Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Paip gas jenis ‘butane’ milik Petronas Gas Berhad (PGB) bocor di tapak projek laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Seksyen 5, Kerteh, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 mengenau kebocoran paip gas tersebut pada pukul 9.53 pagi.
Menurutnya, gas jenis ‘butane’ yang bocor itu dikenal pasti sebagai bahan mudah terbakar.
Katanya, lokasi kebocoran berada kira-kira dua kilometer dari laluan jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk.
“Sebaik menerima laporan, pihaknya terus ke lokasi kejadian dan meaktifkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan menutup laluan utama Kerteh ke Pengkalan Ranggon kepada semua kenderaan bagi tujuan keselamatan.
“Langkah awal yang dilakukan oleh pihak polis adalah menutup sepenuhnya kawasan kejadian daripada akses orang awam dan pekerja,” katanya kepada Suara Timur, hari ini.
Beliau memberitahu, bekalan gas di saluran paip gas yang bocor telah diberhentikan dan ditutup untuk sementara waktu sehingga selesai kerja-kerja penyelenggaraan oleh pihak kontraktor.
Katanya, pihak berkuasa sedang memantau situasi dengan rapi dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut dari semasa ke semasa.
“Orang awam dinasihatkan tidak menghampiri kawasan kejadian dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan,” ujarnya. – Suara Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.