MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Jun 06, 2026

156 kes konflik direkodkan Pusat Mediasi Komuniti tahun 2025

 

156 kes konflik direkodkan Pusat Mediasi Komuniti tahun 2025

06/06/2026

KEMAMAN: Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menerusi Pusat Mediasi Komuniti mengendalikan sebanyak 156 kes melibatkan konflik dalam kalangan komuniti di seluruh negara, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Zulkifli Hashim berkata, jumlah kes yang direkodkan itu menurun berbanding tahun 2024 yang merekodkan sebanyak 215 kes.

Menurutnya, kebanyakan kes yang diterima melibatkan isu kejiranan dan komuniti setempat seperti masalah parkir kereta, kutipan sampah dan perselisihan faham.

ZULKIFLI  Hashim menyampaikan Handbook Kes Mediasi kepada Mediator Komuniti pada Program Inisiatif Mediasi, Penyelesaian Harmoni dan Perasmian Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman di Chukai, Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Pusat mediasi berperanan sebagai medium untuk menyelesaikan masalah yang timbul dengan memberi penekanan perundingan, persefahaman dan persetujuan tanpa perlu melibatkan proses mahkamah yang rumit dan menelan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Inisiatif Mediasi, Penyelesaian Harmoni dan Perasmian Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPNIN negeri Terengganu, Mohd Rosli Alias, Ketua Polis Daerah Kemaman, Mohd Razi Rosli dan Pegawai Daerah Kemaman, Nazwawi Harun.

ZULKIFLI Hashim meninjau Pusat Mediasi Komuniti Daerah Kemaman selepas majlis perasmian di Chukai, Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Zulkifli berkata, kes konflik antara kejiranan dan komuniti itu dikendalikan 595 orang Mediator Komuniti (MK) yang terpilih dan terlatih di seluruh negara.

“MK ini dipilih dalam kalangan individu yang mempunyai pengaruh dalam masyarakat dan mereka dihantar menjalani latihan untuk mengendalikan konflik,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,273 kes mediasi direkodkan dalam tempoh sembilan tahun bermula 2017 hingga 2025.

“Setiap tahun, lebih 85 peratus daripada kes yang diterima berjaya diselesaikan dan untuk tahun ini, sehingga Mei sebanyak 45 kes mediasi direkodkan,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak sembilan pusat mediasi komuniti ditubuhkan di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan penubuhan tiga buah lagi pusat mediasi hingga hujung tahun ini. – Suara Timur

Jumaat, Jun 05, 2026

196 penagih termasuk 3 perempuan ditahan dalam Operasi Perdana AADK Terengganu

 

196 penagih termasuk 3 perempuan ditahan dalam Operasi Perdana AADK Terengganu

05/06/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Seramai 196 penagih dadah termasuk tiga wanita ditahan dalam Operasi Perdana Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bermula Rabu lepas hingga hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan, Mahadzir Elias berkata operasi berkenaan dilaksanakan di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Besut dan Dungun.

Katanya, dua penjawat awam turut ditahan dalam operasi itu yang memberi tumpuan di beberapa sarang penagihan bagi membenteras kegiatan penagihan dadah.

MAHADZIR Elias (duduk, tengah) mengadakan sidang media selepas mengetuai Operasi Perdana AADK Terengganu di Dungun, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Salah satu lokasi yang diserbu di daerah Dungun dikenali sebagai ‘Port Pekat Bayu’ yang menjadi tempat transit utama bagi aktiviti penjualan dan penagihan dadah.

“Seramai 35 penagih yang berada dalam keadaan khayal berjaya ditahan di port berkenaan,” katanya.

SEORANG warg emas berusia 66 tahun dan dua anak lelakinya merupakan antara penagih yanh ditahan dalam Operasi Perdana AADK Terengganu di daerah Besut.

Beliau berkata demikian kepada wartawan dalam satu sidang media selepas mengetuai Operasi Perdana AADK Terengganu yang turut dihadiri Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah.

Mahadzir berkata, kesemua penagih dadah yang ditahan dalam operasi itu berusia antara 19 tahun hingga 66 tahun dan ujian urin mendapati 159 individu positif dadah jenis methamphetamine, ketum (34 orang), ganja (dua orang) dan heroin (seorang).

Selain itu, katanya, lima anggota AADK berdepan detik cemas selepas seorang penagih dadah berusia 34 bertindak mengacukan sebilah pisau ketika melakukan serbuan di sebuah rumah.

“Bagaimanapun lelaki berkenaan yang berada di bawah pengaruh dadah berjaya ditahan selepas menyerah diri kira-kira 10 minit kemudian dan tiada kecederaan dilaporkan,” ujarnya. – Suara Timur

Rabu, Jun 03, 2026

MRL lancar trak pameran bergerak ECRL 2026, dekati rakyat Pantai Timur

 

MRL lancar trak pameran bergerak ECRL 2026, dekati rakyat Pantai Timur

03/06/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), pemilik projek dan aset Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melancarkan Jelajah Trak Pameran Bergerak ECRL 2026 yang bakal menjelajah negeri-negeri di Pantai Timur bermula esok bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkembangan projek infrastruktur strategik negara itu.

MRL dalam satu kenyataan kepada Suara Timur berkata, jelajah tersebut akan dimulakan di Pahang dengan lokasi pertama di Dataran Bentong pada Khamis dari pukul 10 pagi hingga 4 petang, sebelum meneruskan program di Felda Mempaga pada Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Pada Sabtu, trak pameran itu akan berada di Tempat Letak Kereta Dewan Serbaguna Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan dari pukul 7.30 pagi hingga 12 tengah hari, manakala pada Ahad ia akan beroperasi di Tempat Letak Kereta East Coast Mall, berhadapan Hotel Zenith Kuantan dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

JELAJAH Trak Pameran Bergerak ECRL 2026 akan bermula di lokasi pertama di Dataran Bentong, Pahang, esok.

Menurut MRL, jadual jelajah yang dipaparkan setakat ini hanya melibatkan negeri Pahang, manakala jadual bagi negeri-negeri lain akan diumumkan secara berperingkat.

“Kami menjangkakan Trak Pameran Bergerak ECRL akan memasuki Terengganu pada pertengahan Jun ini dengan Bandar Chukai dijadual menjadi destinasi pertama di negeri tersebut.

“Jadual jelajah akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan orang ramai dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai projek ECRL selain menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan serta berpeluang menerima cenderahati eksklusif,” menurut kenyataan itu.

ECRL merupakan projek pengangkutan rel berimpak tinggi yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dengan menghubungkan Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak di Selangor melalui rangkaian landasan moden.

Projek berkenaan melibatkan pembinaan jajaran utama sepanjang 665 kilometer dengan kos keseluruhan RM50.27 bilion dan dijangka memperkukuh hubungan logistik, perdagangan serta mobiliti penumpang antara Pantai Timur dan Lembah Klang.

Apabila siap kelak, ECRL dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kota Bharu dan Terminal Bersepadu Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding tempoh perjalanan jalan raya yang jauh lebih panjang ketika ini.

Jajaran utama ECRL dari Kota Bharu ke Gombak dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung 2026, manakala sambungan dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangka siap pada Disember 2027 sebelum memulakan operasi penuh pada awal 2028.

Projek mega itu turut dilihat berpotensi merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelaburan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan di sepanjang koridor pembangunan yang dilaluinya. – Suara Timur

Sabtu, Mei 30, 2026

Tiga pekerja nyaris maut ‘kapal hantu’ meletup, terbakar

 

Tiga pekerja nyaris maut ‘kapal hantu’ meletup, terbakar

30/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Tiga pekerja nyaris maut selepas sebuah kapal tangki yang sedang diselenggara mereka terbakar dalam kejadian di Jeti Muara Sungai Kemaman dekat Kampung Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 3.18 petang tadi.

Kapal terbabit dipercayai ‘kapal hantu’ yang ditemukan hanyut berhampiran pelantar minyak di perairan Terengganu pada Ogos tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, ketika kejadian tiga pekerja terbabit sedang menjalankan kerja-kerja memotong besi di atas kapal berkenaan untuk dilupuskan.

Bagaimanapun, kesemua mereka yang berumur antara 39 dan 46 tahun berjaya menyelamatkan diri dengan terjun ke daratan dan sebelum kebakaran tersebut merebak.

SEORANG pegawai polis memeriksa ‘kapal hantu’ yang meletup dan terbakar di di Jeti Muara Sungai Kemaman dekat Kampung Bukit Kuang, Kemaman, – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Menurutnya, polis menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada orang awamkira-kira pukul 3.18 petang.

“Pekerja terbabit dipercayai melakukan kerja memotong mengunakan pemotong gas oksigen di atas kapal berkenaan sepanjang 53.7 meter dan lebar 10 meter itu.

“Bagaimanapun, kapal berkenaan dikatakan tiba-tiba terbakar namun tiga pekerja terlibat  sempat turun untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi petang tadi.

Menurut Mohd Razi, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian pada pukul 3.23 berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian.

“Kapal tangki berkenaan terbakar di bahagian tengah dengan anggaran kemusnahan sebanyak 45 peratus dan pihak bomba sedang menyiasat punca kebakaran,” katanya.

Media pada Ogos tahun lalu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesan sebuah ‘kapal hantu’ yang hanyut di perairan Pelantar Minyak Semangkok A, Terengganu. – Suara Timur

Jumaat, Mei 29, 2026

9 rumah sebuah surau rosak dalam kejadian ribut di Kampung Yak Yah

 

9 rumah sebuah surau rosak dalam kejadian ribut di Kampung Yak Yah

29/05/2026

KEMAMAN: Sebanyak sembilan buah rumah dan sebuah surau rosak teruk dalam kejadian ribut di Kampung Yak Yah, Ibok, Kijal dekat sini petang semalam.

Kejadian ribut beserta dengan hujan lebat kira-kira setengah jam itu telah menyebabkan banyak pokok besar tumbang dan menghermpap beberapa rumah penduduk dan mengalami kerosakan teruk.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, kejadian ribut kuat itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan mereka itu sejak mereka mendiami kampung lebih 60 tahun lalu.

MOHAMAD Ikmal Hafiz Arif menunjukkan bumbung rumahnya diterbangkan angin kencamg dalam kejadian ribut di Kampung  Yak Yah, Ibok, Kijal, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Seorang penduduk, Abu Bakar Ismail, 77, berkata kejadian ribut itu berlaku ketika dia bersama isteri dan enam anak, lima menantu dan 13 cucu sedang berehat di dalam rumahnya.

Katanya, dia terkejut apabila mendapati sebatang pokok durian setinggi lebih sepuluh meter tiba-tiba tumbang dan menghempap rumahnya ketika angin kencang.

“Saya ekeluarga terus bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi satu dentuman kuat di bahagian dapur rumah,” katanya ketika ditemui hari ini.

KEADAAN salah sebuah rumah yang rosak selepaa dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Kampung  Yak Yah, Ibok, Kijal, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Seorang lagi penduduk, Mohamad Ikmal Hafiz Arif, 29, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur di dalam bilik di rumahnya manakala bapa dan ibunya serta adik beradik lain pulang beraya di Besut, Terengganu.

Menurutbya, dia tersedar daripada tidur selepas terdengar satu bunyi bising di atas bahagian bumbung rumahnhya.

“Saya terkejut melihat semua bumbung rumah di dalam bilik dan ruang tamu diterbangkan angin sebelum bergegas keluar menyelamatkan diri,” katanya.

RAZALI Idris melawat salah seorang mangsa ribut di Kampung  Yak Yah, Ibok, Kijal, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sementara itu,, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, kejadian ribut itu berlaku ketika hujan lebat pada pukul 4.30 petang semalam.

Menurutnya, kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian bumbung.

Katanya, dua daripada rumah tersebut rosak akibat dihempap pokok, namun tiada mangsa yang cedera.

“Kesemua rumah terbabit akan mula dibaik pulih bermula hari ini dan kos membaik pulih dianggarkan hampir RM180,000,” katanya.

Selain itu, Razali berkata, semua penduduk terjejas dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaa (SK) Ibok sehingga kerja-kerja membaiki sembilan rumah dan surau terlibat siap. – Suara Timur

Rabu, Mei 27, 2026

Empat cedera dalam kemalangan lima kenderaan di LPT2

 

Empat cedera dalam kemalangan lima kenderaan di LPT2

27/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Empat cedera sementara 14 lagi mangsa selamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 337.7, Lebuh Raya Pantai Dua (LPT2), dekat Hentian Rawat dan Rehat Paka dekat sini malam tadi

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Paka, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Bakri Abdul Rahman berkata, panggilan berhubung kemalangan itu diterima pada 7.39 malam.

Menurutnya, sepasukan tiga anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke tempat kejadian.

SALAH sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 337.7, LPT2 dekat Hentian Rawat dan Rehat Paka, Dungun, malam tadi. – GAMBAR JBPM

“Lima kenderaan iaitu Nissan Almera, Toyota Vios, Proton Persona, Perodua Aktiviti dan Toyota Velfire terbabit dalam kemalangan itu.

“Dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak perempuan yang berada di dalam kenderaan Nissan Almera cedera,” katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata, sesemua mangsa yang cedera itu dibawa ambulans ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut

Tambahnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.50 malam. – Suara Timur

Isnin, Mei 25, 2026

Mayat mangsa lemas kedua ditemukan terapung di jeti Pasar Paka

 

Mayat mangsa lemas kedua ditemukan terapung di jeti Pasar Paka

25/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Mayat Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, yang lemas bersama abangnya ketika mandi di Sungai Beril dekat Paka semalam ditemukan pagi ini.

Pemangku Ketua Polis daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh orang awam di jeti Pasar Dungun pukul 9.55 pagi.

Menurutnya, jarak mayat mangsa ditemukan itu sejauh  kira-kira dua kilometer dari tempat mangsa dilaporkan lemas.

“Anggota pasukan penyelamat bergegas di tempat mayat mangsa ditemukan selepas  mendapat maklumat penemuan mayat daripada orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa disambung hari ini bermula pukul 8 pagi membabitkan seramai 39 anggota polis, bomba dan penduduk kampung termasuk bantuan Unit Anjing Pengesan K9 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jumaidy berkata, mayat abang mangsa, Muhammad Amir Ashraf, 15, yang ditemukan 3.47 petang semalam siap menjalani proses bedah siasat di Hospital Dungun dan dituntut keluarganya kira-kira 10 malam tadi.

Dalam kejadian 10.56 pagi semalam, dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi bersama dua lagi rakannya, Muhammad Farish Iqbal Cik Mohanarunasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15.

Kedua-dua mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang lemas selepas dihanyutkan arus deras.

Bagaimanapun, Muhammad Farish Iqbal dan Muhammad Afi Naashif, selamat dalam kejadian itu. – Suara Timur

Terengganu tuan rumah Kejohanan Lawn Bowls Remaja Kebangsaan 2026

 

Terengganu tuan rumah Kejohanan Lown Bowls Remaja Kebangsaan 2026

25/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU:  Terengganu sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah Kejohanan Lawn Bowls Remaja U12, U18 dan U23 Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung dari 29 Mei hingga 3 Jun ini di Arena Lawn Bowls, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini.

Sekretariat Kejohanan Lawn Bowls Remaja Kebangsaan 2026 Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata kejohanan anjuran bersama Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) dan Persatuan Boling Padang Negeri Terengganu (PLBT) itu bakal menghimpunkan atlet muda terbaik dari seluruh negara.

Beliau berkata penganjuran kejohanan tersebut menjadi platform penting dalam usaha memperkasa pembangunan sukan lawn bowls di peringkat akar umbi selain mencungkil bakat baharu untuk diketengahkan sebagai pelapis mewakili negara pada masa hadapan.

“Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan mencungkil bakat baharu, malah turut menyemarakkan semangat kesukanan, disiplin serta perpaduan dalam kalangan generasi muda.

TUN AHMAD FAISAL TUN ABDUL RAZAK

“Selaras dengan aspirasi pembangunan atlet remaja negara, kejohanan ini membawa semangat melahirkan bakat yang mampu membina masa depan sukan lawn bowls negara ke arah lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sepanjang kejohanan berlangsung para peserta akan bersaing dalam pelbagai kategori umur menerusi acara pairs dan fours.

Katanya penyertaan dijangka melibatkan lebih 400 atlet berusia antara sembilan hingga 23 tahun selain jurulatih serta pegawai dari seluruh negara termasuk Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Sarawak, Johor dan Terengganu selaku tuan rumah.

Tun Ahmad Faisal berkata pihak penganjur yakin kejohanan berkenaan mampu menjadi medan terbaik bagi memperkukuh pembangunan sukan lawn bowls negara di samping mempromosikan Terengganu sebagai antara destinasi sukan utama negara.

Beliau turut mengajak orang ramai hadir memeriahkan kejohanan berprestij itu dan memberikan sokongan kepada atlet muda yang bertanding. – Suara Timur

Khamis, Mei 21, 2026

Ops Luxury: 30 kenderaan kereta mewah disita di Terengganu

Ops Luxury: JPJ Terengganu sita 30 kenderaan kereta mewah

21/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menyita sebanyak 30 kenderaan mewah melalui ‘Ops Luxury’ di seluruh negeri itu bermula Januari hingga Mei tahun ini.

Pengarahnya, Mohd Zamri Samion berkata, antara kesalahan utama yang dikesan ialah kegagalan pemilik memperbaharui perlindungan insurans yang sah dan lesen kenderaan motor atau cukai jalan.

Beliau berkata, sepanjang ops tersebut, pihaknya telah memeriksa sebanyak 130 kenderaan mewah pelbagai jenama termasuk milik syarikat dan individu yang gagal mematuhi peraturan tersebut.

MOHD Zamri Samion memeriksa salah sebuah kereta mewah yang disita dalam Ops Luxury di Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Pemilik kenderaan mewah terbabit tidak kebal dengan undang-undang ditetapkan kerana jika berlaku kemalangan mereka akan menyusahkan diri sendiri dan pengguna lain,” katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Luxury peringkat negeri Terengganu di sini hari ini.

Mohd Zamri berkata, dalam tempoh tersebut, sebanyak 48 saman dikeluarkan atas kesalahan tiada cukai jalan atau tamat tempoh sementara itu 46 saman dikeluarkan bagi kesalahan tiada pelindungan insurans.

Menurut Mohd Zamri, kesalahan lain yang dikesan ialah nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin gelap, ubah suai kenderaan, lesen memandu tamat tempoh dan kesalahan teknikal lain.

SEBAHAGIAN kereta mewah yang disita dalam Ops Luxury di Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Ops berkenaan dilaksanakan sebagai satu tindakan penguatkuasaan khas yang berfokuskan kepada pemilik kenderaan mewah yang sengaja lari daripada peraturan undang-undang,” ujarnya.

Beliau berkata, sepanjang ops tersebut juga JPJ akan mempertingkatkan rondaan dan pemeriksaan di lokasi-lokasi strategik termasuk di pusat bandar, kawasan tumpuan elit, lebuh raya utama dan lokasi-lokasi hiburan.

Mohd Zamri menyeru semua pemilik kenderaan memastikan semua dokumen kenedraan sentioasa sah dan mematuhi spesifikasi ditetapkan demi keselamatan mereka dan pengguna lain. – Suara Timur

401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

 

401,000 kenderaan masuk Terengganu sempena Aidiladha, cuti sekolah

21/05/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Sebanyak 401,000 kenderaan dijangka masuk Terengganu ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan yang bermula Jumaat ini sehingga 3 Jun depan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah tersebut melibatkan kenderaan yang menggunakan jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan rekod pemantauan tahunan yang dilakukan secara kolaboratif bersama LPT2 berdasarkan data dan rekod tahunan.

Katanya, jumlah peningkatan aliran trafik ini dijangka berlaku di LPT2 dan jalan-jalan utama di negeri itu.

“Purata kemasukan trafik harian pula dianggarkan sebanyak 33,000 hingga 34,000 kenderaan sepanjang tempoh itu,” katanya

Mohd Khairi berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah @ Kamal Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan.

Beliau berkata, polis Terengganu akan melaksanakan Op Lancar secara menyeluruh di lokasi-lokasi panas dan kawasan dijangka mengalami pertambahan kenderaan dalam tempoh perayaan.

Tambahnya, seramai 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik terkawal sepanjang tempoh perayaan itu.

Selain itu, Mohd Khairi berkata, polis Terengganu merekodkan empat kes buli membabitkan pelajar di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 18 kes sepanjang tahun lepas.

Katanya, empat kes buli itu melibatkan tiga murid sekolah rendah manakala satu lagi membabitkan pelajar sekolah menengah.

“Sementara itu pada tahun lepas pula 13 kes direkodkan melibatkan pelajar sekolah menengah dan lima kes lagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT),” ujarnya. – Suara Timur