Penunggang motosikal maut langgar tapir di LPT 2
Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
CHUKAI: Seorang penunggang motosikal maut selepas melanggar seekor tapir di Kilometer 320.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Kerteh menghala ke Kuala Terengganu pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Razi Rosli, dalam kejadian pada 1 pagi, Iffil Nazwa Azman, 24, seorang pekerja kontrak maut di tempat kejadian.
Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dari Kerteh dalam perjalanan ke rumahnya dari Kampung Pinang Baru dekat sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seekor tapir seberat 200 kilogram yang dipercayai keluar dari hutan berhampiran melintas secara tiba-tiba di kawasan lebuh raya terbabit.
“Mangsa dikatakan gagal mengelak sebelum merempuh tapir terbabit yang menyebabkan mangsa tercampak di atas lebuh raya terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Razi berkata, berikutan itu mangsa kemudiannya dipercayai digilis sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.
“Mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal di tempat kejadian,” ujarnya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, bangkai tapir tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – Suara Timur


Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.