KEMAMAN: Seramai 10 pelajar tajaan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) berjaya menamatkan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama High Skills Technology Sdn Bhd (HiSTEC) dan Ranaco Education and Training Institute (RETI).
Mereka menerima sijil tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MUIP Pahang yang berlangsung di Kampus RETI, Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, baru-baru ini.
Sijil disampaikan Pengarah Bahagian Agihan Zakat MUIP, Muhammad Khairuddin Husin.
Turut hadir Pengurus Ranaco Vocational Training Centre, Jasrin Mohd Radin dan Pengarah Eksekutif HiSTEC, Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin.
PELAJAR RETI mengangkat sijil tanda tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MUIP Pahang di Kampus RETI di Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
Berucap pada majlis itu, Jasrin berkata, RETI yang diasaskan oleh Allahyarham Kapten Ramlan Ramli pada tahun 1984 ditubuhkan dengan matlamat memberi peluang kedua dalam pendidikan kepada golongan yang kurang cemerlang dalam bidang akademik.
Beliau berkata, institusi itu kini menawarkan pelbagai kursus dalam bidang maritim, minyak dan gas, keselamatan dan kesihatan, logistik serta hospitaliti.
“Sehingga hari ini, RETI telah melahirkan lebih 40,000 graduan dalam pelbagai bidang yang ditawarkan dan kebanyakan mereka kini berkhidmat dalam industri masing-masing,” katanya.
Jasrin berkata program latihan yang diikuti peserta berkenaan merupakan pintu permulaan untuk mereka menceburi industri minyak dan gas yang menawarkan prospek kerjaya serta pendapatan yang baik.
Beliau turut mengingatkan para peserta supaya menghargai peluang yang diberikan oleh MUIP serta berusaha mencapai kejayaan demi mengubah taraf hidup diri dan keluarga.
MUHAMMAD KHAIRUDDIN HUSIN
Sementara itu, Muhammad Khairuddin berkata, program berkenaan merupakan antara inisiatif MUIP bagi membantu golongan asnaf meningkatkan taraf ekonomi melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
Beliau berkata MUIP turut melaksanakan pelbagai program pembangunan asnaf termasuk latihan keusahawanan dalam sektor pertanian, program kejururawatan serta bantuan pendidikan yang menjurus kepada peluang pekerjaan.
“Setiap tahun tidak kurang daripada 100 individu menerima bantuan pendidikan daripada MUIP bagi meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” katanya.
Menurut beliau, MUIP menerima kutipan zakat kira-kira RM270 juta tahun lalu yang diagihkan kepada golongan asnaf fakir dan miskin menerusi pelbagai program pembangunan dan kebajikan.
TENGKU ROSMIN FARHAN TENGKU MOHD AMIN
Dalam perkembangan berkaitan, Tengku Rosmin Farhan berkata, HiSTEC sebagai penyedia latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sentiasa merangka program berdasarkan keperluan semasa industri.
Katanya, syarikat itu menjalankan kajian terhadap permintaan tenaga kerja sebelum membangunkan modul latihan bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi kehendak industri.
“Kebanyakan dana yang digunakan HiSTEC datang daripada institusi zakat dan objektif utama kami ialah membantu penerima zakat menjadi individu yang berjaya sehingga mampu menyumbang semula zakat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata lepasan kursus yang menamatkan latihan hari ini akan ditempatkan di beberapa lokasi industri antaranya di Pengerang, Johor dan Sungai Udang, Melaka bagi memulakan kerjaya dalam sektor minyak dan gas. – Suara Timur
KEMAMAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memperuntukkan sebanyak RM971,000 bagi membina baharu dan membaik pulih rumah penduduk sepanjang tahun lalu.
Pengurus Besar Ketengah, Datuk Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, menerusi Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) itu sebanyak sembilan unit rumah dibina baharu manakala 13 buah rumah telah dibaik pulih.
Menurut beliau, daripada RM971,000 itu, sebanyak RM317,000 bagi membina tiga unit rumah baharu dan empat buah rumah lagi telah dibaik pulih melibatkan rumah orang asli di Sungai Pergam, Kemaman.
Katanya, bagi pembinaan rumah baharu, kos diperuntukkan untuk sebuah rumah ialah RM79,000 manakala untuk baik pulih pula sebanyak RM20,000 sebuah.
“Program tersebut diperkenalkan bagi memastikan keluarga yang layak dapat menikmati kediaman yang lebih selesa dan kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan tiga buah rumah kepada penduduk orang asli pada Majlis Penyerahan Program Perumahan Rakyat Sejahtera, di Kampung Sungai Pergam di sini petang tadi.
Tengku Ahmad Nadzri menambah, bagi tahun 2026, Ketengah turut menerima peruntukan khas sebanyak RM440,000 bagi membaik pulih 22 unit rumah kediaman dalam Parlimen Dungun.
Sementara itu, salah seorang penduduk Orang Asli yang juga penerima rumah, Mohd Khairul Nizam Mohd Zaidi berkata, dia bersyukur terpilih menerima bantuan rumah melalui program berkenaan.
“Sebelum ini saya menumpang sementara di rumah bapa saudara. Saya bersyukur apabila dapat rumah baharu. Terima kasihlah Ketengah dan KKDW,” katanya.
Tok Batin Kampung Sungai Pergam, Roselan Ismail berkata,, sebagai wakil kepada penduduk dia marakamkan penghargaan terima kasih atas sumbangan tersebut dan berharap lebih ramai generasi kedua orang asli akan dapat manafaat itu pada masa akan datang.
“Kami berharap Ketengah dan KKDW dapat menyalurkan peruntukkan lebih tinggi bagi pembinaan rumah baharu kepada Orang Asli,” ujarnya. – Suara Timur
KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) berjaya mengumpulkan sebanyak 300 tan metrik barangan kitar semula sepanjang tempoh enam tahun menerusi operasi Pusat Pengumpulan E-Sisa dan Kitar Semula yang diwujudkan di lot perniagaan Binjai Souq sejak Oktober 2020.
Setiausaha MPK, Sharifah Khairuzita Tuan Kechil berkata, pusat berkenaan kini menjadi tumpuan penduduk daerah itu untuk menjual barangan e-sisa, bahan kitar semula serta minyak masak terpakai.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program Pendidikan Alam Sekitar “Kitar Sisa Kita” yang berlangsung di Chukai 3R Centre, Jalan Feri Lama, di sini, baru-baru ini.
SHARIFAH Khairuzita Tuan Kechil menunjukkan resit tawaran kompaun sampah sempena Perasmian Penutup Program Pendidikan Alam Sekitar “Kitar Sisa Kita” di Chukai 3R Centre Jalan Feri Lama milik Majlis Perbandaran Kemaman di Kemaman, baru-baru ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
Pada program tersebut, MPK turut bekerjasama dengan beberapa agensi dan organisasi termasuk Tetrapak Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Sekolah Kebangsaan Seberang Tayor, Sally Global Sdn Bhd, Geng Plastik Ija dan Sahabat KEKKAL dalam usaha mendidik komuniti mengenai amalan penjagaan alam sekitar melalui pelbagai aktiviti dan model pembelajaran interaktif.
Beliau berkata. kejayaan tersebut membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan sisa secara lestari semakin meningkat, sekali gus membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas peruntukan yang disalurkan bagi menjayakan program melibatkan komuniti dan anak-anak warga Kemaman.
PENGARAH Jabatan Alam Sekitar MPK , Zulkifli Tahar (tiga kiri) menyampaikan cederahati kepada pengunjung paling aktif menghatar barangan kitar semula ke Pusat E-Waste Kemaman tahun 2025 sempena majlis perasmian Hari Pendidikan Alam Sekitar “Kitar Sisa Kita KITA” Bersama Komuniti di Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
“Terima kasih juga kepada semua agensi dan pihak yang berganding bahu bersama MPK dalam menyampaikan ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar kepada peserta program serta komuniti yang hadir. Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Sharifah Khairuzita berkata, program pendidikan alam sekitar itu merupakan antara inisiatif yang selaras dengan Pelan Pemerkasaan Kebersihan Daerah Kemaman 2022-2030, khususnya teras melestarikan alam sekitar dan mewujudkan perbandaran mampan serta berdaya maju.
Katanya, pelaksanaan program berkenaan turut menjadikan aktiviti kitar semula sebagai model pendidikan yang memberi manfaat kepada komuniti dan pihak berkuasa tempatan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
SEBAHAGIAN pelajar yang yang menyertai Program Pendidikan Alam Sekitar “Kitar Sisa Kita” di Chukai 3R Centre, Jalan Feri Lama di Kemaman baru-baru ini.
“Program ini menepati tiga skop utama Local Agenda 21 (LA21), iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial. Amalan pengasingan sisa di punca melibatkan bahan seperti kertas, plastik, kotak dan minyak masak terpakai memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi komuniti.
“Malah, aktiviti pengasingan sisa dan penghasilan produk baharu daripada bahan kitar semula berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan program kitar semula memerlukan komitmen dan penyertaan aktif daripada seluruh lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, katanya, pihak berkuasa tempatan di seluruh negara termasuk MPK terus melaksanakan penguatkuasaan kompaun serta-merta terhadap individu yang membuang sampah di kawasan awam mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Tindakan penguatkuasaan ini bukan semata-mata berbentuk hukuman, sebaliknya sebagai usaha mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kelestarian persekitaran,” katanya.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan kemudahan yang disediakan dengan menjual barangan kitar semula yang ditawarkan pada harga antara RM0.40 hingga RM4 sekilogram mengikut jenis bahan.
Sharifah Khairuzita berkata, program “Kitar Sisa Kita” diharap dapat memberi impak positif dalam memperkukuhkan kerjasama antara MPK, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat.
“Harapan saya agar lebih banyak program kolaborasi seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya. – Suara Timur
KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan Kemaman sejak Rabu lepas diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian meliputi 117.30 batu nautika persegi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman (ZMK) dalam kenyataan memaklumkan operasi yang memasuki hari kelima itu melibatkan 34 anggota daripada pelbagai agensi.
Menurut kenyataan itu, aset yang terlibat ialah Kapal Maritim Redang (KM Redang) bersama 19 anggota Maritim Malaysia termasuk empat anggota Pasukan Kesihatan Bergerak (PHC), sebuah bot Polis Marin PLC 3 dengan kekuatan lapan anggota serta sebuah bot nelayan tempatan yang disertai tujuh nelayan.
Dua mangsa yang masih belum ditemukan ialah tekong bot, Azan Muda, 68, dari Kampung Geliga, Kemaman dan Nordin Mohammad, 61, dari Paka, Dungun. Pada Rabu lepas, Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan yang dinaiki tiga kru termasuk tekong karam akibat dipukul ombak ketika bersauh kira-kira 29 batu nautika di timur Kuala Kemaman.
Seorang mangsa, Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan selepas ditemukan oleh sebuah bot nelayan lain berhampiran lokasi kejadian sebelum dibawa pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Maritim Malaysia yang bertindak sebagai agensi penyelaras operasi mencari dan menyelamat di laut (MSAR) mengaktifkan operasi CARILAMAT pada jam 6.30 petang sejurus menerima laporan kejadian.
Menurut kenyataan itu, sehingga pukul 6 petang hari ini, pasukan pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan kedua-dua mangsa.
“Maritim Malaysia akan terus mempergiat usaha pencarian dan akan mengemas kini perkembangan operasi dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu. – Suara Timur
KEMAMAN: Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot mereka karam di perairan Kemaman sejak Rabu lepas diteruskan hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas 224.40 batu nautika persegi.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman (ZMK) dalam kenyataan memaklumkan operasi yang memasuki hari keempat itu melibatkan 49 anggota dan petugas daripada pelbagai agensi.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan membabitkan 15 anggota bersama Kapal Maritim Redang (KM Redang) milik Maritim Malaysia, lima anggota serta sebuah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), selain tiga bot nelayan tempatan dengan kekuatan 25 orang.
OPERASI CARILAMAT dua nelayan yang dikhuatiri hilang selepas bot mereka karam di perairan Kemaman sejak Rabu lepas diteruskan hari ini melibatkan kawasan pencarian seluas 224.40 batu nautika persegi.
Dua nelayan yang masih hilang ialah tekong bot, Azan Muda, 68, dari Kampung Geliga, Kemaman dan kru bot, Nordin Mohammad, 61, dari Paka, Dungun.
Pada Rabu lepas, Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan yang dinaiki tiga kru termasuk tekong karam akibat dipukul ombak ketika bersauh kira-kira 29 batu nautika di timur Kuala Kemaman.
Seorang daripada mangsa, Mahadi Jusoh, 51, berjaya diselamatkan selepas ditemui sebuah bot nelayan yang melalui kawasan kejadian sebelum dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Sejurus menerima laporan, Maritim Malaysia selaku agensi penyelaras operasi mencari dan menyelamat di laut (MSAR) mengaktifkan operasi CARILAMAT pada 6.30 petang hari yang sama.
Menurut kenyataan itu, setakat 4 petang ini, operasi pencarian masih belum menemukan sebarang petunjuk atau petanda baharu mengenai kedua-dua mangsa. – Suara Timur
KEMAMAN: Pekebun di Kampung Neram di dekat sini berharap pihak berkaitan dapat mencari penyelesaian segera bagi mengatasi masalah serangan gajah liar yang terus merosakkan tanaman mereka.
Masalah yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan pekebun terpaksa menanggung kerugian besar selepas tanaman kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan mereka musnah.
Penduduk mendakwa, kumpulan gajah liar itu dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran dan masuk kebun-kebun penduduk berhampiran untuk mencari makanan.
SEBAHAGIAN pokok kelapa sawit yang dirosakkan gajah liar di Kampung Nera, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN
Dalam kejadian terbaharu Khamis lalu, kumpulan haiwan itu sekali lagi dikesan masuk ke kawasan tanaman dan memusnah puluhan pokok kelapa sawit yang telah mengeluarkan hasil.
Seorang pekebun, Fizi Uji, 42, berkata, kejadian itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun, malah menimbulkan kebimbangan kerana ancaman haiwan liar itu semakin kerap berlaku.
Menurut Fizi, kemusnahan tanaman itu menyebabkan mereka mengalami kerugian ribuan ringgit setiap kali kebun mereka diceroboh gajah liar.
“Memang saya sangat kecewa, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana hanya Allah SWT yang mengetahui perasaan ini. Penat lelah dan usaha yang dicurahkan akhirnya berdepan dengan keadaan seperti ini.
FIZI UJI
“Jika mahu memulakan semula, sudah tentu memerlukan modal yang besar. Saya hanya berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang pada masa akan datang.” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk mengadakan rondaan untuk menghalau haiwan berkenaan, namun ia hanya bersifat tindakan sementara.
Katanya, beliau berharap langkah jangka panjang dapat dilaksanakan bagi mengelakkan konflik antara manusia dan hidupan liar itu daripada terus berulang.
Sementara itu, tambahnya, pelan tindakan jangka pendek dan pelan jangka panjang kini dalam proses perbincangan akhir untuk dilaksanakan oleh pihak berkaitan.
“Antara jalan penyelesaiannya ialah membina pagar elektrik dan mewujudkan kawasan tempat pengumpulan makanan bagi mengelakkan kumpulan gajah liar itu masuk ke kawasan kebun,” katanya. – Suara Timur
SECARA tradisinya, anak dianggap sebagai anugerah dan penyambung warisan keturunan. Namun berbeza dengan generasi masa kini yang semakin cenderung memilih gaya hidup childfree.
DR NOR HASMAH SALLEH
Adalah penting untuk membezakan childfree iaitu pilihan sukarela untuk tidak mempunyai anak kerana kerjaya, kebebasan kewangan atau kebimbangan masalah global; dan istilah childless iaitu ketiadaan anak yang bukan pilihan akibat masalah ketidaksuburan.
Tren childfree ini bermula di Eropah sejak 1970-an dan pemikiran untuk memilih childfree semakin berkembang di Malaysia yang telah didorong oleh tekanan ekonomi, kos sara hidup yang lebih tinggi dan tekanan untuk lebih fokus pada kemajuan kerjaya.
Oleh yang demikian, struktur demografi berubah di Malaysia telah berubah dengan ketara khususnya, dan negara ini telah menjadi negara menua pada tahun 2021, di mana 7% rakyat Malaysia telah mencecah usia 65 tahun, dan dijangka bakal menjadi negara didominasi dengan warga tua menjelang 2040 (Jabatan Perangkaan Malaysia,2025).
Dalam masa yang sama, piramid populasi di Malaysia juga menunjukkan kadar kelahiran yang menyusut dan jangka hayat yang semakin meningkat, menyebabkan negara bakal berdepan kekurangan tenaga kerja pada masa hadapan.
TREN childfree bermula di Eropah sejak 1970-an dan pemikiran untuk memilih childfree semakin berkembang di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Ini akan meletakkan beban pembayar cukai dan perbelanjaan kesihatan awam yang lebih tinggi ke atas golongan muda untuk menanggung kos penjagaan warga emas, serta berpotensi memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara (Perangkaan penting, Malaysia, 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia).
Tekanan komitmen kewangan menyebabkan ramai menolak peranan keibubapaan, namun Islam mengajar bahawa setiap anak dilahirkan bersama rezekinya yang tersendiri, selaras dengan panduan Maqasid Al-Syariah yang menekankan kelangsungan keturunan melalui anak dan secara tidak langsung berkaitan dengan kelangsungan harta benda.
Jika difikirkan sekiranya pilihan childfree ini berterusan, golongan tua pada masa depan bakal hidup berkeseorangan ketika melalui hari-hari tua mereka, tanpa ada kebergantungan kepada anak-anak atau cucu.
Hal ini demikian boleh menyumbang kepada peningkatan masalah penyakit tidak berjangkit termasuklah masalah mental yang prevalent dikalangan warga emas iaitu tekanan perasaan (stress), panik (anxiety), atau kemurungan disebabkan oleh self-loneliness.
Tambahan lagi, negara bakal menanggung kos penyakit tidak berjangkit di kalangan warga tua yang semakin meningkat; kos rawatan, kos penjagaan serta rawatan paliatif. (Berita Harian 24 Mei 2026).
PIRAMID populasi di Malaysia menunjukkan kadar kelahiran menyusut dan jangka hayat yang semakin meningkat. – GAMBAR HIASAN
Dalam konteks yang berbeza, ramai juga antara kita yang mungkin kurang faham tentang konsep perancang keluarga. Islam membenarkan amalan perancangan keluarga secara sementara sekiranya terdapat alasan kukuh seperti masalah kesihatan ibu atau anak yang ada yang memerlukan ibu bapa lebih fokus pada anak yang ada sekarang dan merancang untuk anak seterusnya, kewangan yang belum stabil atau untuk fokus kepada perkembangan dan pendidikan anak-anak yang masih ada.
Konsep ini dibenarkan atas tiga syarat, termasuklah keyakinan kepada takdir Ilahi, tidak mendatangkan kemudaratan, dan peretujuan bersama suami dan isteri (Hazali S.A.,2024).
Bagi pasangan tidak subur, Islam menggalakkan rawatan perubatan seperti In Vitro Fertilization (IVF) atau Intrauterine Insemination (IUI) atau pengambilan anak angkat yang dibantu dengan konsep susuan ibu (ibu susuan) untuk menjadikannya mahram dan menjaga nasab keluarga.
“Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu,”
Justeru, bagi menangani pilihan childfree dan menggalakkan kelahiran, kebanyakan negara termasuklah Malaysia samada kerajaan pusat dan sesetengah Kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai dasar yang memberi galakan kepada ibu bapa muda seperti memberikan bonus kepada bayi yang baru dilahirkan dan memberi cuti bersalin yang lebih panjang selama 98 hari.
Di Malaysia, belanjawan 2026 juga telah memperkasakan insentif sokongan dengan meluaskan pelepasan yuran taska/tadika terutamanya kepada golongan B40, dan menambahkan juga cuti paterniti selama 7 hari. Tambahan lagi, inisiatif Bantuan Rawatan Kesuburan (BuAI) ditawarkan untuk mambantu rawatan kesuburan dan kelonggaran pengeluaran simpanan dari akaun Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) bagi rawatan IVF.
TEKANAN komitmen kewangan menyebabkan ramai menolak peranan keibubapaan. – GAMBAR HIASAN
Namun begitu, dasar awam tidak mencukupi dan berkesan tanpa sokongan dan pemahaman masyarakat terutama golongan muda. Usaha menghidupkan semula sistem penjagaan kanak-kanak secara bergilir dalam kalangan masyarakat amatlah digalakkan di samping dapat mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan dapat bertolak ansur.
Selain itu,majikan juga wajar menyediakan kemudahan taska di tempat kerja dan polisi menghormati masa peribadi pekerja terutamanya selepas waktu pejabat atau selepas habis syif bekerja melainkan kecemasan dalam urusan kerja, di mana di rumah adalah menjadi tanggungjawab bersama suami dan isteri untuk berkongsi pula bebanan kerja dan urusan rumah tangga bagi mengelakkan istilah “double shift” untuk para isteri, yang pastinya melelahkan.
Institusi keagamaan setempat seperti masjid juga digalakkan menyediakan perkhidmatan mesra kanak-kanak bagi menggalakkan ibubapa hadir mengimarahkan masjid dan memudahkan para ibubapa muda beribadah.
Selain itu, amatlah diharapkan supaya masjid juga menyediakan kemudahan untuk pelbagai aktiviti am bagi anak-anak untuk belajar atau beraktiviti. Inisiatif ini mampu memberi rasa selamat ibubapa muda untuk mempunyai anak kecil dizaman yang semakin mencabar sekarang.
Kesimpulannya, fenomena childfree ini harus ditangani secara holistik oleh semua pihak dari sudut ekonomi, emosi, agama dan sosial. Gabungan dasar kerajaan yang menyokong serta jaringan komuniti yang prihatin adalah penting untuk menjadikan peranan keibubapaan kurang membebankan dan mengimbangi hak peribadi dengan tanggungjawab kelangsungan populasi negara.
Menjadi ibu bapa bukanlah perkara mudah di era kemajuan serba mencabar ini, namun pilihan menjadi ibu bapa itu adalah sangat dituntut didalam Islam untuk kesinambungan keturunan, harta dan meramaikan umat Rasulullah S.A.W. Satu amanah yang harus digalas dengan baik dan berdedikasi, supaya Islam terus berkembang dan umatnya hebat menyeimbangkan kehidupan dunia dan amalan untuk ke dibawa akhirat. Maka, lebih amanlah dunia dengan anak-anak soleh.
NOTA: Penulis merupakan pelajar Sarjana Perubatan Kesihatan Awam Sesi 2025/2026 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Kuantan merangkap Pegawai Perubatan dan Kesihatan U13 Kementerian Kesihatan Malaysia
Semua berita yang disiarkan didalam Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! merupakan tulisan penulis yang diolah oleh Biro Utusan Malaysia dan Kosmo! Terengganu.
Mereka terdiri daripada Wan Zulkifli Wan Yaakob, Azli Adlan, Radhuan Hussain dan Rosalinda Md. Said
Bermula Oktober 2019 menjadi penulis bebas
Bermula Mac 2025 ditawar menjadi wartawan sambilan dengan Portal Suara Timur
Dilahirkan di Kg Tasik Mengkuang, Kerandang, Besut, Terengganu.
Dibesarkan di Kemaman Terengganu.
Jawatan sukarela dan badan bukan kerajaan.
1. Menyertai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia ( 1989 hingga sekarang )
2. Dilantik sebagai Timbalan Ketua Platun TRG 0219 dari tahun 1994 - 1998
3. Dilantik sebagai Ketua Kumpulan Elit dari Tahun 1994 - 1998
4. Pengasas Persatuan Belia Seri Jaya pada Tahun 1993
5. Pengerusi Persatuan Belia Seri Jaya dari Tahun 1994 - 2004
6. Pengasas UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya pada Tahun 1994
7. Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1994 - 1995
8. Timbalan Ketua UMNO Cawangan Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 1995 hingga 2023.
9. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MAYC Kawasan Kemaman dari Tahun 1998 hingga 2009.
10. Dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah Kemaman dari Tahun 2000 - 2004
11. Dilantik Timbalan Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari Tahun 2005 hingga 31 Mac 2014.
12. Dilantik sebagai Pengerusi JKKK Kg Lot Seri Jaya dari bermula 1 April 2014 hingga 31 Mei 2018
Menjadi Ahli PAS dari Tahun 1987 - 1993