APM tangkap ular sawa batik seberat 200 kg
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia, Daerah Kemaman berjaya menangkap seekor ular sawa batik seberat lebih 200 kilogram (kg) di sebuah rumah penduduk di Kampung Padang Lalang, Binjai, dekat sini, hari ini.
Reptilia sepanjang kira-kira lapan meter yang ditangkap itu sedang kekenyangan selepas dikatakan menelan seekor kambing peliharaan penduduk kampung berkenaan.
Timbalan Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Leftenan (PA) Nassrudin Zulkifley berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang penduduk kira-kira pukul 10.30 pagi.
Menurut Nassrudin, sejurus menerima panggilan, seramai empat anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan selepas pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui ular berkenaan sedang kekenyangan berhampiran kandang peliharaan kambing milik penduduk.

Bercakap kepada media, Nassrudin berkata, pihaknya mengambil masa lebih 30 minit menangkap reptilia itu yang telah menelan seekor kambing seberat 20 kilogram.
Beliau memberitahu, pihaknya telah membawa ular berkenaan ke pusat kawalan operasi APM daerah Kemaman sebelum diserahkan kepada pihak berkenaan.
Nassrudin berkata, menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran binatang berbisa ke kawasan rumah ekoran musim tengkujuh ini dan segera menghubungi APM jika berdepan dengan situasi itu.
Dalam perkembangan sama, Nassrudin berkata, bermula Januari hingga Oktober 2025, APM daerah Kemaman telah berjaya menangani sebanyak 961 kes berkaitan ular berbisa dan sehingga 22 November sahaja sebanyak 98 kes diselesaikan.
“Jumlah panggilan yang diterima berkaitan ular yang diterima APM dari Januari hingga 22 November 2025 sebanyak 1,059 kes,” katanya. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.