Kastam Terengganu gagal cubaan edar rokok seludup
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya menggagalkan cubaan pengedaran rokok seludup dengan nilai rampasan termasuk jumlah duti dan cukai sebanyak RM319,228.80.
Pengarah Kastam negeri Terengganu, Hasbollah Din berkata, pihaknya telah menjalankan intipan terhadap kenderaan Toyota jenis Vellfire yang ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Dusun Nyior, di sini, pada 6 Ogos lalu hasil.
Menurutnya, intipan tersebut dijalankan hasil maklumat ampoma melalui Ops Macan Legit 2.
Katanya, Pasukan Unit Marin, Cawangan Penguatkuasaan Kemaman, JKDM Terengganu telah melakukan serbuan ke atas kenderaan tersebut setelah hasil intipan mendapati tiada sebarang pergerakan dikesan.
“Pemeriksaan yang dijalankan telah menemui sebanyak 352,800 batang rokok putih pelbagai jenama yang disimpan dalam kenderaan tersebut dengan anggaran nilai RM78,528 dan jumlah duti serta cukai terlibat sebanyak RM240,700.80.
“Kenderaan beserta muatannya telah disita untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Daerah Kemaman, di sini, hari ini.
Hasbollah berkata, hasil siasatan awal mendapati rokok tersebut dibawa dari luar negeri untuk diedarkan ke pasaran tempatan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan pihaknya kini sedang giat mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan itu.
Jelasnya, rokok putih merupakan barangan larangan di bawah Butiran 1, Bahagian II, Jadual III Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana melindungi, menyimpan, menyembunyikan atau memiliki barang tidak berkastam atau barang larangan.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000, mengikut nilai yang lebih besar, dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000, mengikut nilai lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Hasbollah menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam berhampiran di seluruh negeri. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.