MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Isnin, Januari 26, 2026

KETENGAH TAWAR 260 LOT PERNIAGAAN DI LIMA TAPAK BAZAR RAMADAN

 

KETENGAH TAWAR 260 LOT PERNIAGAAN DI LIMA TAPAK BAZAR RAMADAN

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) menawarkan 260 lot perniagaan di lima tapak Bazar Ramadan Rahmah dalam wilayahnya sempena Ramadan tahun ini.

Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat berkata, lima tapak bazar Ramadan itu adalah di Bandar Al Muktafi Billah Shah (60 lot), Bandar Bukit Besi (50 lot), Bandar Ketengah Jaya (50 lot), Bandar Seri Bandi (30 lot) dan Bandar Ceneh Baharu (70 lot).

Menurutnya, harga sewa bagi satu unit lot berbumbung adalah RM160 manakala lot terbuka sewanya adalah RM100 sebulan dan harga sewa itu amat rendah dan berpatutan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Yayasan KETENGAH kepada lima pelajar dan seorang mangsa kebakaran di Bandar Bukit Besi hari ini.

MOHAMAD Danial Jazli Darus (kiri) dan Muhammad Harith Fitri Rizwan menunjukkan sumbangan yang diterima daripada Yayasan KETENGAH di Bukit Besi, Dungun, hari ini. -SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, lot bazar Ramadan itu ditawarkan kepada peniaga bumiputera dalam wilayahnya yang mempunyai sijil pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan tarikh tutup permohonan pada 4 Feb depan.

Tambahnya, peniaga bazar Ramadan dinasihatkan menjual juadah berbuka puasa pada harga berpatutan memandangkan mereka menyewa lot jualan dengan harga murah.

Selain itu, menurutnya, peniaga juga perlu bertanggungjawab dengan memastikan makanan dan minuman yang dijual terjamin kebersihannya.

Dalam perkembangan lain, Rozi memberitahu, Yayasan KETENGAH turut menyediakan sumbangan bantuan pendidikan bagi membantu anak-anak dalam wilayah berkenaan yang kurang berkemampuan dan beberapa bantuan seperti di timpa musibah atau bencana.

Beberapa penerima sumbangan pendidikan di bawah Yayasan Ketengah melahirkan rasa bangga dan berterima kasih selepas terpilih menerima bantuan kewangan sebanyak RM1,000 itu.

Seorang penuntut Universiti Malaya, Muhamad Harith Fitri Rizwan berkata, beliau akan menggunakan sumbangan yang diberikan itu bagi kegunaan pembelajaran dan ianya sekaligus dapat meringan beban keluarganya.

Seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Mohamad Danial Jazli Darus, berterima kasih kepada Yayasan KETENGAH dan dengan adanya bantuan itu ianya dapat membantyu menjelaskan sebahagian daripada yuran belajar.

“Terima kasih kepada Yayasan KETENGAH kerana dapat membantu sedikit sebanyak yuran-yuran saya atau belanja harian di sana,” ujarnya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.