MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Julai 03, 2026

MPK belanja RM150,000 bangun Chukai Smart Park

 

MPK belanja RM150,000 bangun Chukai Smart Park

03/07/2026

Oleh MULHTAR A RAHMAN

KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membelanjakan RM150,000 bagi membangun Chukai Smart Park, Taman Awam Bandar Chukai di Jalan Padang, Chukai, di sini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Zuwislan Awang berkata, Chukai Smart Park merupakan salah satu inisiatif MPK dalam merealisasikan aspirasi Kemaman Bandar Pintar 2030 melalui penyediaan kemudahan rekreasi yang lebih moden, selamat dan mesra pengguna.

“Taman ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan berteraskan teknologi pintar seperti Smart Toilet, Smart Compound Light, Mosquito Lamp, Wireless USB Charging Point dan Panic Button, selain laluan lampu LED pintar berkonsepkan motion sensor yang memberikan pengalaman baharu kepada pengunjung,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap  pada majlis perasmian Chukai Smart Park, Taman Awam Bandar Chukai di Kemaman Arena Square, Jalan Padang, Chukai dekat sini,  Selasa lepas.

Majlis perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Chukai, Datuk  Hanafiah Mat.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Kemasik, Ir. Haji Saiful Azmi Suhaili.

CHUKAI Smart Park merupakan salah satu inisiatif MPK dalam merealisasikan aspirasi Kemaman Bandar Pintar 203 di Chukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Zuwislan berkata, program ini mencerminkan komitmen MPK dalam memperkasakan agenda bandar pintar serta menyediakan kemudahan awam yang berkualiti demi kesejahteraan dan keselesaan masyarakat.

Katanya, kemudahan-kemudahan ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah membantu menjadikan pengurusan taman lebih cekap, selamat dan berteknologi.

“Sebagai nilai tambah, MPK turut memasang lampu hiasan pintar berkonsepkan Motion Sensor berasaskan teknologi LED di laluan pejalan kaki sepanjang 32 meter di kawasan Chukai Smart Park

Zuwislan berkata, lebih menarik, imej-imej LED ini akan bertindak balas mengikut pergerakan kita.

“Bila kita berjalan di laluan ini, corak pencahayaan akan berubah mengikut pergerakan pengguna, menjadikan suasana taman lebih hidup dan menarik terutama pada waktu malam,” ujarnya.

Beliau berkata, MPK merupakan pihak berkuasa tempatan kedua di Malaysia yang melaksanakan kemudahan seumpama ini di kawasan rekreasi awam. Projek ini menelan belanja sebanyak RM150,000.

Tambahnya, MPK turut menerima peruntukan berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada bulan Mei lepas bagi pembangunan Taman Rekreasi MADANI, yang dilaksanakan melalui Jabatan Landskap MPK.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam menyediakan ruang rekreasi yang lebih berkualiti, selesa dan berdaya huni untuk dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, bagi menambah nilai serta tarikan di kawasan ini, MPK juga telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi pemasangan water fountain baharu yang kini menjadi salah satu elemen landskap utama di Chukai Smart Park ini.

“Kemudahan ini bukan sahaja memperindah suasana taman, malah mewujudkan persekitaran yang lebih menarik, moden dan mesra pengunjung,” katanya.  – Suara Timur

Murid lelaki parah dirempuh kereta di hadapan sekollah

 

Murid lelaki parah dirempuh kereta di hadapan sekollah

03/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang murid lelaki tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga cedera parah selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di hadapan sekolahnya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata dalam kemalangan pada pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia enam tahun terpaksa ditidurkan akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika murid berkenaan  sedang melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar di bahagian kiri kereta jenis Perodua Myvi.

Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta seorang wanita berusia 40 tahun dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga menuju ke SK Sri Geliga.

Katanya pemandu kereta berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kemaman selepas kemalangan tersebut.

Mohd. Razi berkata, murid tersebut kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Rabu, Julai 01, 2026

SKM fokus perkasa pembangunan koperasi belia

 

SKM fokus perkasa pembangunan koperasi belia

01/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memberi fokus kepada pembangunan koperasi belia bermula tahun lepas bagi melahirkan lebih ramai golongan muda sebagai pelapis yang mampu memperkukuh gerakan koperasi negara.

Pengerusinya, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal berkata, penyertaan lebih ramai belia dalam koperasi amat penting bagi memastikan kelangsungan sektor itu sebagai antara pemacu pembangunan ekonomi negara.

“Belia merupakan pelapis kepada gerakan koperasi dan penyertaan golongan muda yang semakin meningkat akan meneruskan kesinambungan koperasi sebagai salah satu wadah perjuangan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Penyerahan Lori Logistik Di Bawah Bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) dan meninjau premis Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Bhd di sini hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal menyerahkan replika kunci lori kepada Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Bhd, Yahaya Mamat pada Majlis Perasmian Penyerahan Lori Logistik Di Bawah Bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) di Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau berkata, SKM telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi berkaitan belia termasuk Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia di beberapa negeri bagi merangka pendekatan terbaik menarik minat golongan itu menyertai koperasi.

Menurutnya, antara bidang yang digalakkan untuk diceburi koperasi belia ialah keselamatan dan keterjaminan makanan, pelancongan serta sektor digital dan teknologi, selaras aspirasi Kerajaan MADANI.

Dalam perkembangan lain beliau berkata SKM sedang mempercepatkan proses permohonan pembiayaan termasuk Tabung Modal Pusingan SKM dan pelbagai geran bagi memudahkan koperasi memperoleh bantuan.

Katanya, proses berkenaan yang sebelum ini mengambil masa sekitar 60 hari disasarkan dapat dipendekkan kepada kurang daripada 30 hari menerusi penambahbaikan prosedur dan penggunaan platform digital.

“Jika semua syarat dipenuhi, proses kelulusan akan menjadi lebih cepat. Kita mahu memudahkan koperasi bergerak tanpa perlu berurusan secara fizikal jika semuanya boleh dilaksanakan secara dalam talian,” katanya.

Selain itu, Ahmad Norihan memberitahu, gerakan koperasi di negara ini mencatat prestasi memberangsangkan apabila perolehannya meningkat hampir 20 peratus kepada RM81.62 bilion pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal beramah mesra dengan kakitangan premis Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Bhd pada Majlis Perasmian Penyerahan Lori Logistik Di Bawah Bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) di Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Menurutnya, catatan peningkatan prestasi itu tertinggi direkodkan bagi semua indikator utama sektor itu.

Beliau berkata prestasi memberangsangkan itu menunjukkan gerakan koperasi semakin berdaya saing serta berperanan penting dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi rakyat.

“Pada 2025, sebanyak 16,468 koperasi berdaftar direkodkan di seluruh negara, meningkat 1.1 peratus berbanding 2024, manakala jumlah keanggotaan bertambah kepada 7.33 juta orang atau meningkat 1.7 peratus.

“Modal syer dan yuran turut meningkat 1.7 peratus kepada RM18.64 bilion, manakala jumlah aset koperasi berkembang 7.7 peratus kepada RM186.75 bilion,” katanya.

Ahmad Norihan berkata mengikut negeri, Selangor merekodkan bilangan koperasi tertinggi dengan 2,217 koperasi diikuti Sabah (2,047) dan Perak (1,755).

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal memperkatakan sesuatu kepada Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Bhd, Yahaya Mamat pada Majlis Perasmian Penyerahan Lori Logistik Di Bawah Bantuan Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) di Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Katanya Wilayah Persekutuan pula mencatat jumlah keanggotaan tertinggi sebanyak 2.51 juta orang selain merekodkan aset terbesar bernilai RM24.65 bilion dan perolehan tertinggi sebanyak RM7.46 bilion.

“Dari segi fungsi, koperasi pengguna kekal menjadi kategori terbesar dengan 5,589 koperasi, diikuti koperasi perkhidmatan (5,131) dan pertanian (3,866).

“Bagaimanapun, sektor perbankan terus menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan koperasi negara dengan nilai RM65.59 bilion, diikuti koperasi kredit sebanyak RM5.67 bilion dan koperasi perkhidmatan RM4.84 bilion.

“Perangkaan itu turut menunjukkan koperasi mikro merangkumi 13,504 buah atau 82 peratus daripada keseluruhan koperasi di negara ini,” katanya. – Suara Timur