MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Mei 21, 2026

Ops Luxury: 30 kenderaan kereta mewah disita di Terengganu

Ops Luxury: JPJ Terengganu sita 30 kenderaan kereta mewah

21/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita sebanyak 30 kenderaan mewah melalui ‘Ops Luxury’ di seluruh negeri itu bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, antara kesalahan utama yang dikesan ialah kegagalan pemilik memperbaharui perlindungan insurans yang sah dan lesen kenderaan motor atau cukai jalan.

Beliau berkata, sepanjang ops tersebut, pihaknya telah memeriksa sebanyak 130 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk milik syarikat dan individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

MOHD Zamri Samion memeriksa salah sebuah kereta mewah yang disita dalam Ops Luxury di Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Pemilik kenderaan mewah terbabit tidak kebal dengan undang-undang ditetapkan kerana jika berlaku kemalangan mereka akan menyusahkan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Luxury peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 48 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan atau tamat tempoh sementara itu 46 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada pelindungan insurans.

Menurut Mohd Zamri, kesalahan lain yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap, ubah suai kenderaan, lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain.

SEBAHAGIAN kereta mewah yang disita dalam Ops Luxury di Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Ops berkenaan dilaksanakan sebagai satu tindakan penguatkuasaan khas yang berfokuskan kepada pemilik kenderaan mewah yang sengaja lari daripada peraturan undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang ops tersebut juga JPJ akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi strategik termasuk di pusat bandar, kawasan tumpuan elit, lebuh raya utama dan lokasi-lokasi hiburan.

Mohd Zamri menyeru semua pemilik kenderaan memastikan semua dokumen kenedraan sentioasa sah dan mematuhi spesifikasi ditetapkan demi keselamatan mereka dan pengguna lain. – Suara Timur

401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

 

401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

21/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 401,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan yang bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah tersebut melibatkan kenderaan yang menggunakan jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan rekod pemantauan tahunan yang dilakukan secara kolaboratif bersama LPT2 berdasarkan data dan rekod tahunan.

Katanya, jumlah peningkatan aliran trafik ini dijangka berlaku di LPT2 dan jalan-jalan utama di negeri itu.

“Purata kemasukan trafik harian pula dianggarkan sebanyak 33,000 hingga 34,000 kenderaan sepanjang tempoh itu,” katanya

Mohd Khairi berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan.

Beliau berkata, polis Terengganu akan melaksanakan Op Lancar secara menyeluruh di lokasi-lokasi panas dan kawasan dijangka mengalami pertambahan kenderaan dalam tempoh perayaan.

Tambahnya, seramai 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik terkawal sepanjang tempoh perayaan itu.

Selain itu, Mohd Khairi berkata, polis Terengganu merekodkan empat kes buli membabitkan pelajar di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 18 kes sepanjang tahun lepas.

Katanya, empat kes buli itu melibatkan tiga murid sekolah rendah manakala satu lagi membabitkan pelajar sekolah menengah.

“Sementara itu pada tahun lepas pula 13 kes direkodkan melibatkan pelajar sekolah menengah dan lima kes lagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” ujarnya. – Suara Timur

KPDN Terengganu rampas perisian komputer tanpa lesen bernilai RM456,750

 

KPDN Terengganu rampas perisian komputer tanpa lesen bernilai RM456,750

21/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas perisian komputer tanpa lesen bagi tujuan komersial bernilai keseluruhan RM456,750 dalam dua serbuan berasingan di daerah ini hari ini.

Pengarah KPDN Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata operasi penguatkuasaan di bawah Akta Hak Cipta 1987 itu melibatkan sebuah premis syarikat kejuruteraan di Chukai dan sebuah syarikat perkapalan di Bukit Kuang, dekat sini.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan oleh 10 anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Kemaman dengan kerjasama wakil pemilik hak cipta.

“Serbuan pertama dijalankan di sebuah syarikat kejuruteraan di Chukai dan hasil pemeriksaan awal menemukan beberapa perisian dipercayai digunakan tanpa lesen sah, antaranya STAAD.Pro dan STAAD Foundation, bernilai RM71,050.

PEGAWAI KPDN dan wakil pemilik hak cipta memeriksa perisian komputer tanpa lesen ketika melakukan serbuan di sebuah syarikat perkapalan di Bukit Kuang, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau ketika demikian ketka ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan di sini hari ini.

Mohd Mufsi berkata pemeriksaan lanjut turut mendapati sebanyak 14 salinan perisian dipercayai digunakan tanpa lesen sah pada peralatan komputer yang diperiksa.

Katanya, dalam operasi itu pihak KPDN turut menyita empat unit komputer desktop dan sebuah komputer riba bagi tujuan analisis forensik serta siasatan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 kerana memiliki salinan langgaran bagi tujuan selain kegunaan persendirian dan domestik.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohd Mufsi berkata tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang hak cipta selain melindungi hak pemilik perisian daripada aktiviti penggunaan dan pengedaran salinan tidak sah.

Beliau turut mengingatkan syarikat serta premis perniagaan supaya memastikan semua perisian komputer yang digunakan mempunyai lesen sah bagi mengelakkan tindakan undang-undang. – Suara Timur

Selasa, Mei 19, 2026

SATU rugi RM200 juta setahun akibat kebocoran paip dan kecurian air

 

SATU rugi RM200 juta setahun akibat kebocoran paip dan kecurian air

19/05/2026

KEMAMAN: Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat kebocoran paip yang menyalurkan bekalan air bersih ke rumah-rumah pengguna di seluruh negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Abdul Karim Endut berkata, kerugian ekoran kehilangan air terawat tidak terhasil (NRW) itu tidak dapat dielak kerana ianya berpunca daripada masalah paip lama yang bocor.

Menurutnya, pihak SATU terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar setiap tahun bagi melakukan penyelenggaraan dan penggantian paip-paip lama berkenaan.

ABDUL KARIM ENDUT

Katanya, masalah berkenaan dilihat berlaku lebih serius apabila lebih banyak air disalurkan melalui sistem rangkaian paip tersebut maka akan lebih banyak risiko kebocoran akan berlaku.
    
“Kadar NRW tahun ini telah meningkat sedikit kepada 42 peratus berbanding kira-kira 41 peratus tahun lalu dan pihak SATU sedang berusaha untuk mengurangkan kadar itu,” katanya.

Abdul Karim berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Sah, Kemaman, Terengganu hari ini yang dirasmikan EXCO Terengganu, Datuk Hanafiah Mat.

Selain itu beliau, rekod penggunaan bekalan air terawat dalam kalangan pengguna domestik di Terengganu ialah 288.26 juta liter sehari atau 61.95 peratus manakala pengguna komersial dan industri pula mencatatkan 177.06 juta liter sehari atau 38.05 peratus setakat April tahun ini.

“Di seluruh Terengganu, SATU menguruskan 15 buah LRA dan secara purata setiap hari loji-loji berkenaan mampu merawat dan membekalkan 1,031 juta liter sehari.

“Daripada jumlah yang besar ini, kita masih mempunyai lebihan simpanan kecemasan bekalan air pada paras yang stabil iaitu 22.5 peratus,” katanya. – Suara Timur

Isnin, Mei 18, 2026

Tahanan reman lelaki disyaki dera anak tiri disambung

 

Tahanan reman lelaki disyaki dera anak tiri disambung

17/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Tahanan reman terhadap seorang lelaki yang disyaki mendera anak tirinya berusia lima tahun di Kampung Besol Baru, Bukit Besi di sini disambung empat hari bermula hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan Mahkamah Majistret pagi ini selepas tempoh reman lepas berakhir hari ini.

Menurutnya, mahkamah membenarkan permohonan polis untuk menyambung reman selama empat hari lagi bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek.

Media sebelum ini melaporkan polis menahan lelaki berkenaan berusia 36 tahun yang bekerja pemotong kayu pada 10 Mei lalu bagi membantu siasatan setelah terdapat kesan melecur pada jari tangan anak tiri lelakinya dipercayai dibakar suspek menggunakan pemetik api disebabkan nakal pada April lepas.

Ibu mangsa yang berkahwin dengan suspek tiga tahun lalu memaklumkan pada 3 Mei lalu, salah seorang ahli keluarganya turut memberitahu pernah dimaklumkan mangsa yang suspek pernah mencekik leher dan memijak perut mangsa namun tiada saksi melihat kejadian itu.

Suspek ditahan selepas ibu kandung mangsa berusia 30 tahun membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Bukit Besi di sini pada 10 Mei.

Jumaidy berkata, setakat ini polis telah memanggil empat individu termasuk seorang kanak-kanak untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Menurutnya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan kes penderaan atau penganiayaan terhadap kanak-kanak. – Suara Timur

Ahad, Mei 17, 2026

Ketua Dewan Ulamak Pas kunjungi wartawan Suara Timur, Mukhatar A Rahman

 

Ketua Dewan Ulamak Pas kunjungi wartawan Suara Timur, Mukhatar A Rahman

17/05/2026

KEMAMAN:  Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu, Dr. Wan Mat Sulaiman bersama rombongan mengunjungi ke kediaman wartawan Suara Timur, Mukhatar A Rahman di sini semalam.

Turut hadir dalam kunjungan ringkas itu ialah Timbalan Pengerusi JPKK Rumah Murah/Taman Semarak, Haji Fadhlan Abdullah bersama beberapa rakan lain.

Mukhatar berkata, beliau menghargai kunjungan tersebut yang disifatkan sebagai tanda ukhuwah dan hubungan baik antara semua pihak.

“Terima kasih atas kunjungan yang singkat ini. Semoga hubungan yang terjalin terus berkekalan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, pertemuan seperti itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi medium terbaik untuk memperkukuhkan hubungan masyarakat dan kepimpinan setempat. – Suara Timur