MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Julai 25, 2026

Dua remaja maut motosikal bertembung

 

Dua remaja maut motosikal bertembung

25/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Dua remaja termasuk seorang pelajar orang kelainan upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai bertembung dalam satu kejadian di Kemaman, Terengganu, petang semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.45 petang semalam di Jalan Felda Cherul menuju ke Bukit Sagu, Kuantan dekat sini.

Dalam kejadian itu, Muhammad Shafiq Hakimi Mohd Nazri dan Muhammad Hafiey Rifqey Mohd Mahazan masing-masing berusia 16 tahun, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

KEADAAN mayat salab seorang mangsa yang terlibat dalam kemalangan di di Jalan Felda Cherul menuju ke Bukit Sagu, Kuantan, Kemaman petang semalam.

Muhammad Shafiq Hakimi merupakan pelajar program pemulihan dalam komuniti (PDK) Felda Cherul yang mengalami masalah pembelajaran manakala Muhammad Hafiey Rifqey merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherul.

Kejadian dipercayai berlaku di satu laluan lurus dan ketika kejadian, Muhammad Hafiq Hakimi dikatakan dalam perjalanan dari Felda Cherul menuju ke arah Bukit Sagu manakala Muhammad Hafiey Rifqey dari arah berentangan.

Siasatan awal polis mendapati, motosikal ditunggang Muhammad Hafiey Rifqey dipercayai telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal ditunggang seorang lagi mangsa.

Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa dipercayai tercampak beberapa meter ke atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba sejurus kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Superintenden Mohd Razi, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Suara Timur

Jumaat, Julai 24, 2026

15 pelajar tajaan MAINS tamat Kursus Oil & Gas Onshore di RETI

 

15 pelajar tajaan MAINS tamat Kursus Oil & Gas Onshore di RETI

24/07/2026

KEMAMAN: Seramai 15 pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya menamatkan latihan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama High Skills Technology Sdn Bhd (HiSTEC) dan Ranaco Education and Training Institute (RETI), sekali gus membuka peluang kepada mereka menceburi industri minyak dan gas.

Mereka menerima sijil tamat latihan pada Majlis Tamat Latihan Pelajar Tajaan MAINS yang berlangsung di Kampus RETI di Kawasan Perindustrian Jakar, di sini, hari ini.
Sijil disampaikan Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Mahadi Ali.

Ketua Pegawai Operasi RETI, Kapten Saad Din berkata kejayaan program itu membuktikan sinergi antara MAINS, HiSTEC dan RETI dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri minyak dan gas.

SALAH seorang pelajar tajaan MAINS menerima sijil tamat latihan daripada Mahadi  (kanan) sambil diperhatikan Kapten Saad Din (tengah) pada majlis tamat latihan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama MAINS, HiSTEC dan RETI di Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau berkata sepanjang mengikuti latihan selama tiga minggu bermula 5 Julai lalu, peserta didedahkan dengan pembelajaran teori dan latihan praktikal mengikut piawaian keselamatan serta keperluan industri.

“Pensijilan yang diterima bukan sekadar sekeping sijil, malah menjadi pengiktirafan terhadap tahap kesediaan, pematuhan aspek keselamatan dan kebolehan teknikal peserta untuk memasuki alam pekerjaan dalam industri minyak dan gas bertaraf antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Turut hadir Pengarah Eksekutif HiSTEC, Tengku Rosmin Farhan Tengku Mohd Amin; Pengarah HiSTEC, Mohd Ghazale Hashim; Pengurus Pemasaran HiSTEC, Mohamad Zafran Mohd Ghazale; serta pegawai MAINS, Halina Mohd Noor dan Mohamad Asyraf Abdul Aziz.

Saad berkata RETI bersedia meneruskan kerjasama dengan MAINS bagi melaksanakan program tajaan pada fasa seterusnya, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai anak muda khususnya golongan asnaf memperoleh kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berimpak tinggi.

PESERTA yang menamatkan latihan Kursus Oil & Gas Onshore hasil kerjasama MAINS, HiSTEC dan RETI akan diberikan penempatan pekerjaan bagi memastikan mereka dapat memanfaatkan kemahiran diperolehi. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau berkata RETI juga akan memanfaatkan rangkaian rakan industri yang dimiliki bagi membantu memudah cara penempatan pekerjaan kepada graduan tajaan MAINS supaya latihan yang diberikan dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf ekonomi peserta.

Sementara itu, Mahadi pula berkata program berkenaan merupakan kerjasama julung kali antara MAINS, HiSTEC dan RETI dalam usaha memperkasakan anak asnaf melalui latihan kemahiran yang memenuhi keperluan pasaran kerja.

Beliau berkata latihan itu ditaja sepenuhnya oleh MAINS membabitkan peruntukan RM157,250 yang merangkumi yuran latihan, pensijilan profesional, penginapan, elaun serta bantuan persediaan latihan dan memulakan pekerjaan.

“Objektif program ini adalah menyediakan peluang kepada anak asnaf fakir miskin meningkatkan kemahiran dan memperoleh pensijilan profesional bertaraf industri dalam bidang minyak dan gas, selain membina keyakinan diri supaya mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan.

KURSUS Oil & Gas Onshore yang ditawarkan kepada anak asnaf merupakan program julung kali yang dianjurkan antara MAINS, HiSTEC dan RETI dalam usaha memperkasakan anak asnaf dalam memenuhi keperluan pasaran kerja. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Mahadi berkata MAINS memperuntukkan kira-kira RM30 juta setiap tahun bagi sektor pendidikan meliputi peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi termasuk latihan TVET sebagai pelaburan jangka panjang dalam memperkasakan pendidikan dan ekonomi umat Islam di Negeri Sembilan.

Beliau berkata MAINS mengunjurkan kutipan zakat sebanyak RM163 juta tahun ini, manakala pada tahun lepas agensi itu berjaya mengutip RM193 juta dan mengagihkan RM180 juta kepada golongan asnaf yang layak.

Pada masa sama, beliau mengingatkan para graduan supaya tidak melupakan jasa ibu bapa yang menjadi antara faktor mereka terpilih mengikuti program tajaan itu, selain menggalakkan mereka membantu keluarga serta menunaikan zakat apabila memperoleh pekerjaan dan pendapatan yang baik bagi membolehkan lebih ramai golongan memerlukan dibantu pada masa hadapan. – Suara Timur

Bapa maut motosikal terbabas di Felda Neram Satu

 

Bapa maut motosikal terbabas di Felda Neram Satu

23/07/2026

KEMAMAN: Seorang bapa maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dalam kemalangan di Felda Neram Satu di sini, pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Nurekhsan Sabri, 38, yang bekerja sebagai jurulatih keselamatan di Balok, Kuantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sebuah sekolah berhampiran lokasi kejadian.

KEADAAN mayat Muhammad Nurekhsan Sabri, 38, selepas motosikal ditunggangi terbabas dan terbalik di Felda Neram, Kemaman.

Siasatan awal polis mendapati motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menuruni jalan berbukit sebelum terbabas dan terbalik.

Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan serius di bahagian kepala serta disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Siasatan turut mendapati mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar ketika kejadian, manakala keadaan jalan di lokasi adalah lurus, berturap dan kering.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara imur

Khamis, Julai 23, 2026

Warga emas hilang ditemukan maut di kawasan berpaya

 

Warga emas hilang ditemukan maut di kawasan berpaya

23/07/2026

KEMAMAN: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak Ahad lepas di Kampung Baru, Felda Neram Satu di sini, terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam kawasan berpaya hari ini.

Mangsa, Abdullah Besar, 70, ditemukan pada kira-kira 11.15 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR), kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) yang diwujudkan sepanjang operasi berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Penguasa Bomba Mohd Hafizul Mohamad berkata. pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan mangsa pada 6.40 petang, Isnin lepas.

ABDULLAH BESAR

Beliau berkata mangsa dilaporkan keluar bersendirian dari rumah adiknya di Kampung Baru, Felda Neram Satu pada kira-kira 7 pagi Ahad sebelum gagal pulang ke rumah.

“Operasi SAR yang memasuki hari keempat hari ini menumpukan pencarian di sekitar kawasan Jabor Perasing serta kawasan ladang ternakan ayam dalam lingkungan radius sehingga 10 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap di kawasan semak yang berlopak air oleh pasukan SAR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu membabitkan sembilan anggota BBP Cheneh dengan dibantu Unit STORM, Unit Anjing Pengesan (K9), anggota bomba sukarela Felda Seberang Tayor dan Felda Neram Satu serta penduduk kampung.

Mohd Hafizul berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat dan tindakan lanjut. – Suara Timur

Mahasiswa UCTATI santuni komuniti Kampung Padang Kubu menerusi program anak angkat

 

Mahasiswa UCTATI santuni komuniti Kampung Padang Kubu menerusi program anak angkat

23/07/2026

KEMAMAN: Universiti College TATI (UCTATI) menganjurkan program anak angkat “Dari Kampus ke Komuniti: Bersama Warga Padang Kubu” bagi mengukuhkan hubungan antara mahasiswa dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Kampung Padang Kubu, di sini, minggu lepas.

UCTATI dalam kenyataan memaklumkan program yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu melibatkan 40 mahasiswa dan 10 pensyarah daripada Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi.

Menurut kenyataan itu, program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa berinteraksi secara langsung dengan masyarakat luar bandar menerusi aktiviti berbentuk akademik, sosial, kebudayaan, kesukarelawanan dan pembangunan komuniti.

“Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat, di samping memupuk nilai kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

PELAJAR  UCTATI bergotong-royong memasak daging kawah pada program anak angkat “Dari Kampus ke Komuniti: Bersama Warga Padang Kubu” di Kampung Padang Kubu, Kemaman, baru-baru ini.

“Ia juga memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kehidupan dan budaya masyarakat luar bandar selain menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti pembangunan komuniti,” menurut kenyataan itu.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama TDM Berhad dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Kubu, selain disokong beberapa agensi kerajaan dan badan komuniti menerusi pelaksanaan aktiviti seperti pameran, gotong-royong, sukan rakyat, program kesedaran sosial dan malam kebudayaan.

Pengarah program, Nur Syahira Abd. Latif berkata program itu merupakan inisiatif pelajar Diploma in Technology Management (Entrepreneurship) yang mengikuti kursus Project Management (DTG2073) pada semester ini.

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Komputer, Media dan Pengurusan Teknologi berkata program anak angkat merupakan medium berkesan untuk membina hubungan dua hala antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat.

PELAJAR UCTATI mengadakan lawatan ke kilang kelapa sawit dan loji biogas TDM di Ladang Pelantoh, TDM Plantation Sdn Bhd sempena Program “Dari Kampus ke Komuniti: Bersama Warga Padang Kubu” di Kampung Padang Kubu, Kemaman, baru-baru ini.

“Melalui pendekatan ini, mahasiswa dapat mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan dalam suasana sebenar masyarakat, sekali gus meningkatkan kemahiran insaniah serta keyakinan diri mereka,” katanya.

Menurut beliau, Kampung Padang Kubu dipilih sebagai lokasi program kerana memiliki komuniti yang aktif dan berpotensi menjadi rakan strategik UCTATI dalam pelaksanaan program pembangunan komuniti pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, peserta turut mengadakan lawatan ke kilang kelapa sawit dan loji biogas TDM di Ladang Pelantoh, TDM Plantation Sdn Bhd bagi memberi pendedahan mengenai operasi industri perladangan dan amalan kelestarian.

Selain itu, peserta turut menyertai pelbagai aktiviti kebajikan, kerohanian dan gotong-royong bersama penduduk kampung sebagai usaha memperkukuh semangat kebersamaan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat. – Suara Timur