MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Mei 15, 2026

Penduduk Bandar Ceneh Baharu bimbang gajah liar ceroboh kawasan rumah

 

Penduduk Bandar Ceneh Baharu bimbang gajah liar ceroboh kawasan rumah

15/05/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Lebih 2,000 penduduk di Perumahan Peringkat Empat, Bandar Ceneh Baharu di sini hidup dalam kebimbangan berikutan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran dan memasuki kawasan kediaman mereka sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 1 pagi tadi, beberapa ekor gajah dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran sebelum memasuki kawasan perumahan dan merosakkan pelbagai tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa di bahagian belakang rumah.

Tinjauan hari ini mendapati kumpulan gajah liar berkenaan berada terlalu hampir dengan kediaman penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan mereka.

Seorang penduduk, Mohd Noor Omar, berkata, dia terkejut selepas mendapati dua ekor gajah berada betul-betul di hadapan pintu dapur rumahnya ketika mahu memeriksa bunyi bising yang didengari dari bahagian belakang rumah



“Saya terdengar bunyi di belakang rumah lalu membuka langsir untuk melihat keadaan, tetapi gelap. Pada mulanya saya sangka babi hutan. Saya kemudian membuka pintu dapur dan menyuluh sebelum terkejut melihat dua ekor gajah berada sangat dekat dengan rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

KUMPULAN gajah liar berkeliaran dan memasuki kawasan kediaman penduduk di uduk di Perumahan Peringkat Empat, Bandar Ceneh Baharu, Kemaman. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, dia segera menutup pintu dapur dan meminta isterinya bersiap sedia untuk menyelamatkan diri melalui pintu hadapan rumah sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

Sementara itu, isterinya, Hasnah Jusoh berkata, dia hampir pengsan akibat terlalu takut selepas melihat haiwan liar bersaiz besar itu berada begitu hampir dengan kediaman mereka.

“Kami memang takut sebab gajah itu berada betul-betul di tepi rumah. Kami hanya mampu berdoa supaya haiwan itu tidak bertindak agresif dan berharap pihak Perhilitan dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Latif Rashid berkata, penduduk kini hidup dalam kebimbangan kerana kumpulan gajah liar berkenaan semakin kerap memasuki kawasan perumahan dan merosakkan tanaman mereka.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berterusan serta mengambil langkah segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kepada penduduk.

“Kami harap pihak berkaitan dapat menghalang gajah ini daripada terus datang ke kawasan rumah kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Peringkat Empat, Wan Nordin Wan Omar berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihak Perhilitan diharap dapat meningkatkan pemantauan di kawasan terlibat memandangkan kejadian itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat. – Suara Timur

Rabu, Mei 13, 2026

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

 

Penunggang motosikal maut bertembung kereta

12/05/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Geliga Chukai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa, Zulkarnain Rawi, 51, dari Kampung Chendor Baru, Kuantan, Pahang, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori ketika itu menunggang motosikal dari arah Bandar Chukai menghala ke Chendor.

KEADAAN motosikal ditunggangi Zulkarnain Rawi selepas bertembung dengan lereta di Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran persimpangan lampu isyarat Kampung Geliga Chukai, Kemaman,

Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi dipandu lelaki warga emas berusia 78 tahun keluar dari simpang Pusat Dialisis Buah Pinggang menghala ke Bandar Chukai sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai meneruskan perjalanan sebaik tiba di persimpangan berkenaan ketika lampu isyarat sedang berkelip hijau.

“Bagaimanapun motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak kereta berkenaan yang keluar dari simpang sebelum berlaku perlanggaran.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Katanya, pemandu Perodua Myvi terbabit mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Suara Timur

Selasa, Mei 12, 2026

Syarikat perniagaan mengaku salah dua pertuduhan jual produk tembakau tidak patuhi peraturan

 

Syarikat perniagaan mengaku salah dua pertuduhan jual produk tembakau tidak patuhi peraturan

12/05/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Sebuah syarikat perniagaan didenda RM16,000 oleh Mahkamah Majistret Kemaman, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menjual produk tembakau yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan di premis perniagaannya pada Oktober tahun lalu.

Majistret Marsha Abdul Malik menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) selepas pihaknya mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara selama setahun sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Bagaimanapun, OKS membayar denda tersebut.

Berdasarkan fakta kes, kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Kawalan Penjualan Produk Merokok yang dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di premis perniagaan berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan di premis itu menemukan serta menyita sebanyak 41 paket rokok pelbagai jenama bernilai RM262.50.

Daripada jumlah itu, pemeriksaan pertama menemukan lapan paket rokok jenama Surya Gudang Garam manakala pemeriksaan kedua menemukan 33 paket rokok jenama Bosston.

OKS didapati menjual produk tembakau tidak mengikut harga jualan minimum yang ditetapkan iaitu RM12 bagi setiap paket selain menjual produk tembakau tanpa label amaran kesihatan seperti diperuntukkan di bawah undang-undang.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan berhujah bahawa kerajaan mewartakan peraturan penjualan produk tembakau di bawah Akta 852 bagi memperketat kawalan penjualan produk merokok khususnya bagi mengelakkan golongan bawah umur memperoleh akses mudah untuk membeli produk berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (KPPKP), Mohd Azman Mohd Ramli dengan dibantu Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP), Mohd Nasir Mohd Shaari.

Bagi pertuduhan pertama, OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta 852 dibaca bersama Peraturan 5(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 [P.U. (A) 260] kerana menjual produk tembakau dalam bungkusan yang tidak mempunyai label amaran kesihatan.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta 852 dibaca bersama Peraturan 9(1) peraturan sama kerana menjual produk tembakau pada harga di bawah harga jualan minimum yang ditetapkan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh turut berdepan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali. – Suara Timur

Isnin, Mei 11, 2026

Bapa direman tujuh hari disyaki dera anak tiri

 

Bapa direman tujuh hari disyaki dera anak tiri

11/05/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN – Seorang lelaki direman tujuh hari hingga Ahad depan selepas disyaki mendera anak lelaki tirinya berusia lima tahun sejak sebulan lalu dalam kejadian di Kampung Besol Baru, dekat sini.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Amirah Fatihah Osman di Mahkamah Majistret Dungun hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Jumaidy Bah Chong Weh berkata, suspek ditahan pada pukul 5.50 petang semalam selepas ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

SEORANG bapa yang disyaki mendera anak tiri dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut beliau, ibu mangsa menyedari terdapat kesan melecur pada jari anaknya pada 7 April lalu sebelum kanak-kanak itu memaklumkan kecederaan berkenaan dipercayai dilakukan suspek menggunakan pemetik api.

“Suspek dipercayai bertindak demikian sebagai hukuman kerana mendakwa mangsa terlalu nakal dan degil,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut memaklumkan pernah dicekik dan dipijak pada bahagian perut oleh suspek ketika ibu mangsa tiada di rumah kerana keluar berniaga.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan air kencing juga didapati negatif dadah.

Menurut beliau, suspek merupakan bapa tiri kepada mangsa dan telah berkahwin dengan ibu kanak-kanak terbabit sejak hampir tiga tahun lalu. – Suara Timur