MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, November 15, 2025

JPKKP Kampung Baru Kerteh tanam ubi keledek vitato dalam guni

 

JPKKP Kampung Baru Kerteh tanam ubi keledek vitato dalam guni

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Baru Kerteh, Zon 3 menyambut baik saranan yang dibuat oleh kerajaan madani mengenai Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi mengupayakan komuniti melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi yang melibatkan semua kampung di seluruh negara tanpa ada yang terkecuali.

Pengerusinya, Muzahar Hitam berkata, Program Sejahtera Komuniti Madani atau SejaTi Madani ini dapat membantu ekonomi komuniti setempat dan hasilnya dapat menampung keperluan masyarakat setempat melalui program kebajikan kepada masyarakat.

Menurut, menerusi Program SejaTi Madani itu, JPKKP Kampung Baru Kerteh mengusahakan projek perintis tanaman ubi keledek vitato dalam guni bagi membantu anak muda yang meminati bidang pertanian dan tiada pekerjaan.

MUZAHAR Hitam (hadapan, tengah) bergambar bersama peserta mengusahakan projek perintis tanaman ubi keledek vitato dalam guni di Kampung Baru Kerteh, Zon 3, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Muzahar berkata, bagi menjayakan program ini, pihaknya mendapat bantuan kewangan daripada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebanyak RM50,000 di bawah Program SejaTi Madani.

“Buat permulaan, projek perintis ubi vitato ini, kami memulakan hanya untuk ahli jawatankuasa JPKKP sahaja sebelum dibuka kepada anak muda di dalam kawasan kampung ini.

“Ubi vitato yang kami tanam ini bukan di atas tanah biasa, kami tanam didalam guni,” katanya ketika ditemui Suara Timur selepas program menuai ubi keledek vitato di sini, hari ini.

Projek tanaman itu bermula Julai lalu dan hari ini merupakan genap tarikh matang selama empat bulan.

MUZAHAR Hitam menunjukan ubi keledek vitato yang dihasilkan oleh JPKKP Kampung Baru Kerteh, Zon 3, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Tanaman ubi dalam guni ini dikenali sebagai tanaman fertigasi iaitu kaedah penanaman moden tanpa tanah (seperti dalam hidroponik) yang menggabungkan sistem pengairan dan pembajaan secara serentak.

Beliau memberitahu, JPKKP Kampung Baru Kerteh juga telah mengwar-warkan program
SejaTi Madani kepada anak muda melalui media sosial seperti Tik Tok, Facebook dan sebagainya dan maklum balas yang diterima mengalakan.

“Insya-Allah selepas kejayaan hari ini, kami akan membuka untuk anak muda menyertainya. Tanaman ubi organik ini hanya mengambil masa seratus dua hari atau empat bulan. Kami menanam pada bulan Julai dan hari ini merupakan genap tarikh matang selama empat bulan,” katanya.

Ubi keledek vitato yang dihasilkan JPKKP Kampung Baru Kerteh, Zon 3, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurut Muzahar, sebelum memulakan tanaman ini, mereka mendapat tunjuk ajar dan nasihat daripada Jabatan Pertanian Daerah Kemaman cara menanam ubi vitato dalam guni.

“Buat permulaan, kami menanam ubi vitato dalam 500 guni dan kami menganggarkan pengeluaran hasil sebanyak 1,000 hingga 2,000 kilogram. Tanah yang digunakan di dalam guni ini boleh digunakan kembali selepas ia di rawat dengan baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, permintaan terhadap ubi vitato amat tinggi dan mempunyai pasaran yang luas untuk dikomersialkan dan harga meningkat pada musim tengkujuh.

Sementara itu seorang peserta, Sufian Ali berkata, dia mula berminat menyertai projek tanaman itu selepas melihat penanaman ubi vitato ini di media sosial dan kemudian berbincang dengan ahli jawatankuasa JPKKP.

SUFIAN ALI

“Apabila kami mendapat tahu Kerajaan Madani menyediakan peruntukan di bawah program SejaTi Madani, ahli jawatankuasa JPKKP terus memohon peruntukan tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, di Terengganu difahamkan belum ada yang pengusaha menanam ubi vitato dalam skala yang besar.

Seorang lagi, peserta, Noriah Yusof berkata, hasil jualan projek ini dapat menambah pendapatan peserta apabila diagihkan kepada peserta.

NORIAH YUSOF

“Selain itu, projek yang diusahakan ini dapat mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Mohd Mus’ap Muzahar yang juga Pengerusi Niro Ekonomi JPKKP Kampung Baru Kerteh berkata, projek tersebut dapat membantu meningkatkan pendapatan dan sara hidup  peserta.

MOHD MUS’AP MUZAHAR

“Saya mengalakkan lebih belia di kampung ini turut melibatkan diri dalam projek tanaman ubi keledek vitato dalam guni selepas ini,” ujarnya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.