Ahmad Said
KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu untuk penggal kedua di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah di sini.
  
Turut mengangkat sumpah ialah 10 anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).
  
Ahmad, 56, selaku Pengerusi BN negeri dilantik semula ke jawatan itu selepas BN Terengganu membentuk kerajaan negeri setelah memenangi 17 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.
  
Pada PRU13, beliau mempertahankan kerusi Dun Kijal dengan majoriti 4,204 undi mengatasi calon PAS Hazri Jusoh.
  
Ahmad pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu pada 22 Mac 2008, sekali gus menjadi Menteri Besar kelapan sejak tahun 1959.


Selain jawatan Menteri Besar, Ahmad turut memegang tiga lagi portfolio iaitu pengerusi jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pelaburan; Tanah, Petroleum dan Sumber Asli; Kebajikan Tempatan dan Perumahan.
  
Sepuluh Exco yang mengangkat sumpah ialah:  

1. Datuk Ahmad Razif Abd Rahman (Seberang Takir) - Pengerusi Jawatankuasa Sains & Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air
  
2. Rozi Mamat (Telemung) - Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan, Sumber Manusia
  
3. Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut)- Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
  
4. Datuk Tengku Putera Tengku  Awang (Kuala Berang) - Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan
  
5. Datuk  Mohd Jidin Shafee (Permaisuri) - Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan  Kebudayaan.
  
6. Ir Rosli Othman (Kemasik) - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan
  
7. Nawi  Mohamad (Hulu Besut) - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahan  Perladangan & Komoditi
  
8. A Latiff Awang (Pengkalan Berangan) - Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Penyampaian & Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat
  
9. Roslee Daud (Bukit Besi) - Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi
  
10. Ghazali  Taib (Ajil) -  Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas.
  
Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, Penasihat Undang-undang Negeri Noor Bahri Baharuddin dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Abdul Razak Ismail.
  
Ahmad ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata setiap jawatankuasa Exco akan dilantik bersama panel penasihat masing-masing untuk memantapkan pengurusan dan pentadbiran negeri.
  
"Barisan Exco ini sudah cukup mantap untuk melaksanakan segala perancangan dan perubahan negeri walaupun ada muka baharu (yang dilantik terus sebagai Exco selepas pertama kali menjadi calon), namun saya yakin, mereka ada pengalaman dalam bidang masing-masing," katanya.
  
Katanya dengan penyusunan jawatankuasa Exco diharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan BN di Terengganu.
  
Bagaimanapun, Menteri Besar berkata kalau ada keperluan BN negeri sedia merombak semula jawatankuasa sedia ada agar selaras dengan pusat. - Bernama