MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Ogos 28, 2026

Bot terbalik: Nelayan masih hilang di perairan Pulau Tenggol

 

Bot terbalik: Nelayan masih hilang di perairan Pulau Tenggol

28/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN:  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kemaman mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata operasi berkenaan diaktifkan pada 6.25 petang semalam selepas pihaknya menerima makluman awal daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan.

Beliau berkata mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan masih belum ditemukan sehingga kini.

“Operasi pencarian sedang giat dijalankan dengan mengatur gerak aset seperti Bot Perkasa 49, Kapal Maritim KM Jujur dan aset udara pesawat CL415, selain penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Halim berkata operasi pencarian akan diperluaskan di sekitar lokasi kejadian dengan mengambil kira faktor cuaca, arus dan keadaan laut bagi memastikan usaha mengesan mangsa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut, termasuk memakai jaket keselamatan serta memastikan peralatan keselamatan dan komunikasi berada dalam keadaan baik.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian atau kemungkinan keberadaan mangsa hendaklah disalurkan segera kepada pihak berkuasa bagi membantu melancarkan operasi pencarian dan menyelamat,” katanya. – Suara Timur

Taman Mawar bakal jadi kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½

 

Taman Mawar bakal jadi kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½

27/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Kawasan Perumahan Taman Mawar, Kampung Tempurung dekat sini bakal dijadikan kawasan perumahan angkat Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2½, Kemaman.

Pengerusi PPKK Batu 2½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata, pelbagai aktiviti telah dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu bagi meningkatkan kesedaran kesihatan dan kebersihan dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, antara program yang dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan kawasan perumahan menerusi Program Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” dengan kerjasama Klinik Kesihatan Batu 2½, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Unit Vektor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman.

“PPKK Batu 2½ turut menjadikan Surau Taman Mawar sebagai ‘Surau Angkat’ bagi menyampaikan maklumat kesihatan serta hebahan berkaitan aktiviti klinik kepada komuniti.

AHLI Panel Penasihat Klinik Kesihatan Batu 2 ½ memasang papan maklumat kesihatan sempena Program Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” di Surau Perumahan Taman Mawar, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami juga bercadang memperluas peranan surau sebagai lokasi saringan dan taklimat kesihatan, selain menjadi platform membincangkan hal ehwal komuniti seperti aktiviti gotong-royong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemasangan papan Info Kesihatan dan pengiktirafan Surau Taman Mawar sebagai “Surau Angkat” PPKK Batu 2½, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Klinik Kesihatan Batu 2½, Pakar Perubatan Keluarga Dr Nini Shuhaida Mat Harun dan wakil komuniti Taman Mawar, Julia Abu Bakar.

Wan Norsuriya berkata, PPKK Batu 2½ merancang mengadakan Program Penutup Projek Kawalan Denggi “Mission Zero Denggi” dan Hari Terbuka PPKK Bersama Komuniti pada minggu ketiga September ini.

Antara aktiviti dirancang ialah taklimat dan pameran denggi, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak, Anugerah Rumah Bebas Aedes serta simbolik menjadikan Taman Mawar sebagai kawasan perumahan angkat PPKK Batu 2½.

Turut diadakan penyampaian sijil kepada rakan strategik Projek “Mission Zero Denggi” dan cabutan bertuah.

Sementara itu, Julia Abu Bakar berkata, komuniti Taman Mawar menyambut baik cadangan menjadikan kawasan berkenaan sebagai perumahan angkat PPKK Batu 2½.

Beliau yang juga mantan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok 2 (SEBARU) berkata kerjasama berterusan Klinik Kesihatan Batu 2½ dan PPKK banyak membantu komuniti meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan Aedes dan denggi.

“Semoga usaha bersama ini dapat memastikan Taman Mawar bebas daripada pembiakan Aedes dan penyakit denggi,” katanya. – Suara Timur

Rabu, Ogos 26, 2026

Dua ADUN Bersatu Pahang sokong Menteri Besar hingga PRU

 

Dua ADUN Bersatu Pahang sokong Menteri Besar hingga PRU

26/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil maklum tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.


Dua ADUN berkenaan ialah Datuk Jasri Jamaluddin yang mewakili Kuala Sentul dan Mohd Yazid Mohd Yunus (Lepar).


Dalam kenyataan hari ini, Naib Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sokongan itu dibuat menerusi pemeteraian satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani oleh Wan Rosdy bersama kedua-dua ADUN berkenaan.

AHMAD FAIZAL AZUMU


Beliau berkata kedua-dua ADUN itu sebelum ini telah menyatakan hasrat kepada pucuk pimpinan parti untuk berbuat demikian dan menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.


” Biro Politik BERSATU yang dipengerusikan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Ahmad Faizal berkata keputusan itu dibuat bagi menjamin kestabilan politik di Pahang, selain memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan DUN berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya daripada Kerajaan Negeri Pahang. – Suara Timur

Penduduk Felda Seberang Tayor Semarak Hari Kebangsaan Dengan Jalur Gemilang

 

Penduduk Felda Seberang Tayor Semarak Hari Kebangsaan Dengan Jalur Gemilang

26/08/2026

KEMAMAN: Penduduk tanah rancangan Felda Seberang Tayor, Kemaman, Terengganu mengambil inisiatif menyambut Hari Kebangsaan 2026 tahun ini dengan menghiasi kawasan kediaman mereka dengan Jalur Gemilang.

Menurut penduduk, inisiatif itu dilakukan bukan hanya untuk mencantikkan kawasan rumah malah turut menyemai semangat patriotisma dan cinta negara dalam kalangan generasi muda sempena sambutan hari kebangsaan tahun ini dengan tema “Malaysia MADANI : Kesejahteraan Dinikmati”.

Penduduk turut menzahirkan kreativiti mereka dengan membina beberapa buah replika dengan hiasan Jalur Gemilang secara gotong-royong dengan penuh semangat kemerdekaan.

KAWASAN Felda Seberang Tayor, Kemaman dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Seorang penduduk Rohaida Jusoh, berkata mereka bekerjasama mengambil inisiatif membina beberapa buah replika dengan dihiasi bendera Jalur Gemilang mengikut zon kediaman penduduk Felda.

Kata, dengan usaha demikian penduduk dapat merealisasikan kreativiti dan semangat jati diri masing-masing secara bergotong-royong membina replika sejak sebulan lalu dan menghiasi kediaman.

“Namun, semangat yang ada dalam kalangan kami tidak pernah pudar. Kami sentiasa menyambut dan menghayati semangat itu, malah apa sahaja yang disampaikan oleh pengurus dan pihak atasan, kami terima serta laksanakan dengan sebaiknya.

SEBAHAGIAN daripada penduduk yang menyertai gotong-royong mengisi kawasan Felda Seberang Tayor, Kemaman dengan Jalur Gemilang.

“Bagi kami, kemerdekaan merupakan sesuatu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata kerana ia bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi turut membawa makna semangat, pengorbanan dan perpaduan yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Seorang lagi penduduk generasi kedua, Rohani Omar, berkata, idea untuk menghiaskan kawasan  kediaman itu hasil cetusan pengurusan Felda dengan kerjasama penduduk yang sentiasa meluangkan masa bergotong-royong bagi menjayakan sambutan kemerdekaan kali ke 69 itu.

“Lama juga, dalam sebulan adalah beberapa kali. Di sini kita ada zon, dan Zon Empat ini mempunyai kira-kira 30 orang.

“Jadi, kami akan berpakat untuk melakukan aktiviti secara bersama-sama, termasuk gotong-royong. Apabila ada waktu lapang, biasanya seminggu sekali, kami akan keluar untuk menjalankan aktiviti gotong-royong dan membersihkan kawasan sekitar,” ujanya.

Menurut Rohani, terdapat empat zon kediaman penduduk di Felda berkenaan dan setiap zon akan membina replika dengan dihiasi Jalur Gemilang mengikut kreativiti masing-masing dan ianya akan dinilai pihak pengurusan Felda pada hujung September ini bagi menentukan pemenang.

Sementara itu, Pengurus Felda Seberang Tayor, Mohamad Syafiq Hilmi Ahmad Zahid, berkata inisiatif tersebut dilakukan secara sukarela oleh penduduk berkenaan untuk menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2026 dan ianya sekaligus membuktikan semangat patriotisma yang tinggi.

“Semangat berkenaan bukan sahaja dapat dilihat menerusi penglibatan penduduk dalam aktiviti menghias kawasan, malah turut diterjemahkan melalui kerjasama dan semangat gotong-royong yang diamalkan dalam kalangan komuniti setempat,” katanya.
Suara Timur

Isnin, Ogos 24, 2026

Penduduk desak bersih segera pencemaran arang batu di Pantai Teluk Kalong

 

Penduduk desak bersih segera pencemaran arang batu di Pantai Teluk Kalong

23/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMA

KEMAMAN: Penduduk di kawasan Pantai Peranginan Teluk Kalong di sini mendesak pihak terbabit dapat mengambil tindakan segera untuk membersihkan sisa tumpuahan arang batu di pantai berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Mereka mendakwa, sisa arang batu itu dipercayai berpunca daripada sebuah tongkang yang sedang dalam kerja-kerja pemotongan struktur badan untuk dilupuskan selepas karam di pantai itu Januari lalu.

Penduduk mendakwa, sisa arang batu itu dikatakan dihanyutkan arus ketika air laut pasang dan terdampar lebih 300 meter sepanjang pantai yang menjejaskan kebersihan serta keindahan pantai.

Seorang penduduk, Azhar Ngah, 64, berkata kawasan pantai itu pernah mengalami pencemaran sama Januari lepas susulan tumpahan arang batu daripada tongkang yang sama namun telah dibersihkan bagi memelihara kebersihan serta kelestarian ekosistem pesisir pantai berkenaan.

“Dalam dua tiga hari ini, sejak ombak kuat, keadaan jadi begini dan mengganggu nelayan untuk turun ke laut.

“Kadang-kadang pengunjung dari luar termasuk dari Kuantan datang ke sini. Jadi, kita minta kawasan ini dibersihkan semula supaya pantai kita kembali bersih dan lebih cantik,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang nelayan, Mohamad Azrul Naim Rahim berharap tindakan pembersihan segera perlu dilakukan kerana sisa arang batu berkenaan agak banyak dan mencacatkan mata pengunjung ke pantai itu..

Menurutnya, dia terkejut melihat kedaan pantai berkenaan yang sebelum ini bersih telah dicemari bahan pepejal berwarna hitam itu  sejak tiga hari lepas.

“Saya minta pihak berkenaan mengambil tindakan segera membersihkan kawasan yang terdapat sisa arang batu ini kerana ia mengganggu para nelayan dan orang yang hendak mandi-manda di sini,” katanya.

Beliau berkata, pencemaran arang batu kali ini tidak begitu serius berbanding kejadian Januari lepas apabila jumlah sisa di kawasan persisiran pantai berkenaan didapati lebih sedikit dan tidak meliputi kawasan yang luas.

“Penduduk bimbang tumpahan sisa arang batu dari tongkang berkenaan akan bertambah selepas ini ekoran kerja-kerja pemotongan badan tongkang masih dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata pihaknya meminta Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Laut Malaysia menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian pencemaran arang batu yang merupakan kejadian kedua di pantai berkenaan tahun ini.

“Agensi terlibat turut diarah mengambil tindakan segera membersihkan arang batu di pantai berkenaan, sekali gus memastikan kawasan persisiran pantai kembali bersih, selamat dan selesa dikunjungi,” katanya. – Suara Timur