MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Disember 02, 2025

Penduduk minta pihak berkuasa tangkap gajah liar

 

Penduduk minta pihak berkuasa tangkap gajah liar

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Penduduk di Kampung Minda, Hulu Dungun, dekat sini meminta  pihak berkuasa segera mengambil tindakan susulan seekor gajah liar yang didakwa sering muncul di kawasan rumah mereka.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan penduduk yang mengusahakan kebun terpaksa menanggung kerugian selepas tanaman mereka dimusnahkan haiwan berkenaan.

Mereka mendakwa, gajah liar itu adalah gajah yang sama ditemui berkeliaran di Kampung Dendang, tidak jauh dari kampung berkenaan bulan lalu.

Menurut penduduk yang juga pekebun, kehadiran gajah liar ke kampung berkenaan empat hari lalu telah memusnahkan pelbagai jenis tanaman seperti pisang yang boleh dituai dan dijual.

PENDUDUK membersihkan pokok pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Minda, Hulu Dungun, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Susulan itu, penduduk kini serik untuk menanam semula dan menanggung kerugian malah ada mereka yang terpaksa berjaga malam bagi mengawal kebun mereka walaupun berdepan risiko bahaya.

Walaupun banyak aduan dibuat, sehingga kini masih belum ada tindakan daripada pihak berkenaan.

Seorang pekebun Mohd Shamsudin Khalid berkata, penduduk kecewa apabila hasil tanaman yang boleh dituai dirosakkan gajah liar tersebut.

MOHD SHAMSUDIN KHALID

“Pendapatan penduduk terjejas apabila hasil tanaman mereka rosak dan tidak dapat dijual,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pekebun, Mohamad Nordin Samad pula berkata, masalah yang dihadapi penduduk itu telah lama berlarutan namun tiada tindakan diambil pihak berkuasa.

MOHAMAD NORDIN SAMAD

“Keadaan tersebut menyebabkan saya sentiasa mengeluar modal baharu untuk menaman pisang setiap kali dirosakan  gajah liar itu,”  ujarnya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika dihubungi berkata, operasi menangkap gajah berkenaan sebelum ini berdepan kesukaran khususnya bagi mengesan lokasi kedudukan haiwan liar itu.

“Pihak saya akan turut mengadakan perbincangan bersama pihak berkaitan dan meminta penduduk supaya menyalurkan maklumat sekiranya haiwan itu muncul di kawasan kebun milik mereka,” tambahnya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.