MUKHADIMAH

MUKHADIMAH
Surah Al Fatihah

ROTI LEMBUT GEBU

ROTI LEMBUT GEBU
Kami sedia menerima tempahan Roti Lembut Gebu dari Seluruh Semenanjung Malaysia

Rabu, Mei 22, 2013

Rombakan pegawai tadbir Terengganu dinantikan


KUALA TERENGGANU 21 Mei - Kerajaan negeri dijangka melakukan rombakan pegawai tadbir tidak lama lagi, suatu yang menjadi kelaziman apabila berlaku persaraan, kenaikan pangkat dan pertukaran.
Walaupun cuma melibatkan beberapa orang atau seorang, tentunya ini akan turut melibatkan rantaian perubahan kedudukan para pegawai tadbir negeri yang akan beralih tempat.
Difahamkan asas kepada rombakan ini melibatkan pertukaran Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Datuk Wan Ahamad Wan Muda ke Terengganu Incorporated manakala tempat beliau akan diisi Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Yasim Awang.
Namun kali ini selain suatu proses biasa, langkah itu mungkin juga atas pertimbangan yang berbeza - untuk mengikis persepsi yang tidak menyenangkan terhadap pentadbiran dan kepimpinan negeri.
Semasa penggal pertama Datuk Seri Ahmad Said menerajui kerajaan, timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pegawai tadbir apabila pelantikan beberapa pegawai bagi kedudukan penting dibuat dengan melangkaui tangga jawatan.
Situasi itu, seolah-olah menafikan hak puluhan lagi pegawai-pegawai yang lebih berpengalaman dan lebih lama berkhidmat dalam kerajaan negeri.
Malah, Menteri Besar pula dianggap memberi kuasa yang keterlaluan kepada segelintir pegawai itu sehingga keputusan yang mereka buat dikatakan bakal menjadi keputusan beliau kelak.
Inilah yang seronok dijaja pembangkang untuk menjejaskan reputasi Ahmad ketika sukar mencari isu berlegar pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang cuba memberi kesan dan manfaat nyata secara meluas kepada rakyat melalui dasar merakyatkan pembangunan dan pentadbiran.
Dengan mengutip desas-desus yang terus kedengaran, pembangkang cuba memberi gambaran bahawa mereka ini lebih berkuasa dalam menentukan polisi serta perjawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Apatah lagi Menteri Besar kononnya begitu mempercayai mereka sehingga menepis segala pandangan untuk mengembalikan reputasi pegawai tadbir keseluruhannya yang berlegar dengan persoalan itu.
Sehubungan itu, rombakan yang bakal dibuat pada awal penggal kedua beliau menerajui kepimpinan negeri pastinya menjadi perhatian, bukan sahaja dalam kalangan pegawai tadbir tetapi masyarakat umum.
Adalah sukar menafikan begitu sahaja ramai pegawai tadbir tidak senang dengan penyusunan sebelum ini yang melibatkan kedudukan kalangan cukup rapat dan cukup dipercayainya.
Penyusunan yang dibuat itu dikatakan berasaskan kepada kriteria kewibawaan dan kebolehterimaan barulah diikuti dengan meritokrasi dan kekananan.
Menteri Besar tentunya berhak memilih pegawai yang dipercayai dengan rekod dedikasi, komitmen dan kesetiaan mereka untuk memudahkan urusan pentadbiran namun malangnya ini kelihatan menjadi kudis.
Jika benar rombakan melibatkan dua 'tokoh' pentadbiran ini kepada kedudukan lebih strategik, apakah ini boleh menyakinkan bahawa ini dilakukan dengan mengambil kira pandangan umum selama ini?
Ada yang merasakan ini tidak merubah apa-apa kerana Mohd. Yasim juga dilihat melangkaui puluhan pegawai tadbir lain yang lebih kanan.
Apakah daripada sekian ramai pegawai tadbir terutama para pegawai daerah yang lebih kanan seperti di Besut, Kuala Terengganu dan Kemaman tidak boleh diterima untuk turut dijadikan orang kepercayaan?
Kepercayaan seharusnya lebih meluas. Caturlah kedudukan mereka agar memberikan yang terbaik untuk rakyat dan negeri, bukan sebagai masalah kepada kerajaan dan parti kerana ini bukan masanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bolih memberi berapa banyak komen yang anda suka terhadap cerita ini. Komen tersebut hendaklah dengan cara yang berhemah dan tidak menyakiti hati orang lain.