MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Sabtu, Jun 04, 2011

Kemerosotan undi Cina umpama barah

Petikan Komentar Noor Sulastry Yurni Ahmad


Parti politik melangkaui batasan perkauman kini semakin popular


KEMENANGAN Parti Pesaka Bumiputera (PBB) sememangnya sudah dijangkakan oleh Presiden partinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud seperti yang dinyatakan oleh beliau baru-baru ini dalam media tempatan. Keyakinan beliau yang amat tinggi mengenai kemenangan itu adalah sebuah pendekatan yang positif dalam usaha meningkatkan tarikan pengundi dan penyokong terhadap kepemimpinan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.
Namun begitu, dalam aspek yang lain pula, parti lain mengambil langkah yang lebih tangkas untuk memantapkan jentera parti masing-masing bagi memastikan kedudukan mereka terbela dalam pilihan raya umum yang bakal menjelma tidak lama lagi. Kenyataan mengenai kemenangan besar PBB di Sarawak telah memberikan mesej yang sangat jelas kepada semua parti politik terhadap kedudukan BN dalam arena politik lokal tanah air.

Topik yang sering dikaitkan selepas berakhirnya pilihan raya itu ialah berkaitan dengan peratusan pengundi Cina yang kelihatan merosot setiap kali jumlah peratusan pengundian diperoleh. Ramai penganalisis tempatan dan tokoh politik tempatan menganalisis mengenai kemerosotan ini yang mana fenomena ini sudah menjadi barah dalam sistem politik tempatan.

Pelbagai pendapat dan pandangan diberikan berdasarkan kepada statistik pengundi yang diberikan mengenai situasi ini. Pengecutan jumlah pengundi Cina terutama di kawasan bandar dan tertumpu di kawasan perniagaan. Mengapa ini boleh berlaku?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ada mengeluarkan kenyataan mengenai kehendak pengundi Cina yang kurang dipenuhi adalah antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini. Ternyata, pandangan beliau ini sedikit sebanyak membuka mata ramai pihak untuk bertindak balas dengan segera sebelum keadaan menjadi parah. Namun begitu, kemerosotan ini bukan suatu perkara baru sehingga menggemparkan dunia politik. Perkara yang membimbangkan ialah mengenai perpaduan politik yang sukar dicapai dalam komponen parti politik BN itu sendiri.

Desas-desus mengenai MCA yang mahu meninggalkan BN juga memainkan peranan terhadap sokongan pengundi Cina yang beralih ‘kasih’ kepada DAP.
Adakah parti MCA dan GERAKAN tidak mampu menyuarakan hasrat masyarakat Cina sehingga mereka terpaksa mencari alternatif terhadap perkara ini atau adakah masyarakat Cina sudah matang berpolitik dan mereka sedar betapa pentingnya hak mereka perlu dipertahankan melalui parti politik? Atau adakah parti politik berasaskan perkauman sudah tidak popular dan relevan dalam konteks politik tempatan dan glokal? Tepuk dada tanyalah selera.

Pelbagai usaha dipergiatkan oleh kepemimpinan BN bagi meraih sokongan masyarakat Cina, termasuk dari segi program dan pelaksanaan kerajaan BN yang sudah, sedang dan akan dijalankan. Namun, kelompok masyarakat Cina masih bersikap dingin dan seolah-olah tawar hati untuk memberikan sokongan padu kepada BN. Isu rasis sudah tidak menjadi masalah pada hari ini oleh kerana tidak mahu membelakangkan sejarah dan perlembagaan, struktur parti politik tempatan yang dibentuk berasaskan kaum pada era sebelum 1957 masih diterima baik oleh semua pihak. Kini, parti politik yang melangkaui batasan kaum menjadi lebih popular. Walau bagaimanapun, konflik yang timbul dalam parti seperti DAP, PKR dan KITA sukar disembunyikan daripada pengetahuan ramai.

Erti kemenangan sesebuah parti politik amat bermakna bagi semua pihak terutama pengundi kerana merekalah juara, raja, permaisuri, majikan dan ketua yang memilih siapa yang bakal memimpin anak bangsa mereka pada masa depan.

Namun begitu, perkara yang dibincangkan di atas tidak seharusnya dipandang remeh kerana ia sangat signifikan dalam memastikan survival sesebuah parti politik negara. Topik utama yang menjadi fokus kepada perbincangan ini perlu distruktur semula supaya selaras dengan konsep yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Najib iaitu 1Malaysia. Atas platform gagasan inilah, masyarakat Malaysia harus berlatarbelakangkan sejarah dan perlembagaan negara untuk bergerak seiringan bagi membentuk perpaduan nasional.

Perpaduan yang dikatakan ini kelihatan retorik dan mungkin kabur untuk dipastikan kejayaannya tetapi dalam sejarah tempatan, masyarakat boleh bersatu padu demi memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu suatu ketika dulu.
Walaupun ini semua sudah tinggal sejarah, tidak mustahil untuk melakukan perubahan demi kebaikan masa depan anak bangsa dan negara secara keseluruhan.
Penggerak utama kepada perubahan ini perlu dimulakan daripada hubungan dua hala iaitu dari pemimpin kepada rakyat dan pemimpin perlu menerima pandangan rakyat pada masa yang sama supaya hegemoni terhadap masyarakat tidak diperkukuhkan lagi. Pemimpin harus bersikap terbuka untuk menerima perubahan selepas ini kerana kejayaan pada hari ini tidak selamanya akan kekal sehingga akhir zaman.

Penulis ialah panel penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.