Muda Nasional. Buku ini pernah diterbitkan pada tahun 90an dan diulang cetak kali yang ketiga pada tahun 2002. Buku ini bolih didapati di Selatan Thailand dengan harga RM 15.00

Buku ini tidak terdapat didalam negara, saya telah mencari buku ini di Bukit Kayu Hitam dan juga Rantau Panjang tetapi tidak ketemui. Saya hanya membaca ketika menaiki bas dari Ipoh ke Kemaman pada tahun 2002. Menurut sahabat yang baru pulang dari Thailand buku ini dijual secara terbuka di Thailand untuk rakyat Malaysia.

BAB SATU buku ini menceritakan sejarah Pahlawan Melayu diera Hang Tuah dan rakan rakan. BAB DUA menceritakan sejarah Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Ulama serta Pahlawan dari Gunung Semanggol.

BAB TIGA pula menceritakan betapa peritnya hidup ditindas olih Inggeris yang disokong olih orang orang melayu yang ada kepentingan dan Malaysia hingga hari ini masih dijajah walau pun Inggeris telah pulang ke tanah air mereka. Dalam bab ini mereka menaikan semangat perjuangan bangsa yang mereka dakwa akan diagih sama rata tanpa mengira bangsa.

Buku ini ditulis olih Abdul Rashid Maidin saorang pemimpin kanan PKM.
Pada tahun 2002 juga saya telah lapur kepada BKN dan KDN supaya awasi penjualan buku ini.

Lagi kenyataan pemimpin mengenai PKM.

Ada pihak galak ideologi komunis: Zahid

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menyelar usaha beberapa pertubuhan tidak berdaftar dan parti politik yang didapati bagaikan sengaja menggalakkan kemunculan semula ideologi komunis dalam negara. Beliau berkata, ini kerana pihaknya mendapati ada pihak tertentu termasuk beberapa pertubuhan haram yang seakan-akan mengambil kesempatan dengan cuba menghidup dan menyebarkan sentimen mengenai ideologi itu melalui pelbagai cara. Katanya, lebih mengejutkan apabila ada juga yang seakan cuba membangkitkan dan menyebarkan sentimen itu melalui parti-parti politik.
"Saya tidak dapat memaklumkan secara khusus tentang adanya gerakan untuk hidupkan ideologi komunis dalam negara, tetapi ada macam suatu usaha yang berbaur komunis yang cuba dihidupkan semula oleh beberapa badan yang tidak berdaftar dan ada juga yang mahu hidupkannya melalui parti politik," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang, dekat sini. Petikan www.bharian.com.my 25/5/09

Hiris perasaan anggota ATM

SEREMBAN 25 Mei - Sebarang usaha membawa masuk bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke negara ini menghiris perasaan seluruh warga anggota dan bekas anggota serta keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut juga meningkatkan semula rasa kemarahan meluap-luap mereka terhadap Chin Peng dan PKM.
Pada masa ini, katanya, seluruh anggota, bekas anggota dan keluarga ATM serta pasukan keselamatan lain menolak sebarang usaha membawa masuk Chin Peng.

"Saya mewakili warga ATM, sama ada yang sedang bertugas atau yang telah tamat perkhidmatan, berasa amat terhiris jika keputusan dibuat untuk Chin Peng diberi taraf kewarganegaraan.

"Ini kerana lebih 50,000 anggota pertahanan termasuk tentera dan polis terkorban akibat angkara pengganas PKM. Jika ini berlaku, rasa terluka yang amat sangat di kalangan anggota dan keluarga ATM," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas melancarkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Dalam Pertahanan Awam di Kem PLKN, Seri Perkasa, Mantin di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil; dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin.

Beliau mengulas saranan Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin PKM, Chin Peng pulang ke Malaysia baru-baru ini.
Tambah Ahmad Zahid, ketegasan itu tiada kaitan dengan sentimen perkauman tetapi rasa patriotisme yang telah tertanam di kalangan anggota tentera dan polis serta pasukan keselamatan negara yang lain.

"Ada yang bertanya saya, mengapa pengganas komunis yang telah menyerah diri dapat tanah, sedangkan pesara tentera tidak dapat. "Kalau ini pun sudah disuarakan, apatah lagi jika Chin Peng dan gerombolannya diberi taraf kewarganegaraan," tegas beliau.

Justeru Ahmad Zahid berharap jika ada parti politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu memperjuangkan nasib Chin Peng ini, agar lebih berhati-hati.
"Fahamilah jiwa, hati dan darah daging anggota tentera sama ada yang bertugas mahupun yang tamat perkhidmatan. "Ingatlah juga anggota keluarga yang kehilangan orang yang disayang ketika mempertahankan negara sewaktu PKM mengganas dahulu," ujar beliau.

Menurut Ahmad Zahid, saranan membawa masuk Chin Peng telah menjejaskan moral pasukan keselamatan dan menyebabkan rasa marah kembali muncul. "Ini soal perjuangan mempertahankan maruah negara akibat identiti dan ancaman kumpulan Chin Peng," kata beliau.

RTM perlu siar semula kekejaman PKM

KUALA LUMPUR 25 Mei - Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menyiarkan semula kisah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan bekas pemimpinnya, Chin Peng bagi menyedarkan semua pihak tentang keperitan yang pernah mereka timbulkan.

Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Borhan berkata, kekejaman yang ditimbulkan oleh bekas pemimpin PKM dan Chin Peng ke atas askar Melayu dan pasukan polis dulu tidak mungkin lenyap daripada ingatan mereka yang pernah menjadi mangsa.

''Justeru seandainya Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia maka askar-askar Melayu dan anggota polis yang pernah menentang komunis serta waris-waris mereka akan menangis air mata darah.

''Gapena menentang tindakan membawa pulang Chin Peng kerana tempoh darurat ekoran ancaman komunis antara tahun 1948 hingga 1981 menyaksikan rakyat khususnya orang Melayu hidup dalam ketakutan,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan akhbar tertentu yang menyiarkan rencana mengenai nostalgia Chin Peng dan PKM baru-baru ini.
Jelas beliau, Chin Peng memang tidak layak diiktiraf sebagai seorang pejuang ekoran tindakan PKM yang menyaksikan banyak penduduk Tanah Melayu terkorban dan menderita.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Chin Peng patut dihadapkan ke Mahkamah Tribunal kerana menyebabkan banyak nyawa terkorban ketika kumpulan komunis mengganas di Tanah Melayu.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, apa yang dilakukan oleh Chin Peng itu tidak boleh dimaafkan. ''Chin Peng adalah seorang penderhaka kepada negara dan rakyat Malaysia tidak akan berdiam diri jika usaha untuk membawa balik bekas pemimpin komunis ini diteruskan oleh pihak tertentu.

''Siasatan juga perlu dilakukan bagi mengetahui bagaimana sebuah akhbar tempatan boleh menerbitkan artikel nostalgia Chin Peng dan PKM seperti kedua-duanya adalah pejuang negara,'' katanya.

Sementara itu pakar sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, tindakan pihak tertentu memberikan pengiktirafan kepada Chin Peng dan PKM adalah cubaan untuk memutar-belitkan sejarah tanah air.

''Jika ada pihak yang menganggap Chin Peng dan PKM adalah pejuang apakah askar Melayu yang menggadai nyawa mempertahankan negara daripada serangan komunis adalah pengkhianat.

''Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah tertentu seperti menerbitkan buku sejarah mengenai kekejaman komunis kepada generasi muda supaya mereka dapat membezakan siapa pejuang dan siapa petualang negara,'' jelasnya.

Gerakan Pulau Pinang 'buta sejarah'

JOHOR BAHARU 25 Mei - Persatuan Bekas Komando Negeri Johor menyifatkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Dr. Teng Hock Nan sebagai 'buta sejarah' berikutan saranannya agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng kembali ke negara ini.

Penasihatnya Datuk Abdul Aziz Sapian berkata, PKM pimpinan Chin Peng itu bertanggungjawab terhadap ribuan kematian dan kecederaan yang dialami sama ada oleh anggota pasukan keselamatan serta orang awam.

"Tangannya (Chin Peng) itu diselaputi oleh darah anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada kekejaman perjuangan Parti Komunis Malaya yang dipimpin oleh Chin Peng.

"Adakah parti Gerakan Pulau Pinang itu sengaja membutakan dirinya kepada fakta sejarah semata-mata untuk kepentingan peribadi dan politik," katanya kepada Bernama hari ini.
Abdul Aziz yang juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya berkata, ramai di kalangan anggota persatuannya masih menanggung kecederaan yang dialami ketika bertempur dengan anggota PKM.

Parti Gerakan Pulau Pinang itu menurut beliau, sepatutnya lebih sensitif terhadap perasaan ribuan keluarga anggota pasukan keselamatan dan orang awam yang menjadi mangsa kepada PKM.

Persatuan katanya, juga bersedia mempelawa Hock Nan berjumpa dengan balu-balu anggota pasukan keselamatan terutamanya daripada pasukan komando yang terkorban akibat tindakan ganas anggota PKM.

Sehubungan dengan itu kata beliau, persatuan menentang keras sebarang cubaan daripada mana-mana pihak untuk membawa balik Chin Peng yang disifatkan sebagai pengkhianat bangsa walaupun di atas dasar kemanusiaan.
"Pengkhianat bangsa itu (Chin Peng) tidak mempunyai tempat walau seinci pun di negara ini," kata Abdul Aziz yang pernah terlibat di dalam operasi memerangi pengganas komunis ketika bertugas sebagai anggota komando. - BERNAMA

PBPM beri amaran

KUALA LUMPUR 25 Mei - Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memberi amaran keras kepada semua pihak yang bersimpati dengan perjuangan komunis agar tidak berusaha membawa pulang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng ke tanah air.

Presidennya, Shafie Bakri menegaskan, sesiapa juga yang bercita-cita hendak membawa pulang Chin Peng kononnya atas dasar kemanusiaan, bakal berdepan dengan tindakan keras daripada bekas anggota polis yang sebelum ini mempertaruhkan nyawa mempertahankan kedaulatan negara.

"Saya memberi amaran kepada pihak di luar sana. Walaupun apa pun motif mereka, jangan sesekali bercita-cita membawa Chin Peng ke Malaysia.

"Kami bekas pejuang tidak akan berpeluk tubuh dengan hanya melontarkan bantahan melalui kenyataan semata-mata. Andai keadaan itu benar berlaku, mereka ini terpaksa menerima akibatnya,'' tegas beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shafie memberi amaran itu sebagai mengulas permintaan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan terhadap kerajaan supaya membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia.

Hock Nan membuat permintaan itu atas alasan kemanusiaan di samping mendakwa Chin Peng bukan lagi merupakan ancaman keselamatan kepada negara.
Kenyataan pemimpin Gerakan itu mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasakan permintaan tersebut sebagai tidak tepat.
Menurut Shafie, golongan yang bersimpati dengan komunis mahupun pemimpinnya adalah golongan yang buta sejarah serta tidak mempunyai nilai patriotik.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan berkenaan supaya berhenti menjuarai isu Chin Peng kerana ia melukakan hati khususnya para perajurit yang berjuang menentang pengganas komunis.

"Hormatilah pengorbanan kami kerana tanpa darah dan nyawa bekas anggota keselamatan khususnya mereka yang telah terkorban, negara ini belum tentu bebas daripada cengkaman komunis.

"Tetapi jika ada pihak yang sengaja mencabar kesabaran dan tidak menghormati perjuangan murni kami, mereka terpaksa membayar dengan harga yang tinggi,'' tegasnya yang pernah melalui pengalaman menyayat hati apabila terpaksa mengutip cebisan mayat anggota polis daripada unit Pasukan Polis Hutan (PPH) yang dibunuh komunis.
Petikan http://www.utusan.com.my/ 26/5/09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.