Ahmad Said
KEMAMAN - Jambatan Bukit Kuang dijangka akan dibuka kepada pengguna jalan raya September depan dengan pembukaan dua lorong, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, jambatan empat lorong setinggi 15 meter itu mampu melancarkan aliran trafik terutamanya dari kawasan industri Teluk Kalung ke Bandar Cukai serta menjadi infrastruktur penting untuk kemajuan ekonomi di Terengganu.

Projek pembinaan jambatan sepanjang kira-kira satu kilometer itu mula dibina pada tahun 2010 melibatkan kos kira-kira RM200 juta.

“Kijal akan menjadi sebuah daerah industri berat yang menjadi tumpuan pelabur antarabangsa.

“Pelbagai projek besar akan terlaksana dalam beberapa tahun lagi seperti pembinaan kilang tekstil, projek industri besi dengan kerjasama dengan syarikat antarabangsa.

“Ini bukan sahaja menguntungkan negara tetapi membuka ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya. Bernama