MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Selasa, Mei 12, 2009

Ulang Tahun Penubuhan UMNO yang ke 63. DS Nizar MB Perak yang sah.

Gambar Berita Harian Online

Salam blogger.
Hari ini UMNO menyambut ulang tahun penubuhan yang ke 63 dengan perasaan yang amat pilu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi. Difahamkan Datuk Seri Nizar akan mengadap Sultan Perak dalam masa terdekat bagi memohon Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bagi mengadakan pilihanraya kecil negeri untuk mendapat mandat rakyat yang baru. Perdana Menteri DS Najib dalam satu kenyataan berkata Barisan Nasional akan merayu keputusan secepat mungkin keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu.

Saya secara peribadi tidak bersetuju keputusan BN untuk merayu keputusan yang telah dibuat olih Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur disebabkan DS Nizar berkemungkinan mengadap Tuanku Sultan Perak bagi pembubaran DUN Perak. Jika BN membuat rayuan dan kemenangan berpihak kepada BN, maka rakyat, lebih lebih lagi pembangkang akan mengatakan sistem kehakiman negara berada ditahap yang paling rendah dan bolih dipengaruhi, walau pun tidak berlaku demikian. Keyakinan rakyat pada sistem kehakimam hancur sama sekali. Jika BN kalah dalam rayuan, BN akan mendapat dua kali malu. Jika DS Nizar tidak ingin bubar DUN, maka Adun BN bersama Adun bebas bolih membuat undi tidak percaya pada MB dan seterusnya MB baru dilantik dari kalangan BN. Jumpa lagi.

BN akan rayu, rakyat Perak perlu bertenang: PM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan merayu secepat mungkin keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Perdana Menteri juga berharap rakyat Perak bertenang dan tidak terlalu teruja kerana masalah itu akan diselesaikan. "Cuma saya nak katakan kita rasa ada kes dan asas yang kuat, maka kita akan membuat rayuan," katanya kepada pemberita di sini, petang ini.
Ditanya kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri, Najib berkata: "Ia adalah bidang kuasa Sultan Perak".
Petikan Berita Harian Online 11/5/09

Berita sebelum ini.
Nizar tak balik Ipoh untuk hadap Sultan: Amran

IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak akan kembali ke Perak hari ini kerana mempunyai beberapa program di ibu negara sepanjang hari. Pegawai Khasnya, Amran Harun, sehubungan itu menafikan Mohammad Nizar akan berusaha untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Istana Kinta petang ini, bagi mencadangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. "Beliau (Nizar) bagaimanapun akan menghadiri jemputan majlis pengurniaan pingat di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, pagi esok, bukannya mahu mengadap tuanku untuk minta bubar DUN," katanya ketika dihubungi hari ini.
Amran sehubungan itu meminta orang ramai dan media tidak mempercayai khabar angin, sebaliknya mendapatkan pengesahan beliau.
Petikan Berita Harian Online 11/5/09

Berita sebelum ini.
Zambry, Exco akur keputusan mahkamah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Zambry dan ahli Exconya akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah dan bersedia mengosongkan pejabat masing-masing. Perkara ini dinyatakan Ketua Penerangan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar. Zambry yang dalam perjalanan dari Ipoh ke sini untuk menghadiri majlis ulang tahun Umno ke-63, tidak dapat dihubungi.
Petikan Berita Harian Online 11/5/09

Berita sebelum ini.
Nizar akan mohon restu Sultan Perak bubar DUN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi di sini, berkata beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, untuk memohon restu bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Mohamad Nizar berkata, beliau juga akan meminta Exco Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dibubarkan dan mengadakan mesyuarat Exco beliau secepat mungkin. Katanya, beliau juga akan menggantung Penasihat Undang-Undang Negeri Perak kerana tidak memberi kerjasama selama kemelut pentadbiran itu.
Petikan Berita Harian Online 11/5/09

Berita sebelum ini.
Mahkamah Tinggi isytihar Nizar Menteri Besar Perak yang sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi. Dalam keputusannya, Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.
Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah. Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan. Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu. Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu. Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan. Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi Pakatan Rakyat (PR).
Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas serta menyokong BN.
Petikan Berita Harian Online 11/5/09

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.