Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang terpedaya sindiket penyamaran melalui panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, mangsa yang bekerja sebagai penyelia kilang membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) IPD Kemaman hari ini.
Menurutnya, mangsa telah menerima satu panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai agen insurans pada 31 Ogos 2024.
Katanya, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis dengan mendakwa mangsa telah membuat tuntutan insurans palsu di sebuah hospital swasta di Selangor.
“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk membuka akaun simpanan di Agrobank dan memindahkan wang simpanan KWSP miliknya berjumlah RM400,000 ke dalam akaun tersebut.
“Selepas itu, mangsa telah membuat 21 transaksi pemindahan wang ke lapan akuan bank berbeza berjumlah RM400,000 dari tempoh pada 5 September 2024 hingga 11 September 2024, selain turut menyerahkan akses penggunaan akaun berkenaan kepada suspek.
“Pada 9 Februari 2025 hingga 12 September 2025, mangsa juga telah melakukan sebanyak 56 transaksi ke-30 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM137,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi memberitahu, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi dan mengalami kerugian RM537,000.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.