MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Jumaat, Ogos 21, 2026

152 pelajar sertai Perkhemahan Satria Muda Madani Kemaman

 

152 pelajar sertai Perkhemahan Satria Muda Madani Kemaman

21/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 152 pelajar dan 35 guru pengiring daripada 19 sekolah menengah daerah ini menyertai Perkhemahan Satria Muda Madani Peringkat Daerah Kemaman 2026 yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 Ogos hingga hari ini.

Program anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kemaman itu diadakan di Nomadix Camper Park, Telaga Simpul, Bukit Kuang, di sini, sebagai platform pembangunan sahsiah, jati diri dan kepimpinan dalam kalangan anggota Kor Kadet Polis Sekolah Daerah Kemaman.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman Tengku Shahrir Tengku Dahlan, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar serta Pengarah Urusan Nomadix Camp Site Telaga Simpul Md Azhar Nordin.

SEBAHAGIAN daripada murid yang menyertai Perkhemahan Satria Muda Madani Peringkat Daerah Kemaman 2026 di di Nomadix Camper Park, Telaga Simpul, Bukit Kuang, Kemaman.  – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Mohd Razi berkata program berkenaan bukan sekadar aktiviti untuk mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi platform bagi membentuk disiplin, kepimpinan, keberanian, kerjasama, ketahanan diri dan semangat setiakawan dalam kalangan peserta.

“Sepanjang program ini dijalankan, saya percaya para peserta Kor Kadet telah melalui pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental. Mungkin ada yang penat, berdepan kesukaran dan terpaksa keluar daripada zon selesa.

“Namun, itulah sebenarnya nilai yang ingin diterapkan. Disiplin yang dipelajari di sini hendaklah dibawa pulang ke sekolah, semangat kerjasama diamalkan bersama rakan-rakan dan sikap hormat-menghormati diterapkan dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program itu.

PELAJAR SMK Sultan Ismail II, Kemaman bergambar selepas diumumkan sebagai juara keseluruhan pada Perkhemahan Satria Muda Madani Peringkat Daerah Kemaman 2026 di Nomadix Camper Park, Telaga Simpul, Bukit Kuang. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau berkata anggota Kor Kadet Polis tidak seharusnya hanya kelihatan hebat ketika memakai uniform, sebaliknya perlu menjadi pelajar yang berdisiplin, berakhlak dan mempunyai rasa tanggungjawab walaupun tidak mengenakan uniform.

“Ahli kadet semua perlu menjadi contoh yang baik kepada pelajar lain. Sebagai anggota Kor Kadet Polis, kita bukan sahaja membawa nama sekolah tetapi juga imej pasukan beruniform yang berdisiplin, beretika dan berintegriti.

“Justeru, setiap cabaran yang ditempuhi dalam program ini merupakan latihan kehidupan yang akan mematangkan kita,” katanya.

Mohd Razi berkata anggota Kor Kadet Polis juga perlu melihat diri mereka sebagai simbol disiplin, keberanian dan bakal pemimpin masa depan negara.

SEBAHAGIAN daripada peserta yang menyertai Perkhemahan Satria Muda Madani Peringkat Daerah Kemaman 2026Nomadix Camper Park, Telaga Simpul, Bukit Kuang, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Anda semua dilatih bukan hanya untuk cekap dalam baris dan tugas, tetapi juga untuk menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, berprinsip dan berjiwa besar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih kadet, guru dan penyelaras atas kerjasama serta sokongan dalam usaha membentuk pelajar yang lebih berdisiplin dan berwawasan.

Sebanyak 19 sekolah menyertai perkhemahan itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi, SMK Mak Lagam, SMK Chukai, SMK Permai, SMK Bukit Kuang, SMK Badrul Alam Shah, SMK Geliga, SMK Felda Neram, SMK Sultan Ismail II, SMK Rantau Petronas, SMK Ayer Puteh, SMK Banggol, SMK Bukit Mentok, SMK Kerteh, SMK Sultan Ismail, SMK Binjai, SMK Kijal, SMK Cheneh Baharu dan SM Imtiaz.

SMK Sultan Ismail II muncul juara keseluruhan, diikuti SMK Felda Neram sebagai naib juara manakala SMK Geliga menduduki tempat ketiga.

Bagi acara kawat, Ahmad Muhaimin Khairul Hafiz dari SMK Sultan Ismail II muncul juara kategori lelaki, manakala kategori wanita dimenangi Nur Aishah Hassan dari SMK Sultan Ismail. – Suara Timur

Selasa, Ogos 18, 2026

Belanjawan 2027: LKIM cadang kerajaan teruskan insentif subsidi

 

Belanjawan 2027: LKIM cadang kerajaan teruskan insentif subsidi

18/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mencadangkan kerajaan meneruskan insentif subsidi minyak kepada golongan nelayan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan sektor perikanan terus berkembang.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata, walaupun kerajaan berdepan masalah kewangan susulan krisis tenaga global, LKIM yakin kerajaan mampu mengekalkan subsidi berkenaan serta bantuan sara hidup golongan berkenaan.

“LKIM berharap peruntukan lebih besar disediakan bagi pembangunan dan menaik taraf infrastruktur perikanan, seperti jeti yang uzur dan kompleks pendaratan ikan yang ditambah baik,” katanya.

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) menyampaikan replica kunci kepada Rozi Abd Wahab pada Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Kemaman dan Penyerahan bina baru rumah nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman, hari ini. – Suara Timur/MUKHATAR A RAHMAN

Muhammad Faiz berkata demikian kepada pemberita selepas Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Kemaman dan Penyerahan Bina Baru Rumah Nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman di sini  hari ini.

Beliau berkata, tumpuan turut perlu diberikan kepada pembangunan sektor akuakultur bagi membantu nelayan dan persatuan nelayan meningkatkan sumber pendapatan.

Katanya,, pihaknya mengharapkan peruntukan yang lebih untuk bidang akuakultur supaya dapat di bangunkan bidang berkenaan bagi nelayan dan juga persatuan nelayan untuk difokuskan tahun ini.

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) menyampaikan replica cek kepada wakil Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) Kawasan Kemaman merangkap Ahli Lembaga Pengrah Persatuan Nelayan Kawsan (PNK) Kemaman, Rohani Awang @ Mamat pada  Program Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Kuala Kemaman dan Penyerahan bina baru rumah nelayan di Kompleks Perikanan LKIM Kuala Kemaman, hari ini. – Suara Timur/MUKHATAR A RAHMAN



“LKIM turut memohon peruntukan tambahan dalam Bajet 2027 bagi pembinaan lebih banyak unjam dan tukun sebagai kawasan pembiakan dan perlindungan ikan,” ujarnya.

Menurut Muhammad Faiz, pada masa ini kira-kira 80,000 nelayan yang aktif turun ke laut membabitkan Zon A, B, C dan C2 di seluruh negara.

Dalam perkembangan lain,Muhammad Faiz berkata, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi melaksanakan Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) yang melibatkan pembinaan 36 rumah baharu dan kerja baik pulih 344 rumah nelayan di seluruh negara.

Muhammad Faiz berkata, Terengganu menerima peruntukan bagi pembinaan empat rumah baharu dan baik pulih sebanyak 29 rumah.

Menurut Muhammad Faiz, konsep baik pulih rumah termasuk membaiki rumah nelayan sehingga maksimum RM20,000 manakala bina Baharu bernilai RM84,000.

Selain itu, beliau berkata, LKIM menyalurkan bantuan berjumlah RM214,000 bagi memperkasa sosioekonomi serta kemudahan infrastruktur komuniti nelayan di Kemaman.

Katanya,, peruntukan berkenaan meliputi RM124,000 bagi bantuan rumah nelayan B40, RM50,000 untuk kerja baik pulih dan naik taraf bangunan Kumpulan Wanita Nelayan (KUNITA) serta RM40,000 bagi pembinaan tangga di Jeti Jualan Minyak Kompleks LKIM Kemaman. – Suara Timur

Isnin, Ogos 17, 2026

Majlis Belia Kemaman gesa kerajaan tangani isu pendatang asing tanpa izin

 

Majlis Belia Kemaman gesa kerajaan tangani isu pendatang asing tanpa izin

17/08/2026

KEMAMAN: Majlis Belia Daerah Kemaman menggesa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera terhadap kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk golongan pelarian yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah dan diiktiraf kerajaan Malaysia.

Pengerusinya, Mohd Izham Ahmad berkata gesaan itu dibuat menerusi Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2026 susulan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penduduk tempatan dan negara.

Beliau berkata semua individu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan diiktiraf kerajaan Malaysia wajar dikategorikan sebagai PATI tanpa mengira istilah yang digunakan untuk merujuk kepada mereka.

MOHD IZHAM AHMAD

“Golongan ini dikhuatiri meningkatkan ancaman bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara kerana mereka tidak mempunyai pengenalan diri yang boleh dipercayai dan diiktiraf.

“Mereka juga tidak mempunyai rekod biometrik diri, selain asal usul serta status kerakyatan tidak dapat disahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Izhamyang juga Bendahari Kehormat Majlis Belia Malaysia berkata kerajaan perlu mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu berkenaan sebelum ia menjadi polemik yang lebih sukar dibendung.

Sehubungan itu, beliau menggesa tindakan penguatkuasaan termasuk pengusiran PATI, khususnya di Kemaman dan secara amnya di Malaysia, dipertimbangkan dengan segera atas faktor keselamatan negara.

Beliau turut menggesa kawalan sempadan negara diperkukuh bagi memastikan kemasukan individu tanpa dokumen sah dapat dibendung.

Mohd Izham berkata isu berkenaan perlu diberi perhatian serius bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk tempatan terus terpelihara. – Suara Timur

Pengguna jalan raya bimbang kehadiran kumpulan gajah di Jalan Jerangau-Jabor

 

Pengguna jalan raya bimbang kehadiran kumpulan gajah di Jalan Jerangau-Jabor

17/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Pengguna jalan raya di Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Cheneh Baru, di sini, bimbang dengan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran di laluan utama berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Kemunculan kumpulan haiwan liar di laluan berkenaan dipercayai pertama kali berlaku sejak lebih 50 tahun lalu.

Dalam kejadian pagi tadi, kumpulan gajah liar itu dikesan berada di tepi jalan berkenaan sebelum melintas jalan untuk masuk ke kawasan ladang sawit berhampiran.

SEBAHAGIAN daripada  kumpulan gajah yang berkeliaran berhampiran Jalan Jerangau-Jabor dwkat Bandar Cheneh Baru, Kemaman.

Kumpulan haiwan liar itu dipercayai adalah kumpulan sama yang sebelum ini dikesan berkeliaran di sekitar Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) di sekitar Plaza Tol Cheneh.

Seorang penguna jalan berkenaan, Hasibi Jaafar berkata, situasi berkenaan turut menimbulkan kebimbangan penduduk kerana pergerakan haiwan liar itu yang terlalu dekat dengan jalan raya boleh menyebabkan berlaku kemalangan dan bahaya kepada pengguna, terutama pada waktu malam dan awal pagi.

HASIBI JAAFAR

“Pada pagi tadu, saya tengok ada lebih kurang 10 ekor gajah berkeliaran di tepi jalan ini. Saya bimbang sekiranya kumpulan gajah itu melintas jalan dan membahayakan pengguna yang melalui jalan ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Mohd Zamzuri Hassan berkata, beliau berharap pemantauan serta tindakan segera dapat dilakukan pihak berkaitan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

MOHD ZAMZURI HASSAN

“Memang bahaya kalau gajah-gajah itu berkeliaran di kawasan ini. Baru-baru ini pun sudah berlaku kemalangan melibatkan gajah di lebuh raya.

“Sekarang ini gajah-gajah tersebut dilihat sentiasa berkeliaran di kawasan ini, mungkin kerana habitat atau kawasan mereka telah terganggu, sehingga menyebabkan mereka keluar dan berkeliaran ke kawasan berhampiran jalan serta penempatan,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu,  Dennis Ten Choon Yung ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengadakan kawalan pada waktu malam serta pemantauan menggunakan teknologi dron di kawasan berkenan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam.

“Para pengguna jalan juga dinasihati tidak panik atau cuba menghampiri gajah, selain tidak membaling objek, membunyikan hon atau menggunakan lampu tinggi dan lampu suluh ke arah haiwan berkenaan,” katanya. – Suara Timur

Ahad, Ogos 16, 2026

Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R konsep WTA pertama di Malaysia dibangunkan di Kemaman

 

Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R konsep WTA pertama di Malaysia dibangunkan di Kemaman

16/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dengan kerjasama Syarikat Ignis Wawwo Sdn Bhd membangunkan Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R berkonsepkan Waste-to-Energy (WTE) yang pertama di Malaysia di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh dekat sini.

Yang Dipertua MPK, Zuwislan Awang berkata, kilang yang bernilai RM50 juta itu menggunakan teknologi pirolisis iaitu proses pemprosesan sisa pepejal melalui kaedah pemanasan tanpa oksigen bagi menghasilkan produk bernilai tambah seperti biodiesel dan karbon.

Katanya, biodiesel yang dihasilkan boleh digunakan sebagai bahan api bagi jentera dan kenderaan sekali gus memberi nilai tambah kepada sisa pepejal yang sebelum ini dilupuskan.

AHMAD Samsuri (dua kanan) diberi taklimat mengenai operasi Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di
di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

“Isu sisa pepejal bukan lagi sekadar soal kebersihan, malah berkait rapat dengan alam sekitar, kesihatan awam, ekonomi dan kualiti hidup rakyat.

“Justeru, kita memerlukan pendekatan yang lebih pintar, mampan dan berorientasikan masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis  3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh dekat sini semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

SEBAHAGIAN daripada reaktor yang digunakan untuk msmproses sisa pepejal di Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Zuwislan berkata, kilang yang dibangunkan di kawasan seluas dua hektar itu berkapasiti memproses sehingga 8,000 tan sisa pepejal sebulan menggunakan 20 reaktor.

Katanya, penggunaan teknologi pirolisis di kilang berkenaan juga berupaya mengurangkan pencemaran udara dan air yang boleh menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.

Selain itu, katanya, pembangunan kilang itu turut membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah yang telah dibuka sejak 1995 dan masih digunakan bagi keperluan pelupusan sisa pepejal di daerah Kemaman.

SEORANG pekerja menunjukkan biodiesel yang dihasilkan daripada sisa pepejal yang diproses menggunakan teknologi pirolisis di Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Beliau berkata, kilang berkenaan mula dibina pada Oktober 2024 turut memperoleh kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam memastikan operasinya mematuhi keperluan serta piawaian alam sekitar yang ditetapkan.

“Buat masa ini, kilang ini menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 150 orang penduduk tempatan dalam pelbagai bidang kemahiran,” katanya.

Sementara it , Ahmad Samsuri berkata, sisa pepejal boleh menjadi aset dan sumber ekonomi baharu sekiranya diurus menggunakan teknologi dan inovasi.

KAKITANGAN MPK menunjukkan produk hasil daripada biodiesel yang diproses daripada sisa pepejal yang diproses menggunakan teknologi pirolisisdi Kilang Pemulihan Sisa Pepejal Ignis 3R di Tapak Pelupusan Sampah Bukit Gelugor, Kerteh, Kemaman. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A RAHMAN

Sehubungan itu, beliau berharap projek berkenaan bukan sahaja berjaya beroperasi sepenuhnya malah dapat menjadi model yang boleh dikaji, dinilai dan diperluaskan ke lokasi lain yang bersesuaian.

“Inilah pembangunan yang kita mahu, ekonomi berkembang, alam sekitar terpelihara dan rakyat mendapat manfaat. Saya percaya inovasi ini merupakan sebahagian daripada masa depan negeri Terengganu,” katanya. – Suara Timur

Kampung Bukit Mentok jadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat ketujuh di Terengganu

 

Kampung Bukit Mentok jadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat ketujuh di Terengganu

16/08/2026

KEMAMAN: Kampung Bukit Mentok di sini hari ini secara rasmi menjadi Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman, sekali gus kampung ketujuh mengadaptasi model Kampungku Celik Ubat di Terengganu.

Majlis perasmian program itu disempurnakan Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Farmasi) Ruzita Awang, Pegawai Daerah Kemaman Nazwawi Harun, Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman Dr Mohd Shafik Abd Majid dan Pengarah Hospital Kemaman Dr Amran Japar.

Program anjuran Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Terengganu dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Farmasi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kemaman, Hospital Kemaman, Persatuan Farmasi Malaysia Terengganu, Pejabat Daerah Kemaman, JPKK Kampung Bukit Mentok serta pimpinan dan komuniti setempat.

PENGARAH Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman Tahun 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMAN

Inisiatif Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat diperkenalkan pada 2019 dengan Kampung Gong Lingai, Kuala Nerus sebagai kampung perintis, susulan pengalaman pelaksanaan aktiviti pendidikan berkaitan ubat dalam kalangan komuniti yang dimulakan sejak 2017.

Sejak itu, pendekatan berkenaan diperluaskan secara berfasa meliputi Kampung Kayu Kelat di Besut, Kampung Getang (Hulu Terengganu), Kampung Burung Baru (Dungun), Kampung Rawai (Marang), Kampung Baru Penarik (Setiu) dan kini Kampung Bukit Mentok (Kemaman).

Dengan pengiktirafan Kampung Bukit Mentok tahun ini, tujuh kampung model kini mewakili tujuh daerah di Terengganu, manakala Kuala Terengganu dijangka melengkapkan senarai berkenaan pada tahun hadapan.

Lima komponen, 10 inisiatif strategik

Kampungku Celik Ubat bukan sekadar program pendidikan berkaitan penggunaan ubat, sebaliknya merupakan model komuniti yang berstruktur dan mampan menerusi lima komponen serta 10 inisiatif strategik.


PENGARAH Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad menandatangani plak perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMAN

Lima komponen itu meliputi pengupayaan komuniti melalui Duta Kenali Ubat Anda (DKUA), jalinan komuniti dan anggota farmasi dalam penjagaan pesakit kronik, masjid sebagai pusat celik ubat, sekolah celik ubat serta penyampaian informasi cakna ubat dalam persekitaran kampung.

Dalam model berkenaan, Duta Kenali Ubat Anda berperanan sebagai penggerak dan penghubung antara komuniti dengan perkhidmatan farmasi, termasuk menyampaikan mesej asas mengenai penggunaan ubat yang betul, membuat hebahan maklumat serta menjadi rujukan awal masyarakat sebelum mendapatkan khidmat anggota farmasi.

Pendekatan itu turut memberi penekanan kepada aspek kelestarian melalui penubuhan Jawatankuasa Penggerak Kampungku Celik Ubat di peringkat komuniti yang berperanan merancang, melaksanakan dan memastikan kesinambungan aktiviti celik ubat dengan sokongan teknikal pasukan farmasi.

SEBAHAGIAN tetamu dan pengunjung bergambar sempena majlid perasmian Kampung Angkat Skuad Cakna Ubat: Kampungku Celik Ubat Daerah Kemaman 2026 di Dataran Ayah Sor, Kampung Bukit Mentok, Kemaman. –  SUARA TIMUR/MOKHATAR A RAHMA

Bukit Mentok jadi pencetus

Di Kampung Bukit Mentok, pelaksanaan Kampungku Celik Ubat diperkukuhkan menerusi pelbagai pendekatan yang melibatkan komuniti secara langsung, antaranya Pharmacy Integrated Community Care (PICC), Sudut Kenali Ubat Anda di masjid, sekolah dan balai raya serta aktiviti pendidikan bersama institusi pendidikan.

Ia turut merangkumi kunjungan mesra kepada komuniti dan aktiviti yang menggalakkan gaya hidup aktif serta sihat.

Seramai tujuh Duta Kenali Ubat Anda dari Kampung Bukit Mentok turut dilantik sebagai penggerak kesihatan komuniti bagi memastikan mesej mengenai penggunaan ubat yang berkualiti, selamat dan berkesan dapat disampaikan secara berterusan.

Pelaksanaan inisiatif itu diharap bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bukit Mentok, malah menjadi titik permulaan kepada peluasan impak celik ubat ke seluruh daerah Kemaman.

Pendekatan yang dilaksanakan di kampung berkenaan juga boleh dijadikan contoh untuk dikembangkan ke kampung lain melalui kerjasama komuniti, Duta Kenali Ubat Anda, pasukan farmasi, Pejabat Daerah, agensi kerajaan serta rakan strategik.

Bermula dari Kampung Bukit Mentok, lebih ramai Duta Kenali Ubat Anda diharap dapat dilahirkan, sekali gus memperkasakan komuniti dan membentuk masyarakat Kemaman yang lebih celik ubat serta cakna terhadap kesihatan.

Inisiatif itu selaras dengan aspirasi Agenda Nasional Malaysia Sihat serta pendekatan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit yang menekankan penglibatan aktif komuniti dalam membentuk persekitaran dan gaya hidup lebih sihat. – Suara Timur

Rabu, Ogos 12, 2026

SK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

 

SK Tembila pertahan kejuaraan Bicara Berirama Kepenggunaan Terengganu

12/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KUALA TERENGGANU: Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Kemenangan itu membolehkan SK Tembila mewakili Zon Timur ke peringkat kebangsaan pada Festival Pengguna (CONFEST) KPDN 2026 yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September ini.

Pada penyertaan tahun lalu, pasukan berkenaan turut mencipta kejayaan apabila meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.

PESERTA Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 bergambar kenangan selepas pertandingan di Kuala Terengganu, hari ini.

Pertandingan tersebut dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu.

Pertandingan itu melibatkan 121 murid daripada 11 sekolah rendah pada peringkat saringan dan bertujuan menyemai kesedaran mengenai hak serta tanggungjawab pengguna dalam kalangan generasi muda menerusi pendekatan kreatif, interaktif dan didik hibur.

Daripada 11 sekolah yang bertanding, lima pasukan mara ke peringkat akhir dengan mempersembahkan bicara berirama bertemakan kepenggunaan yang menggabungkan penyampaian mesej, kreativiti dan persembahan berkumpulan.

SK) Tembila, Besut mempertahankan kejuaraan Pertandingan Bicara Berirama Kepenggunaan Peringkat Negeri Terengganu 2026 di Kuala Terengganu, hari ini.

SK Kuala Kemaman muncul naib johan, diikuti SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman di tempat ketiga, SK Seri Iman, Kemaman (keempat) dan SK Bukit Tumbuh, Kuala Nerus (kelima).

Sementara itu, Syed Muhammad Fakhrul Amsyar Syed Mohd Faizal dari SK Kampung Baru Kerteh, Kemaman dinobatkan sebagai Konduktor Terbaik atas persembahan cemerlang dalam mengendalikan pasukannya sepanjang pertandingan.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah KPDN Negeri Terengganu Mohd Mufsi Lat, manakala turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid yang mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Wan Ruslan Wan Ramli, pegawai pendidikan daerah, pegawai kanan KPDN Negeri Terengganu serta guru besar sekolah yang bertanding.

Sementara itu, Mohd Mufsi berkata pertandingan itu merupakan kesinambungan program sempena Hari Pengguna Kebangsaan yang disambut pada 15 Mac setiap tahun, selaras dengan tema Hari Pengguna 2026, “Suara Kita Kuasa Kita” (Our Voice Our Power).

“Tema ini membawa maksud bahawa pengguna mempunyai kuasa melalui suara dan tindakan serta digalakkan untuk aktif menyatakan pandangan, membuat aduan, memberikan maklum balas dan melaporkan sebarang penipuan melalui saluran yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata isu kepenggunaan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan dan muafakat semua pihak bagi membentuk masyarakat yang peka terhadap hak dan tanggungjawab sebagai pengguna.

Menurutnya, penganjuran pertandingan itu turut menjadi platform untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami hak mereka sebagai pengguna, malah berani bersuara, membuat pilihan secara bijak dan membantu mewujudkan ekosistem perdagangan yang lebih adil serta telus.

KPDN turut memperkenalkan lagu tema rasmi “Aktivisme Pengguna: Suara Kita Kuasa Kita” sebagai medium meningkatkan kesedaran masyarakat supaya lebih prihatin, berani bersuara dan mempertahankan hak sebagai pengguna bijak.

Mohd Mufsi berkata penganjuran program seumpama itu akan terus diperkasakan sebagai medium pendidikan kepenggunaan bagi melahirkan generasi pengguna yang bijak, berani bersuara dan bertanggungjawab.– Suara Timur

Selasa, Ogos 11, 2026

Ibu maut, anak dan anak saudara cedera motosikal langgar lori

 

Ibu maut, anak dan anak saudara cedera motosikal langgar lori

10/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

KEMAMAN: Seorang ibu maut manakala anak perempuan serta anak saudaranya cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di kilometer 123 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan berhampiran pekan Kemasik dekat sini hari

Dalam kejadian pada 1.40 tengah hari  mangsa, Mariana Mat Hassan, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian oleh selepa cedera parah pada kepala.

Anak perempuan mangsa, Tuan Nur Aina Syifa Tuan Ab Rahman, 10, mengalami patah tangan kiri dan kaki kiri manakala anak saudara mangsa Nur Alfira Miqaila Mohd Hilmi, 7 cedera di tangan dan kaki kiri.

Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Gong Cengal, Kemasik selepas menjemput anak dan anak saudaranya dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menunggang secara melawan arus sebeluml melanggar sebuah lori yang sedang bergerak di lorong sebelah kiri jalan.

Pemandu lori berkenaan Samsuhaimi Johari, 40, dari Kampung Baru Seri Aman, Johor Bharu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat manakala anak dan anak saudara mangsa diberikan rawatan di hospital sama.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –  Suara Timur

Sabtu, Ogos 08, 2026

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

 

Jenazah Konstabel Muhammad Raimi selamat dikebumikan

08/08/2026

Oleh MUKHATAR A RAHMAN

DUNGUN: Jenazah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, anggota polis yang meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik di Beaufort, Sabah petang Khamis, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kerteh Dua, tengah malam tadi.

Terdahulu jenazah Allahyarham Muhammad Raimi tiba di perkarangan rumah keluarganya di Felda Kerteh Dua, Dungun kira-kira pukul 11.30 malam.

Jenazah Allahyarham telah disolatkan di rumah berkenaan sebelum di bawa ke Tanah Perkuburan Felda Kerteh Dua untuk dikebumikan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

JENAZAH Allahyarham Muhammad Raimi disolatkan di rumahnya di Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Solat jenazah Allahyarham diImankan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat.

Lebih 200 ahli keluarga, penduduk kampung dan rakan taulan serta 20 anggota polis dan pegawai hadir mengiringi pengebumian Allahyarham dan selesai pukul 1.15 pagi.

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Muhammad Raimi diiringi beberapa pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas dari Pangkalan TUDM Kuantan sebaik tiba dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada pukul 9.20 malam.

JENAZAH hyarham Muhammad Raimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam 
Felda Kerteh 2, Dungun, malam tadi.

Allahyarham yang masih bujang merupakan anak kedua daripada tiga beradik mula bertugas di Balai Polis Weston pada September 2024.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang Khamis lalu, tiga anggota polis maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang mengait buah kelapa di Jalan Kampung Weston, Beaufort, Sabah.

Ketika kejadian, salah seorang anggota polis terbabit dipercayai menggunakan sebatang galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait buah kelapa sebelum galah itu terkena kabel elektrik.

Konstabel Muhammad Raimi bersama seorang lagi anggota lain yang cuba membantu mangsa turut terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Dua anggota lain yang maut ialah Koperal Chiu Teck Siong dari Sarawak dan Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dari Kelantan. –  Suara Timur