MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Ogos 01, 2026

Penunggang motosikal maut terbabas ketika dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0

 

Penunggang motosikal maut terbabas ketika dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0

01/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Impian seorang pengurus restoran makanan segera merasai kemeriahan program RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran  Rawat dan Rehat (R&R) Perasing di sini pagi ini.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang berkonvoi bersama enam penunggang motosikal lain  dari Kuala Lumpur.

Siasatan awal polis mendapati, motosikal ditunggang mangsa dilkatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di tengah lebuh raya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak sejauh beberapa meter dan terjatuh ke dalam longkang di tengah lebuh raya.

Keadaan itu menyebabkan mangsa  meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur

Rabu, Julai 29, 2026

ANTARA GELORA DAN CAHAYA PELANGI

Artikel ini disiarkan melalui ruangan Coffee House Mingguan Malaysia pada 08 Februari 1998


COFFEE HOUSE

ARKIB : 08/02/1998

COFFEE HOUSE bersama SIRAJUDDIN RAFIA


ANTARA GELORA DAN CAHAYA PELANGI


MENOLEH ke negeri di bawah lindungan keindahan pelangi pula, kaum kerabat dihidang dengan satu perkhabaran terbaru dari Kemaman. Sejauh mana kebenarannya kaum kerabat kurang pasti, tetapi menurut ceritanya, pelayaran bahtera Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad kali ini mungkin tidak sebegitu tenang seperti dulu. Setelah hampir 27 tahun Ayah Wang menakhodai Kemaman dengan penuh ketenangan, kali ini beliau mungkin terpaksa menghadapi tentangan.


Sama ada ia hanya menyerupai reba, onak atau duri sahaja kaum kerabat kurang pasti, tetapi khabarnya, seorang ahli bernama Mukhatar A. Rahman kini disebut-sebut akan mencabarnya untuk jawatan Ketua Bahagian pada mesyuaratnya bulan depan. Bagi Mukhatar mungkin tidak ada apa nak dirugikan. Seperti katanya sendiri: ''Saya bukanlah tamak jawatan, tetapi niat saya ialah untuk menyedarkan ahli-ahli UMNO Kemaman bahawa kita perlukan perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi.'' Kaum kerabat kurang pasti kenapa perubahan itu diperlukan, tetapi dalam sepucuk suratnya kepada kaum kerabat, Mukhatar mendakwa, pemimpin peringkat bahagian tidak pernah peka dengan masalah cawangan, sebaliknya asyik bertelagah sama sendiri. Sejauh mana kekuatan pengaruh Mukhatar ini kaum kerabat kurang periksa, tetapi kata para sahabat, kalaulah ia onak atau duri sekalipun, tentunya perit juga kita berpijak.


Menurut ceritanya, dalam mesyuarat bahagian minggu lalu, Ayah Wang sendiri sudah pun menyusun barisannya sebagai suatu kompromi untuk pemilihan kali ini. Entah ia entah tidak kaum kerabat kurang pasti, tetapi menurut khabarnya, di bawah susunan itu Ayah Wang akan kekal sebagai ketua, diikuti oleh Datuk Abu Bakar Ali sebagai timbalan dan Dr. Ramli Taib sebagai Ketua Pemuda.


Namun, ini hanya susunan yang dipersetujui. Tetapi sosek-sosek yang kaum kerabat dengar kemudiannya, ada ura-ura Datuk Abu Bakar yang disarankan mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Bahagian juga akan dicabar. Kalau ini berlaku, ia mungkin akan menjurus kepada pertarungan tiga penjuru pula. Sebabnya, Dr. Ramli Taib yang dipertaruhkan untuk menerajui Pemuda mungkin akan turut menyertai pertarungan di peringkat timbalan, untuk menyelamatkan keadaan.


Kaum kerabat bukanlah hendak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kalaulah di kawasan pimpinan Menteri Besar sendiri pun tercetus gelora, kaum kerabat tak tahulah di tempat lain pula. Yang pastinya, janganlah gelora sampai menghakiskan keindahan cahaya pelangi yang selama ini menghiasi suasana Terengganu.

Sumber arkibcmk.blogspot.com

Selasa, Julai 28, 2026

Penduduk Taman Gemilang, Bandar Ceneh Baharu bimbang ancaman gajah liar

 

Penduduk Taman Gemilang, Bandar Ceneh Baharu bimbang ancaman gajah liar

28/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Lebih 2000 penduduk Taman Gemilang, Bandar Ceneh Baharu di sini bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang masuk ke kawasan perumahan mereka sejak beberapa hari lalu.

Penduduk mendakwa, lebih menyedihkan mereka kumpulan haiwan liar itu turut memusnahkan pelbagai jenis tanaman yang sudah mengeluarkan hasil dan menunggu masa untuk dituai.

Menurut mereka,, beberapa ekor gajah liar berkenaan dilihat berkeliaran berhampiran rumah mereka dan merosakkan tanaman seperti kelapa, pisang dan tebu.

HANIZAN Abdul Manan (kanan) menunjukan pokok kelapa di belakang sebuah rumah penduduk  yang dirosakkan sekumpulan  gajah liar di Perumahan Peringkat 4, Bandar Cheneh Baharu, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR  A RAHMAN

Salah seorang penduduk Johazly Johar, berkata dalam kejadian itu, dia terkejut dari tidur selepas terdengar bunyi bising di bahagian belakang rumah kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurut Johazly, dia bergegas bangun membuka pintu bilik tidur dan terkejut melihat kelibat beberapa ekor ekor gajah liar hanya beberapa meter dari rumahnya dan sedang memakan pokok pisang.

“Saya terdengar bunyi bising di belakang rumah dan pabila saya membuka tingkap dan menyuluh lampu ke arah bunyi itu, saya nampak seekor gajah pada jarak kira-kira dua meter dari rumah saya.

“Saya kemudian meminta anak memanggil rakan-rakannya untuk membantu menghalau haiwan itu, sebelum gajah tersebut bergerak ke tanah milik jiran bersebelahan.” katanya.

POKOK  kelapa di belakang sebuah rumah penduduk di  yang dirosakkan sekumpulan gajah liar di  Perumahan Peringkat 4, Bandar Cheneh Baharu, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Seorang penduduk lagi, Hanizan Abdul Manan berkata, beberapa minggu lalu beberapa ekor gajah liar dikesan masuk ke kawasan perumahan mereka dan memusnahkan pelbagai jenis tanaman penduduk.

“Sebelum ini pihak terbabit telah melakukan pemantauan di kawasan berkenaan namun perkara sama masih berulang sekaligus menyebabkan penduduk dalam kebimbangan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Taman Perumahan peringkat empat, Wan Nordin Wan Omar berkata, kejadian kumpulan gajah liar masuk ke kawasan perumahan dan bertindak merosakkan pelbagai jenis tanaman penduduk kini menjadi semakin serius.

Menurut Wan Nordin lagi, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang drastik dalam masa terdekat sebelum ianya menjadi semakin serius dan mengancam keselamatan mereka.

“Gajah itu kini semakin menghampiri kawasan taman perumahan, menyebabkan kami bimbang sekiranya masalah ini tidak ditangani secara drastik kerana ia boleh mengancam keselamatan penduduk pada masa hadapan,” katanya. – Suara Timur

Isnin, Julai 27, 2026

Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih jadi tarikan baharu Zoo Kemaman

 

Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih jadi tarikan baharu Zoo Kemaman

25/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN:  Tiga ekor anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang mula dipamerkan kepada orang ramai hari ini menjadi tarikan terbaharu di Zoo Kemaman, Bukit Takal, Kijal dekat sini.

Ketiga-tiga anak harimau jantan itu yang masing-masing bernama Rory, Bima dan DB, merupakan hasil pembiakan pasangan Harimau Bengal Putih, Lela Andika dan Luna Seroja.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata anak-anak harimau berkenaan dilahirkan di Zoo Kemaman pada 14 Mac lepas selepas Luna Seroja melalui tempoh bunting selama 104 hari.

Menurutnya, kelahiran tiga ekor anak harimau itu adalah satu pencapaian membanggakan kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku bagi spesies Harimau Bengal Putih.

ZOO Kemaman akan menjadi  tumpuan apabila  tiga ekor anak Harimau Bengal Putih mula dipamerkan kepada orang ramai. – SUARA TIMUR/MUKHTAR A RAHMAN

“Kelahiran tiga ekor anak harimau itu merupakan satu pencapaian membanggakan kerana kejadian seumpamanya jarang berlaku bagi spesies Harimau Bengal Putih.

“Harimau Bengal Putih lazimnya melahirkan hanya satu hingga dua ekor anak bagi setiap kelahiran. Namun kali ini, Luna Seroja berjaya melahirkan tiga ekor anak jantan sekali gus menjadikan kelahiran ini amat istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Rasmi Anak-anak Harimau Bengal Putih di Ruang Pameran Zoo Kemaman, di sini, semalam.

RAZALI IDRIS

Harimau Bengal Putih atau ‘Panthera Tigris-Tigris’ adalah variasi genetik yang jarang ditemui dan terkenal dengan bulu berwarna putih serta belang hitam, menjadikannya antara spesies yang paling mendapat perhatian di zoo di seluruh dunia.

Beliau memberitahu, pasangan Harimau Bengal Putih itu yang kini berusia dua tahun berasal dari Cape Town, Afrika Selatan sebelum dibawa ke Zoo Kemaman pada 2024.

“Anak-anak harimau berkenaan membesar dengan baik bersama induknya sebelum bersedia dipertontonkan kepada orang ramai yang akan menjadi tarikan baharu kepada pengunjung,” ujarnya.

WAN Muzammir Wan Arif menunjukkan anak Harimau Bengal Putih berusia empat bulan yang dipamerkan kepada orang ramai di Zoo Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sementara itu, Pengarah Zoo Kemaman, Wan Muzammir Wan Ariff berkata zoo berkenaan mula dibuka kepada orang ramai sejak 2009 kini menempatkan kira-kira 380 ekor haiwan daripada pelbagai spesies.

Katanya, Zoo Kemaman merekodkan kehadiran kira-kira sejuta pengunjung sepanjang tahun lepas.

“Penampilan tiga ekor anak Harimau Bengal Putih ini dijangka menjadi tarikan utama Zoo Kemaman dan dijangka jumlah pengunjung meningkat kepada lebih 1.5 juta orang tahun ini,” katanya. – Suara Timur