MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Julai 09, 2026

PPPKMT Kemaman teruskan tradisi gotong-royong memasak bubur asyura

 

PPPKMT Kemaman teruskan tradisi gotong-royong memasak bubur asyura

09/07/2026

KEMAMAN: Tradisi memasak bubur asyura secara bergotong-royong terus dihidupkan menerusi Program Memasak Bubur Asyura anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu (PPPKMT) Cawangan Kemaman di pekarangan pejabat persatuan itu di Jalan Penghiburan, Chukai, di sini hari ini.

Pengerusi PPPKMT Cawangan Kemaman, Rosli Amat berkata, program berkenaan melibatkan 20 ahli serta Ahli Jawatankuasa PPPKMT Cawangan Kemaman, lima anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman, selain beberapa bekas Ahli Jawatankuasa PPPKMT cawangan itu.

Beliau berkata, proses memasak bubur asyura bermula pada pukul 9 pagi dan mengambil masa antara lima hingga enam jam untuk disiapkan.

SEBAHAGIAN daripada anngota bomba yang menyertai  Program Memasak Bubur Asyura anjuran PPPKMT Cawangan Kemaman di pekarangan pejabat persatuan itu di Jalan Penghiburan, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A RAHMAN

“Kami menggunakan resipi yang menggabungkan pelbagai bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan serta rempah-ratus bagi menghasilkan rasa bubur asyura yang lebih enak,” katanya.

Rosli berkata, penganjuran program itu merupakan acara tahunan yang disenaraikan dalam kalendar aktiviti PPPKMT Cawangan Kemaman sebagai usaha mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli serta masyarakat setempat.

Beliau berkata, sebanyak tiga kawah bubur asyura dimasak dengan sasaran menghasilkan kira-kira 800 bekas untuk diagihkan kepada orang ramai.

AHLI PPPKMT Cawangan Kemaman yang menyertai Program Memasak Bubur Asyura anjuran PPPKMT Cawangan Kemaman di pekarangan pejabat persatuan itu di Jalan Penghiburan, Chukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A RAHMAN

“Daripada jumlah itu, 200 peniaga di Pasar Malam Chukai akan menerima dua bekas setiap seorang, manakala 300 bekas lagi akan diagihkan kepada pengunjung terawal pasar malam berkenaan petang ini.

Selebihnya diberikan kepada mereka yang bergotong-royong menyediakan bubur asyura untuk dibawa pulang dan dinikmati bersama keluarga,” katanya.

Rosli, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pasar Tani Chukai merangkap Pengerusi Pasar Tani Negeri Terengganu, berkata Pasar Tani Chukai turut mengadakan program gotong-royong memasak bubur asyura pada Jumaat lepas melibatkan empat kawah, sebelum diagihkan kepada para pengunjung pasar tani berkenaan. – Suara Timur

Selasa, Julai 07, 2026

Kontraktor rugi RM98,800 diperdaya ‘Cikgu Adam’

 

Kontraktor rugi RM98,800 diperdaya ‘Cikgu Adam’

07/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang kontraktor mengalami kerugian RM98,800 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran tender dalam talian pada 5 Julai lepas.

Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata kontraktor lelaki berusia 45 tahun itu telah dihubungi seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘Cikgu Adam’ dengan mendakwa bertugas di sebuah sekolah di Chukai di sini sebelum menyatakan hasrat menempah 95 unit kerusi kantin jenis keluli tahan karat.

“Bagi urusan pembekalan tersebut, mangsa telah menerima sebut harga berjumlah RM351,500 daripada seorang pembekal yang diperkenalkan oleh individu berkenaan.

“Pada 5 Julai lepas mangsa telah membuat pembayaran deposit sebanyak RM98,800 ke dalam sebuah akaun bank yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa selepas itu telah menyemak dengan pihak sekolah dan disahkan tiada guru dengan nama ‘Cikgu Adam’.

Katanya mangsa mengalami kerugian RM98,800 dalam kes penipuan itu.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. –  Suara Timur

Rumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai

 

Rumah, empat kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai

07/07/2026

KEMAMAN: Sebuah rumah musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Besut, Chukai, dekat sini petang tadi, yang turut memusnahkan empat kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hanif Che Khalid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.49 petang sebelum menggerakkan anggota dan aset ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai.

Beliau berkata sebaik tiba lima minit kemudian, pasukan bomba membahagikan operasi pemadaman kepada dua sektor bagi mengawal kebakaran dengan menggunakan beberapa aliran hos serta pancutan air, termasuk bantuan sistem relay pumping daripada lori tangki.

SALAH sebuah kenderaan yang turut disambar api dalam kejadian sebuah rumah terbakar di Kampung Besut, Chukai, Kemaman, hari ini.

“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Kemaman yang menggunakan satu aliran hos, cabang pembahagi dan dua pancutan air bagi mempercepatkan kerja-kerja pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hanif berkata seramai 17 anggota daripada BBP Chukai dan BBP Kemaman terlibat dalam operasi itu dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah lori tangki serta sebuah kenderaan utiliti Toyota Hilux.

Beliau berkata kebakaran turut memusnahkan sebuah van Nissan Vannette dan sebuah motosikal Redza Velocita 250 masing-masing kira-kira 90 peratus, selain sebuah MPV Naza Ria dan sebuah Proton Perdana yang mengalami kerosakan dianggarkan 50 peratus.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada 4.39 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.08 petang.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – Suara Timur

Isnin, Julai 06, 2026

72,048 peserta FELCRA terima agihan keuntungan Interim RM126.91 Juta

 

72,048 peserta FELCRA terima agihan keuntungan Interim RM126.91 Juta

06/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

BANDAR  PUSAT JENGKA:  Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad hari ini mengumumkan Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta melibatkan 747 projek yang mencatat keuntungan.

Agihan itu merupakan Agihan Keuntungan Interim 1 kedua tertinggi direkodkan FELCRA Berhad dalam tempoh sedekad.

Pengumuman berkenaan dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia dan Hari Peneroka FELDA 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, hari ini.

Dalam kenyataan hari ini, FELCRA Berhad memaklumkan pembayaran agihan itu adalah hasil prestasi bagi tempoh Januari hingga April 2026 dan akan disalurkan secara berperingkat mulai hari ini.

Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan direkodkan walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Bagaimanapun, FELCRA Berhad berjaya meningkatkan bilangan projek yang mencatat keuntungan, mengurangkan jumlah projek yang mengalami kerugian serta memperkukuh kecekapan pengurusan operasi.

“Prestasi ini membuktikan pembangunan ladang luar bandar tidak ditentukan oleh harga pasaran semata-mata, sebaliknya dipacu oleh disiplin pengurusan, peningkatan produktiviti ladang dan kecekapan operasi,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi FELCRA Berhad, Dato’ Sri Ahmad Jazlan Yaakub berkata pencapaian tersebut membuktikan kekuatan organisasi itu bukan hanya bergantung kepada keadaan pasaran, sebaliknya kepada keupayaan mengurus operasi secara lebih cekap dan berkesan.

“Harga komoditi merupakan faktor yang tidak dapat kita kawal. Namun, apa yang berada dalam kawalan FELCRA ialah bagaimana kita mengurus ladang dengan lebih cekap supaya manfaat kepada peserta dapat terus dipertingkatkan secara mampan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata pengurangan bilangan projek yang mengalami kerugian mencerminkan keberkesanan pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang lebih berhemat serta komitmen seluruh warga FELCRA dalam meningkatkan kecekapan operasi.

“Fokus kami adalah memastikan setiap pembangunan ladang luar bandar diurus secara sistematik melalui pemantauan prestasi yang berterusan, pengurusan kos yang berhemat serta peningkatan produktiviti bagi memastikan manfaat kepada peserta dapat dikekalkan secara mampan,” katanya.

Beliau berkata FELCRA Berhad akan terus memperkukuh pengurusan pembangunan ladang luar bandar dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan manfaat yang mampan terus dinikmati peserta, di samping menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti luar bandar serta menyokong agenda pembangunan desa negara.

Katanya, agihan keuntungan itu mencerminkan komitmen berterusan FELCRA Berhad dalam memperkukuh pembangunan luar bandar sebagai antara pemacu strategik pembangunan negara. — Suara Timur

Bapa maut, dua anak parah kemalangan selepas keluar makan malam

 

Bapa maut, dua anak parah kemalangan selepas keluar makan malam

06/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Bapa maut manakala dua anaknya parah selepas motorsikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di sini malam tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.10 malam tadi di Jalan Pengkalan Cicar, Kampung Bukit Kuang, di sink ketika mangsa bersama dua lagi anaknya itu selesai makan malam.

Mangsa, Muhammad Zarol Che Aziz, 29 tahun yang juga penunggang motosikal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

KEADAAN motosikal yang ditunggangi Muhammad Zarol Che Aziz selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Pengkalan Cicar, Kampung Bukit Kuang, Kemaman, malam tadi. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sementara itu, dua anaknya Muhammad Nuh Zaim, 2 tahun dan Muhammad Luth Ziyad, 6 tahun turut mengalami kecederaan parah pada bahagiana kepala dan anggota badan.

Ketika kejadian, kesemua mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Rakyat Bestari, Kampung Bukit Kuang.

Siasatan awal polis mendapati motosikal dinaiki kesemua mangsa dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan.

Sebuah Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 23 tahun dikatakan gagal mengelak lalu melanggar bahagian hadapan motosikal mangsa dan diseret sejauh kira-kira lima meter.

Kesan daripada kmalangan itu turut menyebabkan mangsa bersama anaknya itu tercampak beberapa meter ke atas jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Horpital Kemaman untuk proses bedah siasat sementara anak mangsa Muhammad Nuh Zaim dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Seorang lagi anak mangsa Muhammad Luth Ziyad dirawat di Hospital Kemaman dan keadaannya dilaporkan stabil.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

120 pemancing dari seluruh negara, pempengaruh Indonesia promosi Tasik Kenyir

 

120 pemancing dari seluruh negara, pempengaruh Indonesia promosi Tasik Kenyir

06/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

HULU TERENGGANU: Seramai 120 peserta dari seluruh negara termasuk lima pempengaruh dari Indonesia menyertai Pertandingan Memancing Toman, Kenyir Snakehead Battle Edisi Ke-15 di Tasik Kenyir pada 4 hingga 5 Julai lepas.

Unit Komunikasi Korporat KETENGAH dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penyertaan lima pempengaruh yang mempunyai lebih 400,000 pengikut di media sosial itu merupakan antara usaha memperkukuh promosi Tasik Kenyir sebagai destinasi utama sukan memancing dan pelancongan berasaskan alam semula jadi di peringkat serantau.

Menurut kenyataan itu, penganjuran program berkenaan bukan sekadar pertandingan memancing, malah merupakan inisiatif strategik untuk merancakkan sektor pelancongan wilayah di samping menyokong usaha pemeliharaan ekosistem Tasik Kenyir.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar (Operasi) KETENGAH, Mahdi Amin Ahmad.

SEBAHAGIAN daripada pemancig yang menyertai Pertandingan Memancing Toman di  Kenyir Kenyir.

Sementara itu, Mahdi Amin berkata, pertandingan yang memberi tumpuan kepada spesies ikan toman bukan sahaja mampu merancakkan pelancongan sukan memancing, malah membantu mengawal populasinya secara beretika bagi memastikan keseimbangan ekosistem Tasik Kenyir terus terpelihara.

“KETENGAH akan terus menyokong penganjuran program yang memperkasa pelancongan lestari serta mempromosikan Tasik Kenyir sebagai ‘Syurga Pemancing’ di rantau ini,” katanya.

Selqin itu, beliau berkata, kehadiran pempengaruh dari Indonesia serta liputan meluas media dijangka dapat memperkukuhkan promosi Tasik Kenyir di peringkat serantau, sekali gus menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Katanya, usaha itu juga selaras dengan hasrat menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi sukan memancing bertaraf antarabangsa yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan industri pelancongan negeri.
– Suara Timurhttps://suaratimur.com.my/?p=11753