MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, April 18, 2026

Gajah liar musnah tanaman pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi

 

Gajah liar musnah tanaman pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi

18/04/2026

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN: Para pekebun di Kampung Besol Lama, Bukit Besi di sini merayu pihak berkenaan dapat segera menyelesaikan masalah serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.

Masalah itu telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kira-kira 15 pekebun sentiasa menanggung kerugian besar susulan kerosakan tanaman milik mereka.

Penduduk mendakwa, dalam serangan terbaru pada Rabu lalu, kumpulan gajah liar berkenaan telah memusnahkan puluhan pokok pisang milik pekebun yang sedang menanti masa untuk dituai.

NASARUDIN Mohd Salleh menunjukkan buah pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Besol Lama, Nasarudin Mohd Salleh berkata, gajah liar itu dipercayai keluar dari hutan simpan berhampiran.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pekebun terpaksa berputih mata ekoran tanaman pisang yang boleh dituai hasilnya musnah.

“Keadaan itu menyebabkan beberapa pekebun bimbang untuk pergi ke kebun kerana kumpulan gajah liar itu masih berada di sekitar kawasan hutan berhampiran.

NASARUDIN Mohd Salleh menunjukkan kawasan kebun pisang yang dirosakkan gajah liar di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Dungun. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

“Pekebun juga sukar melakukan kerja menanam semula kerana sudah tiada modal atau sumber untuk membeli anak pokok baharu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Menurut Nasarudin, pihaknya akan membawa masalah itu kepada pihak Pejabat Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) daerah Dungun bagi mencari jalan penyelesaian berkaitan isu itu.

Tambahnya, pada masa sama pihaknya juga akan cuba membantu dan mencari jalan terbaik bagi membantu pekebun yang terjejas. – Suara Timur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.