Kerajaan Persekutuan peruntuk RM26.7 juta bina, naik taraf masjid di Terengganu
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelaras Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memperuntukkan sebanyak RM26.7 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membina dan menaiktaraf sebanyak 137 buah masjid di negeri Terengganu sejak 2023.
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Negeri Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, kerajaan memang komited untuk melaksanakan pembangunan masjid bagi keselesaan jemaah.
Menurut Datuk Abdul Kahar, buat masa ini terdapat dua lagi projek pembinaan masjid yang sedang dilaksanakan iaitu Masjid Kampung Apal di Besut yang dijangka siap hujung tahun ini.
“Peruntukan RM26.7 juta untuk pembinaan baharu dan membaik pulih masjid di seluruh Terengganu.
“Ikut rekod, 137 buah masjid yang kita buat kerja-kerja pembaikian dari tahun 2023 hingga 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Masjid Jamek Kerteh dekat sini hari ini.
Abdul Kahar berkata, Masjid Kampung Langgar di Hulu Terengganu juga masih sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan tahun depan.
Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf Masjid Jamek Kerteh telah bermula April tahun lalu dan siap 6 November lalu membabitkan kos RM1.73 juta.
Menurutnya, selain tambahan ruang solat dengan kapasiti 600 jemaah, ianya termasuk pembinaan beberapa infrastruktur lain seperti tandas dan empat unit kediaman imam dan bilal.
“Masjid berkenaan bukan sahaja tempat beribadah malah dijadikan pelbagai aktiviti untuk pembangunan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kerteh melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan Persekutuan yang telah menyediakan peruntukan khas bagi kerja-kerja menaik taraf masjid berkenaan.- Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.