MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Ahad, Ogos 16, 2026

Kampung Bukit Mentok jadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat ketujuh di Terengganu

 

Kampung Bukit Mentok jadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat ketujuh di Terengganu

16/08/2026

KEMAMAN: Kampung Bukit Mentok di sini hari ini secara rasmi menjadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman, sekali gus kampung ketujuh mengadaptasi model Kampungku Celik Ubat di Terengganu.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Ruzita Awang, Pegawai Daerah Kemaman Nazwawi Harun, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman Dr Mohd Shafik Abd Majid dan Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar.

Program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Hospital Kemaman, Persatuan Farmasi Malaysia Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman, JPKK Kampung Bukit Mentok serta pimpinan dan komuniti setempat.

PENGARAH Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman Tahun 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMAN

Inisiatif Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat diperkenalkan pada 2019 dengan Kampung Gong Lingai, Kuala Nerus sebagai kampung perintis, susulan pengalaman pelaksanaan aktiviti pendidikan berkaitan ubat dalam kalangan komuniti yang dimulakan sejak 2017.

Sejak itu, pendekatan berkenaan diperluaskan secara berfasa meliputi Kampung Kayu Kelat di Besut, Kampung Getang (Hulu Terengganu), Kampung Burung Baru (Dungun), Kampung Rawai (Marang), Kampung Baru Penarik (Setiu) dan kini Kampung Bukit Mentok (Kemaman).

Dengan pengiktirafan Kampung Bukit Mentok tahun ini, tujuh kampung model kini mewakili tujuh daerah di Terengganu, manakala Kuala Terengganu dijangka melengkapkan senarai berkenaan pada tahun hadapan.

Lima komponen, 10 inisiatif strategik

Kampungku Celik Ubat bukan sekadar program pendidikan berkaitan penggunaan ubat, sebaliknya merupakan model komuniti yang berstruktur dan mampan menerusi lima komponen serta 10 inisiatif strategik.


PENGARAH Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad menandatangani plak perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMAN

Lima komponen itu meliputi pengupayaan komuniti melalui Duta Kenali Ubat Anda (DKUA), jalinan komuniti dan anggota farmasi dalam penjagaan pesakit kronik, masjid sebagai pusat celik ubat, sekolah celik ubat serta penyampaian informasi cakna ubat dalam persekitaran kampung.

Dalam model berkenaan, Duta Kenali Ubat Anda berperanan sebagai penggerak dan penghubung antara komuniti dengan perkhidmatan farmasi, termasuk menyampaikan mesej asas mengenai penggunaan ubat yang betul, membuat hebahan maklumat serta menjadi rujukan awal masyarakat sebelum mendapatkan khidmat anggota farmasi.

Pendekatan itu turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian melalui penubuhan Jawatankuasa Penggerak Kampungku Celik Ubat di peringkat komuniti yang berperanan merancang, melaksanakan dan memastikan kesinambungan aktiviti celik ubat dengan sokongan teknikal pasukan farmasi.

SEBAHAGIAN tetamu dan pengunjung bergambar sempena majlid perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMA

Bukit Mentok jadi pencetus

Di Kampung Bukit Mentok, pelaksanaan Kampungku Celik Ubat diperkukuhkan menerusi pelbagai pendekatan yang melibatkan komuniti secara langsung, antaranya Pharmacy Integrated Community Care (PICC), Sudut Kenali Ubat Anda di masjid, sekolah dan balai raya serta aktiviti pendidikan bersama institusi pendidikan.

Ia turut merangkumi kunjungan mesra kepada komuniti dan aktiviti yang menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat.

Seramai tujuh Duta Kenali Ubat Anda dari Kampung Bukit Mentok turut dilantik sebagai penggerak kesihatan komuniti bagi memastikan mesej mengenai penggunaan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan dapat disampaikan secara berterusan.

Pelaksanaan inisiatif itu diharap bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bukit Mentok, malah menjadi titik permulaan kepada peluasan impak celik ubat ke seluruh daerah Kemaman.

Pendekatan yang dilaksanakan di kampung berkenaan juga boleh dijadikan contoh untuk dikembangkan ke kampung lain melalui kerjasama komuniti, Duta Kenali Ubat Anda, pasukan farmasi, Pejabat Daerah, agensi kerajaan serta rakan strategik.

Bermula dari Kampung Bukit Mentok, lebih ramai Duta Kenali Ubat Anda diharap dapat dilahirkan, sekali gus memperkasakan komuniti dan membentuk masyarakat Kemaman yang lebih celik ubat serta cakna terhadap kesihatan.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat serta pendekatan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit yang menekankan penglibatan aktif komuniti dalam membentuk persekitaran dan gaya hidup lebih sihat. – Suara Timur

Rabu, Ogos 12, 2026

SK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

 

SK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

12/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan SK Tembila mewakili Zon Timur ke peringkat kebangsaan pada Festival Pengguna (CONFEST) KPDN 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September ini.

Pada penyertaan tahun lalu, pasukan berkenaan turut mencipta kejayaan apabila meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.

PESERTA Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 bergambar kenangan selepas pertandingan di Kuala Terengganu, hari ini.

Pertandingan tersebut dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Pertandingan itu melibatkan 121 murid daripada 11 sekolah rendah pada peringkat saringan dan bertujuan menyemai kesedaran mengenai hak serta tanggungjawab pengguna dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan kreatif, interaktif dan didik hibur.

Daripada 11 sekolah yang bertanding, lima pasukan mara ke peringkat akhir dengan mempersembahkan bicara berirama bertemakan kepenggunaan yang menggabungkan penyampaian mesej, kreativiti dan persembahan berkumpulan.

SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Kuala Terengganu, hari ini.

SK Kuala Kemaman muncul naib johan, diikuti SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman di tempat ketiga, SK Seri Iman, Kemaman (keempat) dan SK Bukit Tumbuh, Kuala Nerus (kelima).

Sementara itu, Syed Muhammad Fakhrul Amsyar Syed Mohd Faizal dari SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik atas persembahan cemerlang dalam mengendalikan pasukannya sepanjang pertandingan.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah KPDN Negeri Terengganu Mohd Mufsi Lat, manakala turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Wan Ruslan Wan Ramli, pegawai pendidikan daerah, pegawai kanan KPDN Negeri Terengganu serta guru besar sekolah yang bertanding.

Sementara itu, Mohd Mufsi berkata pertandingan itu merupakan kesinambungan program sempena Hari Pengguna Kebangsaan yang disambut pada 15 Mac setiap tahun, selaras dengan tema Hari Pengguna 2026, “Suara Kita Kuasa Kita” (Our Voice Our Power).

“Tema ini membawa maksud bahawa pengguna mempunyai kuasa melalui suara dan tindakan serta digalakkan untuk aktif menyatakan pandangan, membuat aduan, memberikan maklum balas dan melaporkan sebarang penipuan melalui saluran yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata isu kepenggunaan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan dan muafakat semua pihak bagi membentuk masyarakat yang peka terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu turut menjadi platform untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami hak mereka sebagai pengguna, malah berani bersuara, membuat pilihan secara bijak dan membantu mewujudkan ekosistem perdagangan yang lebih adil serta telus.

KPDN turut memperkenalkan lagu tema rasmi “Aktivisme Pengguna: Suara Kita Kuasa Kita” sebagai medium meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih prihatin, berani bersuara dan mempertahankan hak sebagai pengguna bijak.

Mohd Mufsi berkata penganjuran program seumpama itu akan terus diperkasakan sebagai medium pendidikan kepenggunaan bagi melahirkan generasi pengguna yang bijak, berani bersuara dan bertanggungjawab.– Suara Timur

Selasa, Ogos 11, 2026

Ibu maut, anak dan anak saudara cedera motosikal langgar lori

 

Ibu maut, anak dan anak saudara cedera motosikal langgar lori

10/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang ibu maut manakala anak perempuan serta anak saudaranya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di kilometer 123 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran pekan Kemasik dekat sini hari

Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari  mangsa, Mariana Mat Hassan, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian oleh selepa cedera parah pada kepala.

Anak perempuan mangsa, Tuan Nur Aina Syifa Tuan Ab Rahman, 10, mengalami patah tangan kiri dan kaki kiri manakala anak saudara mangsa Nur Alfira Miqaila Mohd Hilmi, 7 cedera di tangan dan kaki kiri.

Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas menjemput anak dan anak saudaranya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang secara melawan arus sebeluml melanggar sebuah lori yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri jalan.

Pemandu lori berkenaan Samsuhaimi Johari, 40, dari Kampung Baru Seri Aman, Johor Bharu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala anak dan anak saudara mangsa diberikan rawatan di hospital sama.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –  Suara Timur

Sabtu, Ogos 08, 2026

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

 

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

08/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, anggota polis yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah petang Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh Dua, tengah malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham Muhammad Raimi tiba di perkarangan rumah keluarganya di Felda Kerteh Dua, Dungun kira-kira pukul 11.30 malam.

Jenazah Allahyarham telah disolatkan di rumah berkenaan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Felda Kerteh Dua untuk dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

JENAZAH Allahyarham Muhammad Raimi disolatkan di rumahnya di Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Solat jenazah Allahyarham diImankan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat.

Lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan taulan serta 20 anggota polis dan pegawai hadir mengiringi pengebumian Allahyarham dan selesai pukul 1.15 pagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Muhammad Raimi diiringi beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 9.20 malam.

JENAZAH hyarham Muhammad Raimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 
Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Allahyarham yang masih bujang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula bertugas di Balai Polis Weston pada September 2024.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang Khamis lalu, tiga anggota polis maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengait buah kelapa di Jalan Kampung Weston, Beaufort, Sabah.

Ketika kejadian, salah seorang anggota polis terbabit dipercayai menggunakan sebatang galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait buah kelapa sebelum galah itu terkena kabel elektrik.

Konstabel Muhammad Raimi bersama seorang lagi anggota lain yang cuba membantu mangsa turut terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua anggota lain yang maut ialah Koperal Chiu Teck Siong dari Sarawak dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dari Kelantan. –  Suara Timur

Tiga tan sampah dikumpul sempena Program Kawalan Denggi

 

Tiga tan sampah dikumpul sempena Program Kawalan Denggi

08/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Lebih tiga tan sampah berjaya dikumpulkan sempena Program Kawalan Denggi di kawasan perumahan Taman Mawar, Kampung Tempurung, di sini hari ini.

Pengerusi Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata program selama tiga jam yang berakhir 10.30 pagi itu mengumpulkan pelbagai jenis bahan buangan termasuk rangka katil dan basikal.

“Program anjuran PPKK dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Unit Vektor Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, kontraktor pembersihan MPK serta komuniti Taman Mawar.

PESERTA program gotong-royong hapus denggi membersih sampah di sekitar kawasan Perumahan Taman Mawar sempena Program Kawalan Denggi Di  Taman Mawar, Kampung Tempurung, Kemaman, hari ini. – SUARABTIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah memeriksa pasu bunga, tayar buruk, tin kosong dan bekas yang berpotensi menakung air hujan, selain memotong rumput serta membersihkan daun kering yang menghalang saluran air,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.

Hadir sama Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman, Pakar Perubatan Keluarga Dr Nini Shuhaida Mat Harun.

SEBAHAGIAN Peserta yang menyertai Program Gotong- Royong Hapus Denggi membersih sampah bergambar kenangan  di Kawasan Perumahan Taman Mawar, Kampung Tempurung, Kemaman, hari ini. SUARA TIMUR/ MUKHATAR A RAHMAN

Wan Norsuriya berkata program gotong-royong itu memberi tumpuan kepada usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, khususnya di kawasan berisiko tinggi, selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan denggi.

Beliau turut menyeru orang ramai memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih dan bebas daripada air bertakung bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes.

“Pihak kami akan menjalankan pemantauan setiap minggu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Taman Mawar yang bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman secara kendiri serta menyediakan sarapan kepada peserta program.

Usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan komuniti itu diharap dapat membantu mengekang penularan demam denggi di kawasan berkenaan. – Suara Timur

Khamis, Ogos 06, 2026

Kanak-kanak autisma ditemukan lemas di Pantai Kuala Kerteh

 

Kanak-kanak autisma ditemukan lemas di Pantai Kuala Kerteh

06/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang kanak-kanak autisma ditemukan lemas selepas dihanyutkan arus ketika bermain di Pantai Kuala Kerteh di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 minit petang itu mangsa Muhammad Syahmi Farhan Mohd Fardaus, 6, ditemukan di dasar pantai berkenaan pukul 5.43 minit petang selepas dua jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan berada bersama ibu bapanya di dalam sebuah kereta yang diparkir berhampiran pantai berkenaan.

ANGGOTA bomba melakukan operasi pencarian kanak-kanak autisma yang dihanyutkan arus ketika bermain di Pantai Kuala Kerteh, Kemaman, petang semalam.

Namun katanya, ketika ibu bapa mangsa sedang minum di dalam kenderaan itu, mangsa dipercayai keluar secara senyap-senyap dari kereta dan berlari seorang diri menuju ke pantai kira-kira 10 meter dari lokasi keretanya.

Menurutnya, ibu bapa mangsa hanya menyedari kehilangan anaknya itu selepas mendapati mangsa tiada di tempat duduk belakang kereta berkenaan.

Susulan itu, katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh dan polis serta penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Mayat mangsa ditemukan kira-kira 30 meter dari pantai sebelum dibawa naik ke darat. Usaha menyelamatkan mangsa kemudian dilakukan sehingga pihak kesihatan tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Mohd Razi berkata, operasi mencari berdepan sedikit kesukaran berikutan arus laut yang agak kuat ketika air laut mula pasang.

Katanya,mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat. – Suara Timur

Rabu, Ogos 05, 2026

Pasangan suami isteri cedera MPV langgar kumpulan gajah

 

Pasangan suami isteri cedera MPV langgar kumpulan gajah

05/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka melanggar sekumpulan gajah liar di Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), Kemaman, Terengganu malam tadi.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 9.36 minit malam tadi di kilometer 274.6, LPT2 berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Cheneh Baru, Kemaman.

Dalam kemalangan itu, pasangan terbabit yang masing-masing berumur 55 dan 53 tahun mengalami kecederaan ringan manakala kenderaan MPV dinaiki mereka rosak teruk.

KEADAAN MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki pasangan suami isteri remuk selepas melanggar sekumpulan gakah di Kilometer 274.6 LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman, malam tadi.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Cheneh Baru ke rumah mereka di Perumahaan Awam Kos Rendah Kampung Pasir Gajah, Kemaman.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa tidak sempat mengelak kumpulan gajah liar di atas lebuh raya itu dan terus merempuh haiwan-haiwan terbabit.

Akibat rempuhan itu, Toyota Estima dinaiki mereka remuk teruk pada bahagian hadapan dan semua mangsa berjaya di keluarkan sepasukan anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh Baru.

Kedua-dua mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman (HK) untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan mereka, sekumpulan kira-kira 20 ekor gajah liar berkenaan dilihat sedang melintasi lebuh raya itu menuju ke hutan berhampiran.

Kejadian membabitkan kenderaan awam melanggar gajah liar itu merupakan yang pertama kali berlaku di lebuh raya terbabit sejak ianya dibuka lebih 13 tahun lalu.- Suara Timur

Selasa, Ogos 04, 2026

JPJ pandang serius peningkatan kes kemalangan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0

 

JPJ pandang serius peningkatan kes kemalangan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0

04/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Terengganu akan meneruskan penguatkuasaan secara tegas, berhemah dan berasaskan risiko terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan, khususnya susulan peningkatan kes kemalangan sepanjang penganjuran RXZ Members 8.0.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata tindakan penguatkuasaan akan memberi tumpuan terhadap kesalahan yang menjejaskan keselamatan, termasuk pengubahsuaian kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi serta perbuatan menunggang secara berbahaya.

Menurutnya, berdasarkan data kemalangan bagi tempoh 30 Julai hingga 2 Ogos, sebanyak 29 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Terengganu dalam tempoh berkaitan penganjuran program berkenaan.

“Daripada jumlah itu, lima kes merupakan kemalangan maut yang mengakibatkan lima kematian, tiga kes melibatkan kecederaan parah, 20 kes kecederaan ringan dan satu kes tidak melibatkan kecederaan,” menurut kenyataan itu.

JPJ berkata daripada keseluruhan kes berkenaan, 18 berlaku di jalan ekspres, 10 di jalan Persekutuan dan satu di jalan negeri.

“Dapatan ini menunjukkan aspek keselamatan perlu diberikan perhatian bukan sahaja di lokasi program, tetapi juga sepanjang perjalanan peserta menuju ke Terengganu dan ketika pulang ke destinasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPJ, PDRM Terengganu turut melaporkan peningkatan jumlah kemalangan daripada 11 kes pada 2025 kepada 29 kes pada tahun ini, manakala kemalangan maut meningkat daripada dua kepada lima kes.

JPJ berkata pihaknya turut prihatin terhadap kemalangan membabitkan orang awam, termasuk seorang remaja yang mengalami kecederaan melecur serius selepas motosikal yang dinaikinya bersama ibunya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah motosikal peserta program.

“​​Kejadian tersebut memperlihatkan bahawa tindakan dan risiko di jalan raya boleh memberi kesan kepada pengguna lain yang tidak mempunyai kaitan dengan acara berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, JPJ berkata budaya keselamatan perlu diperkukuh melalui kerjasama peserta, penganjur, komuniti permotoran dan agensi berkaitan, terutama bagi penganjuran program permotoran berskala besar pada masa akan datang.

Antara aspek yang perlu diberikan perhatian ialah komunikasi berkaitan pematuhan undang-undang sebelum perjalanan, pematuhan terhadap undang-undang dan spesifikasi teknikal kenderaan, pengurusan insurans peserta serta perancangan perjalanan dan rehat yang mencukupi.

JPJ berkata penguatkuasaan bukan bertujuan menghalang aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab, sebaliknya memastikan setiap aktiviti dapat berlangsung tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“​​Kejayaan sebenar tidak hanya diukur melalui jumlah saman atau sitaan, tetapi melalui pengurangan kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa,” menurut kenyataan itu.

JPJ turut menyeru semua penunggang supaya mematuhi undang-undang, memastikan motosikal berada dalam keadaan selamat, mengelakkan aksi berbahaya serta merancang perjalanan dengan baik. – Suara Timur

Isnin, Ogos 03, 2026

PPKK, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ semarak Bulan Kebangsaan melalui program kemasyarakatan

 

PPKK, Klinik Kesihatan Batu 2 ½ semarak Bulan Kebangsaan melalui program kemasyarakatan

03/08/2026

KEMAMAN: Ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) bersama warga Klinik Kesihatan Batu 2 ½ terus memperkukuh semangat patriotisme dan kesedaran kesihatan dalam komuniti menerusi penganjuran Program Sesi Ramah Mesra PPKK dan Sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung meriah di klinik berkenaan hari ini.

Pengerusi PPKK Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar berkata program bertemakan “Semarak Merdeka, Kibarkan Jalur Gemilang, Malaysia MADANI, Kesejahteraan Dinikmati” itu merupakan program kelima yang dianjurkan hasil kerjasama PPKK dan Klinik Kesihatan Batu 2 ½ bagi tahun ini.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program, antaranya majlis berbuka puasa, gotong-royong membersihkan kawasan klinik, memasak bubur asyura, pengedaran risalah mengenai bahaya denggi, khidmat nasihat pencegahan denggi dalam komuniti serta aktiviti sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

PENGERUSI  Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar (tengah). – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Sambutan Bulan Kebangsaan diadakan setiap tahun bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan kakitangan klinik dan ahli PPKK. Tahun ini merupakan penganjuran kali kelima berturut-turut,” katanya ketika ditemui Suara Timur hari ini.

Menurut beliau, program itu mendapat sokongan penuh Pakar Perubatan Keluarga merangkap Ketua Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Dr Nini Shuhaida Mat Harun serta seluruh warga kerja klinik.

Katanya, bagi memeriahkan sambutan, peserta bergotong-royong memasang Jalur Gemilang di sepanjang laluan masuk klinik sebelum mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra ke semua unit di klinik.

PENGERUSI Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Wan Norsuriya Wan Mokhtar memasang Jalur Gemilang meja di kaunter masuk Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Kemaman, hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“PPKK turut menyampaikan Jalur Gemilang kepada ketua Unit MCH, UPL, NCD, Makmal, X-Ray, TB, Farmasi dan Klinik Pergigian sebagai simbolik menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan warga kesihatan,” katanya.

Wan Norsuriya berkata PPKK bukan sahaja aktif melaksanakan program bersama Klinik Kesihatan Batu 2 ½, malah turut menyertai pelbagai program anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman termasuk sesi dialog bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (Kesihatan Awam) pada Julai lalu.

Beliau berkata PPKK bersama Klinik Kesihatan Batu 2 ½ akan terus merancang pelbagai aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa, termasuk Program Kawalan Denggi di Kawasan Perumahan yang dijadual berlangsung di Taman Mawar, Kampung Tempurung pada Sabtu ini. – Suara Timur

Sabtu, Ogos 01, 2026

Penunggang motosikal maut terbabas ketika dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0

 

Penunggang motosikal maut terbabas ketika dalam perjalanan ke RXZ Members 8.0

01/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Impian seorang pengurus restoran makanan segera merasai kemeriahan program RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus tidak kesampaian apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran  Rawat dan Rehat (R&R) Perasing di sini pagi ini.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi ketika mangsa Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang berkonvoi bersama enam penunggang motosikal lain  dari Kuala Lumpur.

Siasatan awal polis mendapati, motosikal ditunggang mangsa dilkatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di tengah lebuh raya.

Akibat pelanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak sejauh beberapa meter dan terjatuh ke dalam longkang di tengah lebuh raya.

Keadaan itu menyebabkan mangsa  meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kedua belah kaki.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian itu.

Mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Suara Timur