Bot terbalik: Nelayan masih hilang di perairan Pulau Tenggol
Oleh MUKHATAR A RAHMAN
KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kemaman mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata operasi berkenaan diaktifkan pada 6.25 petang semalam selepas pihaknya menerima makluman awal daripada Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan.
Beliau berkata mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan masih belum ditemukan sehingga kini.
“Operasi pencarian sedang giat dijalankan dengan mengatur gerak aset seperti Bot Perkasa 49, Kapal Maritim KM Jujur dan aset udara pesawat CL415, selain penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Halim berkata operasi pencarian akan diperluaskan di sekitar lokasi kejadian dengan mengambil kira faktor cuaca, arus dan keadaan laut bagi memastikan usaha mengesan mangsa dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut, termasuk memakai jaket keselamatan serta memastikan peralatan keselamatan dan komunikasi berada dalam keadaan baik.
“Sebarang maklumat berkaitan kejadian atau kemungkinan keberadaan mangsa hendaklah disalurkan segera kepada pihak berkuasa bagi membantu melancarkan operasi pencarian dan menyelamat,” katanya. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.