MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Julai 17, 2026

Penduduk Taman Bukit Kuang bantah cadangan bina pusat pembakaran mayat

 

Penduduk Taman Bukit Kuang bantah cadangan bina pusat pembakaran mayat

17/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Penduduk Taman Bukit Kuang, Kijal di sini membantah cadangan pembinaan pusat pembakaran mayat (krematorium) berhampiran perumahan mereka kerana bimbang akan menjejaskan kesejahteraan, alam sekitar dan nilai hartanah di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bukit Kuang, Mohd Rusli Ibrahim berkata, pusat berkenaan didakwa akan menjadi lokasi pembakaran mayat bagi seluruh Terengganu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Beliau berkata, penduduk turut bimbang aktiviti pembakaran yang dijalankan semasa upacara keagamaan boleh menyebabkan debu, abu dan sisa pembakaran memasuki kediaman mereka yang telah didiami lebih 40 tahun.

“Selain itu, penduduk juga bimbang terhadap kemungkinan pencemaran udara, bau yang kurang menyenangkan ketika proses pembakaran, bunyi bising daripada operasi, peningkatan pergerakan kenderaan serta kesan lain yang boleh menjejaskan keselesaan hidup penduduk.

TAPAK cadangan projek pembinaan pusat pembakaran mayat di Kampung Bukit Kuang, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami juga khuatir projek ini akan menjejaskan nilai hartanah serta imej kawasan yang berada dalam zon pelancongan dengan pantai dan lokasi rekreasi yang menjadi tarikan orang ramai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, projek itu juga dibimbangi boleh menjejaskan kesejahteraan penduduk, khususnya warga emas, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.

Terdahulu, Mohd Rusli bersama kira-kira 50 penduduk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah cadangan pembinaan krematorium itu sebelum menyerahkan memorandum bantahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

Mohd Rusli berkata penduduk juga bimbang sekiranya abu dan sisa operasi tidak diuruskan dengan baik sehingga menyebabkan pencemaran tanah serta memberi kesan kepada alam sekitar pada masa hadapan.

“Pembinaan pusat itu juga dilihat sebagai menjejaskan hak penduduk untuk menikmati persekitaran yang selesa dan boleh mengganggu keharmonian komuniti di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, setakat hari ini lebih 800 penduduk telah menandatangani petisyen membantah projek berkenaan dan jumlah itu dijangka melebihi 1,000 orang selepas kutipan tandatangan diteruskan di Masjid Kampung Bukit Kuang selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Razali berkata, beliau akan membawa isu yang dibangkitkan penduduk kepada pihak berkaitan untuk dipertimbangkan. – Suara Timur

Rabu, Julai 15, 2026

Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu

 

Ahmad Badri dilantik Pengerusi FELDA baharu

15/07/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA LUMPUR: Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang baharu, berkuat kuasa menggantikan Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 30 Jun lepas.

FELDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap kewibawaan, integriti serta pengalaman luas Ahmad Badri dalam menerajui organisasi strategik dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, kepimpinan beliau diyakini mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kecemerlangan pengurusan serta meneruskan agenda transformasi FELDA selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Ahmad Badri mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam sektor awam dan korporat sejak menyertai perkhidmatan awam di Kementerian Kewangan pada 1989.

Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan strategik sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dari 2018 hingga 2020.

Selain itu, Ahmad Badri pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Ahli Lembaga Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kini, beliau merupakan Pengerusi RHB Bank Berhad dan Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM), selain Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

Dari segi akademik, Ahmad Badri memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hull, United Kingdom serta Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurut kenyataan itu, FELDA yakin kepimpinan Ahmad Badri akan terus memperkukuh agenda transformasi Kumpulan FELDA, meningkatkan kemampanan ekonomi dan mencipta nilai lebih besar kepada lebih tiga juta warga peneroka.

“Beliau diharapkan dapat membawa FELDA melakar pencapaian baharu demi memastikan kesejahteraan warga peneroka dan kemakmuran generasi masa depan terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, FELDA turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Shabery atas jasa, sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menerajui agensi itu.

Tempoh perkhidmatan Ahmad Shabery sebagai Pengerusi FELDA berakhir pada 30 Jun lepas dan pihak pengurusan serta seluruh warga FELDA berharap asas kukuh yang dibina beliau akan terus memacu kemajuan serta kelestarian organisasi itu pada masa hadapan. – Suara Timur