Penduduk gesa kerajaan naik taraf, dalamkan saliran di Taman Rakyat Teluk Kalong
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Penduduk Taman Rakyat Teluk Kalong, Kijal dekat sini menggesa kerajaan dapat menaik taraf dan mendalamkan sistem saliran sedia ada di kawasan tersebut dengan segera bagi mengatasi masalah banjir setiap tahun.
Penduduk mendakwa, keadaan saliran sedia ada yang agak sempit, cetek, tersumbat serta tidak diselenggara dengan baik menjadi penyebab kawasan berkenaan sering dilanda banjir setiap tahun.
Menurut penduduk, kerja-kerja mendalamkan saliran itu perlu dilakukan bagi memudahkan air banjir keluar dari kawasan mereka dengan cepat selepas berdepan masalah banjir setiap tahun.
Penduduk mendakwa, keadaan sistem saliran sedia ada semakin kritikal ekoran air hujan lebat yang turun dari kawasan bukit berdekatan akan memenuhi melalui saliran dan melimpah dengan cepat masuk ke kawasan perumahan.

Keadaan itu turut menyebabkan hampir 400 keluarga di taman perumahan itu terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit setiap tahun kerana pelbagai barangan musnah ditenggelami banjir.
Penduduk semakin bimbang kerana negeri ini sudah mula berdepan dengan musim monsum timur laut (MTL) dan tengkujuh yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.
Seorang penduduk, Roslina Idrus berkata, pada musim tengkujuh ini, penduduk di kampung ini mula bimbang di landa banjir memandangkan hampir setiap tahun kampung ini ditimpa masalah tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, dia mengharapakan penduduk di kampung ini tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada tahun ini.
“Pelbagai masalah dialami penduduk apabila terpaksa berpindah terutamanya mereka yang mempunyai anak kecil dan orang tua tidak sihat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Rahim Ibrahim pula berkata, rumahnya dimasuki air dalam kejadian banjir pada tahun lepas dan terpaksa berpindah ke PPS.
Sehubungan itu, katanya, penduduk mengharapkan kerja-kerja membersih dan mendalamkan saliran di kampung ini dengan segera untuk mengelakkan kejadian banjir lebih besar.

Tahun lepas teruk juga air masuk dalam rumah belaka air dalam kawasan ni, kalau boleh nak dipercepatkan lagi lah pasal tiap-tiap tahun main banjir ni, letih juga tiap-tiap tahun.
“Pihak berkuasa tempatan terlibat diminta melakukan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan sistem saliran itu berfungsi dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Datuk Hanafiah Mat ketika dihubungi memberitahu, pihak Jabatan Pengarian dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit dan saliran bagi menghadapi musim MTL tahun ini. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.