Artikel ini disiarkan melalui ruangan Coffee House Mingguan Malaysia pada 08 Februari 1998
COFFEE HOUSE
ARKIB : 08/02/1998
COFFEE HOUSE bersama SIRAJUDDIN RAFIA
ANTARA GELORA DAN CAHAYA PELANGI
MENOLEH ke negeri di bawah lindungan keindahan pelangi pula, kaum kerabat dihidang dengan satu perkhabaran terbaru dari Kemaman. Sejauh mana kebenarannya kaum kerabat kurang pasti, tetapi menurut ceritanya, pelayaran bahtera Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad kali ini mungkin tidak sebegitu tenang seperti dulu. Setelah hampir 27 tahun Ayah Wang menakhodai Kemaman dengan penuh ketenangan, kali ini beliau mungkin terpaksa menghadapi tentangan.
Sama ada ia hanya menyerupai reba, onak atau duri sahaja kaum kerabat kurang pasti, tetapi khabarnya, seorang ahli bernama Mukhatar A. Rahman kini disebut-sebut akan mencabarnya untuk jawatan Ketua Bahagian pada mesyuaratnya bulan depan. Bagi Mukhatar mungkin tidak ada apa nak dirugikan. Seperti katanya sendiri: ''Saya bukanlah tamak jawatan, tetapi niat saya ialah untuk menyedarkan ahli-ahli UMNO Kemaman bahawa kita perlukan perubahan dari segi pentadbiran dan ekonomi.'' Kaum kerabat kurang pasti kenapa perubahan itu diperlukan, tetapi dalam sepucuk suratnya kepada kaum kerabat, Mukhatar mendakwa, pemimpin peringkat bahagian tidak pernah peka dengan masalah cawangan, sebaliknya asyik bertelagah sama sendiri. Sejauh mana kekuatan pengaruh Mukhatar ini kaum kerabat kurang periksa, tetapi kata para sahabat, kalaulah ia onak atau duri sekalipun, tentunya perit juga kita berpijak.
Menurut ceritanya, dalam mesyuarat bahagian minggu lalu, Ayah Wang sendiri sudah pun menyusun barisannya sebagai suatu kompromi untuk pemilihan kali ini. Entah ia entah tidak kaum kerabat kurang pasti, tetapi menurut khabarnya, di bawah susunan itu Ayah Wang akan kekal sebagai ketua, diikuti oleh Datuk Abu Bakar Ali sebagai timbalan dan Dr. Ramli Taib sebagai Ketua Pemuda.
Namun, ini hanya susunan yang dipersetujui. Tetapi sosek-sosek yang kaum kerabat dengar kemudiannya, ada ura-ura Datuk Abu Bakar yang disarankan mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Bahagian juga akan dicabar. Kalau ini berlaku, ia mungkin akan menjurus kepada pertarungan tiga penjuru pula. Sebabnya, Dr. Ramli Taib yang dipertaruhkan untuk menerajui Pemuda mungkin akan turut menyertai pertarungan di peringkat timbalan, untuk menyelamatkan keadaan.
Kaum kerabat bukanlah hendak menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kalaulah di kawasan pimpinan Menteri Besar sendiri pun tercetus gelora, kaum kerabat tak tahulah di tempat lain pula. Yang pastinya, janganlah gelora sampai menghakiskan keindahan cahaya pelangi yang selama ini menghiasi suasana Terengganu.
Sumber arkibcmk.blogspot.com























