MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Januari 25, 2026

Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan di Kampung Sungai Pergam

 

Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan di Kampung Sungai Pergam

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Tiga pasangan pengantin Orang Asli teruja diraikan dalam satu Majlis Perkahwinan Masyarakat Orang Asli yang diadakan di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Pergam dekat sini hari ini.

Tiga pasangan terbabit ialah Khairul Anuar, 33, dan Nurul Izzatie Andol, 25,  Abby Shahril Soki, 27, dan Nurul Nadhira Abdullah, 18, serta Mohammad Khairul Nizam Rosman, 23, dan Rosnah Misa, 20 tahun.

Ketiga-tiga pasangan berkenaan sebelum itu telah dinikahkan oleh jurunikah Pejabat Agama Daerah Kemaman, Mohamad Faizu Zakaria di Surau An Nur, kampung tersebut.

PASANGAN pengantin Orang Asli dinikahkan Mohamad Faizu Zakaria di Surau An Nur di Kampung Sungai Pergam, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Sebelum ini, dua pengantin perempuan iaitu Rosnah dan Nurul Izzatie merupakan saudara baru selepas mereka memeluk agama Islam pada November tahun lalu.

Ketiga-tiga pasangan pengantin berkenaan kemudian diarak dengan bunga manggar sejauh  50 meter menuju ke Dewan Orang Ramai kampung berkenaan untuk majlis persandingan.

Lebih 100 tetamu termasuk ahli keluarga terdekat hadir untuk memeriahkan majlis berkenaan.

TIGA pasangan pengantin yang diraikan di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Pergam, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Majlis itu dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Terengganu dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Turut diadakan majlis memotong pulut kuning dan penyampaian cenderamata untuk kesemua pasangan pengantin berkenaan.

Sementara itu, seorang wakil pengantin yang ditemui Mohamad Khairul Nizam Rosman, melahirkan rasa teruja kerana telah selamat diijab kabulkan dalam majlis berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau mengakui bakal memikul tanggungjawab besar  memandangkan isterinya, Rosnah yang berasal dari Rompin, Pahang baru memeluk Islam.

“Insya-Allah saya akan membimbing isteri untuk menjadi seorang muslim yang baik, ajar solat dan berpuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut  hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Perkim Terengganu, Prof. Dr. Ramle Abdullah yang turut hadir pada majlis itu berkata, dua pengantin perempuan iaitu Rosnah dan Nurul Izzatie memeluk agama Islam pada November tahun lalu.

Menurut Dr Ramle, pihaknya akan membantu membimbing pasangan pengantin berkenaan dengan bantuan penggerak masyarakat dan guru agama dilantik pejabat agama serta pegawai Perkim melalui pemantauan dan khidmat bimbingan kepada pasangan tersebut. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.