Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Seorang mekanik maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua buah kenderaan pikap di Kemaman, Terengganu petang tadi.
Mangsa, Muhammad Shukri Shaari, 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan selepas mengalami cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Kemalangan berlaku kira-kira jam 2.00 petang tadi di atas Bukit Jemalang, Jalan Mak Lagam ke Bandar Ceneh Baru, Kemaman.
Ketika kejadian mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari bengkel membaiki kenderaan ke rumahnya di Bandar Ceneh Baru.
Setiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebuah kenderaan pikap lain.
Ekoran itu, kereta mangsa melintang di tengah jalan dan pada masa sama kenderaan pikap Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh bahagian sisi kiri kereta terbabit.
Mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu telah berjaya dikeluarkan pasukan bomba dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menerima panggilan berhubung kemalangan itu pukul 1.26 petang dan terus ke lokasi kejadian dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.
Seramai 11 orang anggota terlibat bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS).
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 2.20 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.
Pemandu kenderaan pikap berumur 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.