MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Khamis, Januari 22, 2026

Masa depan anak muda Terengganu dalam industri REE lebih cerah

 

Masa depan anak muda Terengganu dalam industri REE lebih cerah

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Masa depan anak muda Terengganu dalam industri mineral Rare Earth Elements (REE) kini tampak lebih cerah apabila negeri ini bakal melahirkan pakar perlombongan moden sendiri melalui penubuhan Living Lab In-Situ Leaching (ISL) yang pertama seumpamanya di negeri ini.

Inisiatif ini dijayakan menerusi kerjasama strategik antara University College TATI (UC TATI) dan pakar industri, Greensnow Sdn. Bhd., bagi melatih tenaga kerja mahir dalam teknologi REE yang kini menjadi rebutan pasaran global.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu, Yang Berhormat Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, projek ini merupakan pelaburan jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan rakyat Terengganu menjadi pemain utama dalam ekonomi baharu.

DUDUK dari kanan:
Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid dan En. Nik Abdul Mubin Nik Mahmood menandatangani kerjasama strategik antara UC TATI dan Greensnow Sdn. Bhd., bagi melatih tenaga kerja mahir dalam teknologi REE di Kemaman, hari ini.

“Dengan adanya Living Lab di UC TATI, mereka akan dilatih menggunakan teknologi paling moden dan mesra alam. Inilah masanya untuk anak Terengganu bangkit sebagai pakar dalam sektor berteknologi tinggi,” ujar beliau selepas merasmikan majlis pemeteraian MoU tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, penubuhan makmal hidup atau Living Lab ini merupakan satu transformasi besar dalam sistem pendidikan TVET negeri.

“Ia membolehkan pelajar dan belia tempatan menjalani latihan amali secara langsung dalam kaedah pengekstrakan Rare Earth Elements – In-Situ Leaching (REE-
ISL) sebuah teknologi yang jauh lebih bersih dan selamat berbanding kaedah perlombongan tradisional,” katanya.

Tambahnya, UC TATI mencipta sejarah sebagai Institusi Pengajian Tinggi pertama di Terengganu yang menyediakan kemudahan penyelidikan dan latihan khusus bagi REE. Sokongan daripada MBI Terengganu melalui MBI Modal Sdn. Bhd. turut memastikan ekosistem ini disokong dengan jaringan industri yang kukuh, membolehkan hasil kajian diterjemahkan kepada peluang
ekonomi nyata.

Hadir sama menyokong usaha ini ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Yang Berhormat Haji Hilmi bin Harun; Rektor UC TATI,
Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid; Ketua Pegawai Eksekutif Greensnow Sdn. Bhd., En.
Nik Abdul Mubin Nik Mahmood, Penasihat Kewangan MBI Terengganu, Mohd Badaruddin Ismail; serta Ketua Pegawai Eksekutif MBI Modal Sdn. Bhd. Mohd Farid Awang,

Menurutnya, menerusi kemudahan ini, anak-anak Terengganu kini mempunyai
platform terbaik untuk menguasai teknologi masa hadapan, sekali gus meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam memacu kemakmuran ekonomi negeri dan negara. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.