MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, September 04, 2026

𝐑𝐀𝐍𝐀𝐂𝐎 𝐊𝐨𝐥𝐞𝐣 𝐀𝐧𝐠𝐤𝐚𝐭 𝐘𝐓𝐀𝐀 𝐩𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐩𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐓𝐕𝐄𝐓 𝐠𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐫𝐞𝐧𝐝𝐚𝐡

 

RANACO Kolej Angkat YTAA perkasa pendidikan TVET golongan berpendapatan rendah

03/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Ranaco Education & Training Institute (RANACO) kini dijadikan Kolej Angkat Yayasan Tengku Abdul Aziz Sultan Abu Bakar (YTAA) dalam usaha memperkukuh akses pendidikan dan latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan asnaf.

Pengerusi YTAA Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz berkata inisiatif berkenaan selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pendidikan TVET, terutama dalam bidang berimpak tinggi seperti maritim, kejuruteraan serta industri minyak dan gas.

Beliau berkata RANACO mempunyai peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan kompeten menerusi program pendidikan serta latihan berasaskan industri.

“RANACO telah dikenali sebagai sebuah institusi yang memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga mahir dalam bidang seperti maritim, kejuruteraan, teknologi minyak dan gas serta latihan teknikal lain yang berimpak tinggi.

KAPTEN  Saad Din (dua kiri) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Lawatan ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi membawa maksud yang lebih besar kerana institusi ini bukan sahaja menyediakan peluang pendidikan, malah memberi pendedahan praktikal yang amat diperlukan dalam industri sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Lawatan Tapak ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kawasan Perindustrian Jakar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop; Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim; Ketua Pegawai Eksekutif YTAA Khairul Anuar Khahfi; Pengarah Urusan Meeka International Sdn Bhd Puteri Alaina Nohuddin dan Ketua Pegawai Operasi RANACO Kapten Saad Din.

SYAFIQ Asyraf Mohd Yusop (kanan) menerangkan sesuatu kepada Tengku Hassanal Badyr Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Abdul Aziz (dua kiri) dan Serena Lim sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman, hari ini. – SUARAVTIMIR/MUKHATAR A RAHMAN

Tengku Hassanal berkata YTAA melihat pendidikan dan kemahiran sebagai satu bentuk pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan, terutama dalam menyediakan laluan pendidikan dan kerjaya yang lebih jelas kepada golongan muda.

“Kami percaya pertemuan ini merupakan langkah penting dalam membina persefahaman dan kerjasama strategik antara YTAA dan Yayasan Tropicana, khususnya dalam merealisasikan hasrat memberikan peluang kepada anak-anak muda mengikuti program pendidikan serta membangunkan mereka sebagai modal insan berkemahiran tinggi dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu,, Ketua Pegawai Eksekutif RANACO Syafiq Asyraf Mohd Yusop berkata, pengiktirafan RANACO sebagai Kolej Angkat YTAA, selain kunjungan Yayasan Tropicana, merupakan satu perkembangan positif dalam usaha memperkukuh agenda pendidikan TVET.

Beliau berkata, RANACO kekal komited melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, kompeten dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri, khususnya sektor maritim, kejuruteraan serta teknologi minyak dan gas.

KAPTEN Saad Din (kanan) memberi penerangan cara mengendali kapal pada simulasi pemanduan kapal sempena Program Lawatan Tapak Ke Ranaco Education & Training Institute (Kolej Angkat YTAA) bersama Yayasan Tropicana di Kemaman hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Kami yakin sokongan YTAA dan potensi kolaborasi bersama Yayasan Tropicana dapat mengangkat agenda pembangunan pendidikan dan kebajikan anak-anak muda ke tahap lebih tinggi.

“Kerjasama ini juga berpotensi membuka lebih banyak laluan kerjaya serta peluang latihan praktikal yang komprehensif bagi membolehkan pelajar mendepani cabaran industri sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Yayasan Tropicana Serena Lim berkata lawatan pihaknya ke RANACO merupakan kunjungan tapak dan sesi perbincangan awal bersama YTAA serta RANACO Group bagi memahami dengan lebih mendalam program latihan dan pembangunan belia yang dilaksanakan institusi berkenaan.

“Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha Yayasan Tropicana meneroka peluang kerjasama di bawah program Youth Forward, khususnya inisiatif yang dapat membantu golongan belia membuat persediaan untuk peringkat seterusnya selepas tamat persekolahan, sama ada melanjutkan pelajaran atau memasuki alam pekerjaan.

“Kami tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut pendekatan YTAA dan RANACO dalam pembangunan belia serta pendedahan kepada latihan berasaskan industri,” katanya.

Serena berkata pihaknya melihat terdapat potensi sinergi antara inisiatif yang dilaksanakan YTAA dan RANACO dengan aspirasi program Youth Forward, namun sebarang bentuk kerjasama masih tertakluk kepada perbincangan lanjut dan penilaian semua pihak – Suara Timur

Selasa, September 01, 2026

CARILAMAT nelayan hilang selepas bot terbalik di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

 

CARILAMAT nelayan hilang selepas bot terbalik di perairan Pulau Tenggol ditamatkan

01/09/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) seorang nelayan yang dikhuatiri hilang selepas sebuah bot dilaporkan terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun pada 27 Ogos lalu, ditamatkan hari ini selepas tiada sebarang petunjuk atau penemuan berjaya dikesan

Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, operasi pencarian meliputi kawasan seluas kira-kira 801.22 batu nautika persegi dan dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira keadaan cuaca, laut, arus serta kemungkinan hanyutan mangsa

“Sepanjang operasi, pelbagai kaedah pencarian telah dilaksanakan termasuk pencarian permukaan, penggunaan sonar, operasi selaman serta penggunaan Remote Operated Vehicle (ROV) bagi membantu mengesan sebarang petunjuk atau objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan mangsa

“Namun begitu, sehingga operasi ditamatkan, tiada sebarang petunjuk atau penemuan yang dapat dikaitkan dengan mangsa berjaya dikesan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, keputusan menamatkan operasi dibuat selepas semua sektor pencarian yang dikenal pasti telah dilaksanakan dan tiada maklumat baharu diperoleh yang dapat membantu usaha mengesan mangsa

“Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi, pasukan penyelamat, komuniti maritim serta pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang operasi ini atas kerjasama, komitmen dan bantuan yang diberikan

“Walaupun operasi carilamat ditamatkan, aset Maritim Malaysia yang melaksanakan rutin rondaan akan terus membuat pemantauan sekiranya terdapat sebarang maklumat atau penemuan baharu berkaitan mangsa,” katanya

Khamis lalu Maritim Malaysia Zon Kemaman menerima makluman awal daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan pada 6.25 petang mengenai mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan masih belum ditemukan sehingga kini. – Suara Timur

Ahad, Ogos 30, 2026

Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul pada Program Kawalan Denggi

 

Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul pada Program Kawalan Denggi

29/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Lebih lima tan sampah berjaya dikumpul sempena Program Kawalan Denggi
Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai dekat sini hari ini.

Pengerusinya, Badeli Mamat berkata, program selama tiga jam yang berakhir pada pukul 11 pagi berjaya mengumpul pelbagai jenis bahan buangan termasuk basikal dan tayar buruk.

“Alhamdulillah sambutan dan kerjasama penduduk Kampung Jaya amat menggalakan dan hari ini kami memeriksa pasu bunga, tayar buruk, tin kosong, atau bekas yang boleh menakung air hujan dan buang barang terpakai ke dalam tong sampah atau pusat kitar semula yang betul.

PESERTA gotong-royong mengutip dan membuang tayar terpakai pada  Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR

“Program gotong-royong berkenaan memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko tinggi, di samping memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.

Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya itu dianjurkan Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya, Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Kontraktor Pembersihan MPK dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Batu 2 ½,

Hadir sama Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Azri A. Latip dan Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar.

SEBAJAGIAN sampah yang berjaya dikutip peserta pada Program Kawalan Denggi Di Kawasan Perumahan Kampung Jaya, Cukai, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Pada masa sama, Badeli berkata, orang ramai turut diseru supaya sentiasa memainkan peranan dengan memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang situasi air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti itu diharap dapat membantu mengekang penularan kes demam denggi,” ujarnya.

Badeli berkata, pihaknya akan memantau setiap minggu bagi memastikan tiada pembiakan nyamuk aedes di kawasan ini. – Suara Timur.