MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, November 12, 2025

RETI, SLT dan YTAASAB jalin kerjasama dalam bidang TVET

 

RETI, SLT dan YTAASAB jalin kerjasama dalam bidang TVET

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Institut Pendidikan dan Latihan Ranaco (RETI) menjalin kerjasama dengan Skola Lab Tech Sdn. Bhd. (SLT) dan Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAASAB) dalam bidang pendidikan dan latihan yang berfokus kepada penerapan teknologi inovatif dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Majlis menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoA) bagi membentuk kerjasama strategik itu diadakan di RETI, Kawasan Perindustrian Jakar di sini, hari ini.

MoA ini membuka lembaran baharu dalam usaha memperkasa program TVET menerusi integrasi teknologi masa hadapan seperti dron bawah air tanpa pemandu, kecerdasan buatan (AI), Blockchain dan mata wang kripto dalam bidang berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif RETI, Syafiq Asraf Mohd Yusup berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen RETI dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga celik teknologi dan mampu bersaing di peringkat global.

Dua kiri, Muhamad Syazwan Bahrom (dua, kiri) dan Syafiq Asraf Mohd Yusup (dua, kanan) menunjukan dokumen MoA bagi membentuk kerjasama strategik di RETI, Kawasan Perindustrian Jakar, Kulim, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Menurutnya, antara inisiatif utama hasil kerjasama ini adalah pelaksanaan program jangka pendek pengendalian Dron Bawah Air Tanpa Pemandu yang disasarkan kepada tenaga kerja industri seperti sektor minyak dan gas, maritim dan keselamatan pekerjaan.

“Teknologi ini memberi nilai tambah besar kepada operasi industri kerana mampu mengurangkan risiko keselamatan penyelaman serta meningkatkan keberkesanan pemantauan bawah air,” katanya kepada Suara Timur hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai SLT, Muhamad Syazwan Bahrom dan Ketua Eksekutif RETI, Mislaiha A. Ghani.

MUHAMMAD Syazwan Bahrom (kiri) dan  Syafiq Asraf Mohd Yusup bertukar dokumen MoA program TVET di RETI, Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Selain itu, Syafiq Asraf berkata, program ini juga bertujuan meningkatkan tahap kemahiran pekerja sedia ada, memperkukuh daya saing mereka dan memberikan peluang pendapatan yang lebih baik.

Ujarnya, RETI dan SLT percaya bahawa kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam ekosistem TVET negara, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada usaha pembangunan modal insan yang holistik, berteknologi dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Menurutnya, melalui kerjasama ini, RETI akan menambah nilai kepada program sedia ada dengan penawaran modul baharu berteraskan teknologi, sekali gus mempersiapkan pelajar untuk menghadapi keperluan sebenar industri yang semakin berkembang ke arah automasi dan digital.

MUHAMMAD Syazwan Bahrom (dua, kiri) dan  Syafiq Asraf Mohd Yusup (dua, kanan) menandatangani dokumen MoA program TVET di RETI, Kawasan Perindustrian Jakar, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Sementara itu, Muhamad Syazwan berkata, SLT melihat RETI sebagai rakan strategik yang mempunyai asas kukuh dalam bidang maritim dan latihan TVET.

“Menerusi kerjasama ini, kami dapat memperluaskan penerapan teknologi kami ke peringkat latihan dan pembangunan modal insan, khususnya dalam sektor strategik seperti maritim, minyak dan gas dan keselamatan pekerjaan.

“Sasaran kami ialah untuk menjadikan RETI sebagai hab latihan teknologi maritim berteknologi tinggi dan menjalin lebih banyak kolaborasi industri.

“Pada masa yang sama, kami mahu melahirkan lebih ramai graduan dan tenaga kerja industri yang berkemahiran tinggi, bersedia untuk menghadapi cabaran IR 4.0 dan Ekonomi Biru,” ujarnya. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.